Pages

Monday, May 24, 2010

Khasiat Buah Pisang

Perhatian: Jangan sekali-kali menyimpan pisang dalam peti sejuk. Lepas baca anda semua pasti akan pandang tinggi pada buah pisang.

Pisang mengandungi 3 jenis gula semulajadi – sukrosa, fruktosa dan glukosa yang digabungkan dengan gentian. Pisang memberikan tenaga kepada manusia dengan kadar segera dan berterusan. Kajian yang telah dibuat menunjukkan bahawa 2 biji pisang mempunyai cukup tenaga untuk senaman selama 90 minit. Tidak hairanlah pisang dijadikan buah utama kepada atlit terkenal dunia. Bukan itu saja, malah pisang juga amat sesuai untuk mencegah dan merawat beberapa jenis penyakit, menjadikannya amat sesuai dalam pemakanan kita seharian.

Tekanan: Merujuk kepada survey terbaru yang dijalankan oleh MIND terhadap pesakit-pesakit tekanan jiwa, kebanyakan daripada mereka kembali pulih selepas makan pisang. Ini kerana pisang mengandungi tryptophan, iaitu sejenis protin yang bertukar kepada serotonin dalam tubuh manusia, yang menyebabkan kita tenang, mengembalikan mud dan secara amnya membuatkan kita berasa gembira.

PMS: Lupakan pil-pil hospital – makan sahaja pisang. Vitamin B6 yang terkandung mampu meneutralkan paras glukosa dalam darah, yang boleh mengembalikan mud anda.

Anemia: Dengan kandungan zat besi yang tinggi, pisang mampu mengawal pertumbuhan hemoglobin dalam darah, yang secara tak langsung membantu dalam kes-kes anemia.

Tekanan Darah Tinggi: Buah tropikal unik ini mengandungi kadar potassium yang tinggi – garam rendah, menjadikannya sempurna untuk menstabilkan tekanan darah.

Kuasa Minda: Kajian dibuat terhadap 200 pelajar di sebuah sekolah di mana semasa peperiksaan dijalankan, mereka diberi makan pisang untuk sarapan, rehat, dan makan tengahari. Keputusannya, buah pisang yang mengandungi kadar potassium yang tinggi dapat membantu pembelajaran dengan menjadikan pelajar-pelajar itu lebih cekap (alert).

Penghadaman: Gentian tinggi, jadikan pisang sebagai diet seharian anda pasti membantu menstabilkan tindakan usus kecil dan besar.

Keletihan: Salah satu cara terbaik untuk mengurangkan keletihan ialah dengan membuat minuman pisang susu campur madu. Pisang bertindak menyejukkan perut dan dengan bantuan madu dapat membina semula kandungan gula dalam darah yang berkurangan akibat keletihan, manakala susu pula memperbetulkan sistem hidrasi semula anda.

Panas Jantung: Pisang mempunyai kesan anti-asid semulajadi dalam badan. Oleh itu, jika anda menghadapi rasa panas di jantung, cuba makan pisang untuk pemulihan yang baik.

Demam Pagi: Jadikan pisang sebagai snek setiap hari untuk membantu memelihara kadar gula dalam darah untuk mengelakkan demam pagi.

Gigitan Nyamuk: Sebelum menggunakan krim gigitan serangga, cuba sapukan kawasan bekas gigitan nyamuk dengan lapisan dalam kulit pisang. Ramai yang telah berjaya mengatasi kegatalan akibat gigitan nyamuk dengan cara ini.

Saraf: Pisang mengandungi kadar vitamin B yang tinggi yang dapat membantu menenangkan sistem saraf anda.

Obesiti dan Tekanan Kerja: Kajian di Institut Psikologi di Austria mendapati tekanan kerja menjadi pemangkin kepada pengambilan makanan seperti coklat dan kerepek. Berdasarkan 5,000 pesakit hospital, kajian mendapati kebanyakan pesakit obes membuat kerja-kerja tekanan tinggi. Laporan juga menyatakan, untuk mengatasi masalah ini, kita perlu mengawal kadar gula dalam darah dengan mengambil makanan karbohidrat tinggi setiap 2 jam untuk mengekalkan kadar yang stabil. Makanlah pisang.

Ulser: Pisang amat baik dalam pencegahan ulser kerana ia bersifat lembut dan tidak mencederakan organ dalaman kita. Ia juga bertindak sebagai peneutral lebihan asid serta mengurangkan kepedihan dengan bertindak menyaluti lapisan dinding perut kita.

Kawalan Suhu: Ramai yang percaya bahawa dengan memakan pisang, ia dapat menurunkan suhu kedua-dua fizikal dan emosi kepada ibu-ibu mengandung. Di Thailand sebagai contoh, ibu mengandung mengambil pisang untuk memastikan bayi yang dilahirkan itu menjadi seorang yang penyabar (cool).

Seasonal Affective Disorder (SAD): Penyakit ini merupakan simptom yang terjadi akibat daripada kurangnya pendedahan kepada cahaya matahari. Pisang dapat membantu pesakit ini kerana ia mengandungi tryptophan semulajadi yang membaikpulih mud kita.

Ketagihan Rokok & Tembakau: Pisang dapat membantu perokok yang ingin berhenti merokok. Vitamin B6, B12, potassium dan magnesium yang terdapat dalam pisang, ia dapat membantu tubuh kita dalam membaikpulih kesan nikotin terhadap tubuh.

Stres: Potassium merupakan bahan mineral vital, yang membantu menormalkan degupan jantung, menghantar oksigen kepada otak dan mengimbangi kandungan air dalam tubuh. Bila kita stres, kadar metabolisma kita naik, menyebabkan kadar potassium menurun. Keadaan ini dapat diimbangi semula dengan bantuan snek pisang yang tinggi potassium.

Strok: Mengikut kajian dalam buku ‘The New England Journal of Medicine‘, mengambil pisang sebagai diet harian mampu mengurangkan risiko kematian akibat strok sebanyak 40%!

Lain-lain Penyakit Kulit: Pengamal perubatan semulajadi (alternatif) berpendapat, untuk menghilangkan pelbagai masalah kulit, termasuk jerawat, kudis, parut, kurap, dan sebagainya, ambil sekeping kulit pisang, tampalkan sebelah dalam kulit pisang itu pada tempat yang ingin dirawat dengan menggunakan plaster luka biasa atau pun plaster bedah.
Jadi, pisang memang merupakan ubat semulajadi kepada banyak penyakit. Jika dibandingkan dengan epal, pisang mempunyai 4 kali ganda kandungan protin, 2 kali karbohidrat, 3 kali fosforus, 5 kali vitamin A dan zat besi, dan 2 kali vitamin dan mineral lain. Ia juga kaya dengan potassium dan merupakan salah satu makanan terbaik yang mudah didapati.

Jadi mungkin inilah masa untuk berubah kepada kata yang biasa disebut-sebut, “Sebiji pisang sehari dapat menjauhkan doktor!”

PS: Kesimpulannya, pisanglah adalah penyebab utama kenapa monyet-monyet di hutan selalu sihat dan bahagia setiap masa dan ketika! Satu lagi; ingin kilatkan kasut?? Ambil bahagian dalam kulit pisang, sapukan secara terus kepada kasut anda, kemudian kilatkan dengan kain kering. Menakjubkan!

Sunday, May 2, 2010

Misteri Kehilangan Dua Blok Padang Minyak

A kadir Jasin


ADAKAH benar dakwaan bekas Pardana Menteri, (Tun) Dr Mahathir Mohamad dan akhbar The Edge bahawa Kerajaan Malaysia di bawah pentadbiran (Tun) Abdullah Ahmad Badawi telah secara diam-diam menyerahkan dua blok padang minyak (oil fields) kepada negara Brunei?

Dr Mahathir menulis dalam blongnya semalam bahawa Blok L dan M telah secara diam-diam dan tanpa pengetahuan Petronas diserahkan kepada Brunei walaupun Petronas telah menandatangani perjanjian perkongsian pengeluaran dengan syarikat minyak Amerika, Murphy Oil.

Dr Mahathir yang juga Penasihat Petronas berkata dua blok itu dituntut oleh Malaysia berasaskan fakta sejarah dan dianggarkan mempunyai simpanan minyak mentah mutu tinggi sebanyak 1 bilion tong.

Laporan The Edge dan The Brunei Times mendakwa dua blok padang minyak itu tidak lagi dimiliki Malaysia.

Akhbar ekonomi The Edge pada 22 April memetik Murphy Oil sebagai berkata Petronas telah menamatkan kontrak perkongsian pengeluaran untuk Blok L dan M kerana padang minyak itu “bukan sebahagian daripada Malaysia lagi".

Murphy Oil berkata Petronas telah memaklumkan kepadanya pada 21 April bahawa “berikutan pelaksanaan pertukaran surat antara Malaysia dan Brunei pada 16 Mac, 2009, kawasan penerokaan luar pantai yang diberi nama Blok L dan M bukan lagi sebahagian daripada Malaysia.”

Kerajaan wajib menjawab sama ada dakwaan Dr Mahathir dan laporan media massa itu benar atau sebaliknya. Kalau benar, ini adalah perbuatan menyembunyikan maklumat yang boleh dianggap satu pengkhianatan.

Kalau benar, kenapakah padang minyak itu tiba-tiba bukan lagi milik kita dan adakah benar pemilik barunya adalah Brunei?

Adakah ini ada kena mengena dengan penyelesaian yang kononnya telah dicapai dengan Brunei mengenai tuntutan negara itun ke atas Limbang, Sarawak?

Pada 16, 2009 Bernama memetik Abdullah sebagai berkata di Bandar Seri Bengawan bahawa “Brunei telah secara rasmi menggugurkan tuntutannya yang lama ke atas Limbang.”

Abdullah berkata pengguguran tuntutan oleh Brunei itu adalah sebahagian daripada Pertukaran Surat-Surat yang dimeterai beliau dengan Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman.

Tetapi dua hari kemudian, pada 18 Mac, Menteri Luar dan Perdadangan Kedua Brunei, Lim Jock Seng, dipetik oleh akhbar The Brunei Times sebagai berkata “isu tuntutan wilayah ke atas Limbang tidak dibincangkan dalam perjanjian-perjanjian yang ditandatangani pada hari Isnin yang menyelesaikan isu dua-hala yang tertangguh antara Brunei Darussalam dan Malaysia.”

Dr Mahathir dalam blognya berkata Kementerian Luar Negeri Malaysia tidak pernah menafikan kenyataan Brunei itu.

Jadi adakah kita kehilangan dua padang minyak kepada Brunei tetapi Brunei tidak menggugurkan tuntutan ke atas Limbang?

Kerajaan Mohd Najib Abdul Razak perlu memberi penjelasan tanpa sebarang percubaan “cover-up”.

Setelah kita kehilangan Pulau Batu Putih kepada Singapura pada zaman singkat pemerintahan Abdulllah, kita berhak untuk tahu apakah kepentingan dan kedaulatan kita di Sarawak juga telah disabotaj akibat kedangkalan pemerintah waktu itu.

Kita takut padang minyak yang kita kendong telah berciciran dan pembebasan Limbang daripada tuntutan Brunei yang kita kejar tak dapat.

Kita tidak mahu cerita si Luncai yang terjun ke sungai dengan labu-labunya terjadi kepada kita. Si Luncai tak apalah. Labu-labu itu miliknya. Tapi dua padang minyak dengan potensi hasilnya dianggarkan RM320 bilion itu milik kita. Ia bukan milik mana-mana Luncai.

Saya telah beberapa kali menyuarakan secara terbuka keraguan saya terhadap kemampuan penasihat-penasihat hal ehwal luar dan perundangan Abdullah, khasnya dalam hal Pulau Batu Putih. Keraguan itu terbukti apabila kita kalah perbicaraan menuntut pulau strategik itu pada 23 Mei, 2008.

Soalnya, kalau betul dua padang minyak itu diserahkan kepada Brunei oleh Abdullah, apa yang menteri-menteri dan penasihat-penasihat beliau ketika itu buat? Adakah mereka bersubahat (complicit) atau mereka tertidur?

Kita juga ingin tahu kepada siapa kontrak pengeluaran minyak di dua blok itu diberikan oleh pemilik barunya. Bukan apa, tetapi takut-takut si Luncai terjun ke sungai sambil itu mimum air. Manalah tahu, di depan kita si Luncai buat bodoh, tetapi di belakang dia sapu.

Dialog Bersama Gadis Perokok Tegar.. Dah Biasa La..

''Saya mula merokok ketika tingkatan dua. Masa tu saya mula clubbing dan kawan-kawan pun merokok. Lagi pun kakak-kakak saya merokok, so no hallah merokok ni.

''Pernah kantoi bila mak dan ayah saya terjumpa kotak rokok dalam tas tangan, tapi saya bagi alasan rokok tu kawan yang punya.''



Selamba gadis cantik itu bercerita tatkala penulis berkesempatan melepak dengan dia dan seorang lagi temannya yang juga seorang perokok.

Gadis yang mahu dikenali sebagai Ema tidak keberatan bercerita tentang tabiat merokok yang disifatkan sebagai biasa di kalangan 'gadis KL'.

Sebelum sempat penulis bertanya lanjut, dia pantas mengajukan soalan:

''Kenapa nak tahu pasal gadis-gadis merokok, benda ni biasalah, tak best nak tulis pun, sebab kat KL ni budak perempuan merokok bukan luar biasa.''

Penulis menjawab disebabkan merokok jadi fenomena biasalah yang menarik perhatian penulis untuk mengetahui apa sebenarnya punca kegilaan itu.

Ema memberitahu, sebagai anak jati KL yang dibesarkan dalam suasana bebas, terjebak dalam aktiviti merokok pada usia belasan tahun adalah perkara biasa. Dia mengakui ibu bapanya marah jika tahu anak-anaknya merokok tetapi dia dan kakak-kakaknya bijak menyimpan rahsia.

Pendedahan awal yang menjebak dirinya dengan rokok adalah clubbing.

''Dalam club semua orang hisap rokok, saya dan kawan-kawan pun merokok sebab nak jadi macam orang lain,''
katanya sambil memberitahu tabiat merokoknya itu bagaimana dapat dihentikan sebaik memasuki tingkatan tiga hingga ke tingkatan lima.

Ditanya apa jadi selepas itu, dia merenung jauh sambil menyingkap kisah cintanya yang gagal menyebabkan dia betul-betul kecewa dan menjadikan rokok sebagai pengubat lara.

Bermula dari situ, dia tidak menoleh lagi. Memasuki Universiti Teknologi Mara (UiTM) bukan alasan untuk dia berhenti, malah ketagihan merokok semakin menjadi-jadi. Dia sanggup tak makan asalkan dapat membeli rokok.

Dia pernah melepaskan gian merokok di dalam ruang kecil yang menempatkan hos bomba, bayangkan ruang sesempit itu pun 'halal' asalkan ketagihan dapat dilepaskan.

Segala-galanya menjadi mudah buat Ema apabila dia tinggal di rumah sewa. Tidak ada halangan langsung, dia dan rakan-rakan 'seangkatan' bebas merokok sesedap hati.

''Saya menjadi perokok tegar. Malah rakan-rakan saya menyamakan saya dengan perokok lelaki. Dua kotak besar sehari perkara biasa. Atau paling kurang pun satu kotak setengah maknanya sekurang-kurangnya 30 batang sehari,''
...... katanya.

Ditanya apa sebenarnya kepuasan yang dia dapat daripada merokok, Ema mengakui tiada kepuasan cumanya apabila tidak merokok bibirnya akan bergetar dan tekak berasa pahit.

Waktu wajib merokok bagi gadis berkulit putih kemerahan itu adalah bangun pagi, selepas makan tengah hari dan sebelum tidur. Malah dia mengakui merokok semasa membuang air besar adalah satu nikmat yang tidak boleh diceritakan.

Kebiasaannya, menurut Ema, perokok wanita akan bermula dengan rokok Sempoerna diikuti Malboro Light dan akhirnya jenama-jenama berat seperti Dunhill.

Ditanya mengapa, dia memberitahu, rokok Sempoerna menawarkan rasa manis jadi tidak terlalu berat untuk beginner manakala Malboro agak ringan.

Dia sendiri sehingga kini setia dengan Dunhill Light. Mengenai sama ada dia masih terikat dengan kisah putus cinta di tengah jalan menyebabkan tabiat merokok masih berterusan, Ema berterus terang telah menemui cinta baru.

''Bestnya sebab tunang saya tak kisah saya merokok. Dia pun merokok juga,''
..... petah dia menjawab sambil tersenyum.

Dia menyambung sembangnya, kegilaan clubbing berterusan menyemarakkan ketagihan merokok. Alasannya, di club ramai yang minum arak dan dia serta kawan-kawannya tak mahu terjebak dengan minuman keras lantas meneruskan tabiat merokok.

Mala, teman kepada Ema pula menjadikan stres sebagai punca dia merokok. Segala tekanan yang dihadapinya sebagai remaja akan lenyap bersama setiap sedutan asap rokok yang memenuhi paru-parunya. Melihat kepulan asap rokok yang dihembus terutama dalam suasana tenang umpama membiarkan segala masalah lenyap begitu saja.

Seperti Ema, dia juga setia dengan Dunhill Light tetapi tidak setegar Ema yang mampu menghisap 30 batang rokok sehari. Tabiat merokok Mala bermula agak lambat iaitu selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia. Dia mengakui pergaulan bebas mendorongnya merokok sehingga selepas beberapa tahun tabiat itu menjadi sebahagian daripada hidupnya.

Ditanya betulkah rokok boleh menghilangkan stres atau itu hanya psiko, Mala tersenyum manja dan manis.

''Saya rasa memang betul sebenarnya rokok bukan melegakan stres cumanya saya percaya ia begitu, maka jadilah begitu,''
...... ujarnya.

Ema dan Mala tidak dapat menjangkakan bila mereka mahu berhenti merokok. Bagi Ema yang sedang menunggu hari bahagia, perkahwinan tidak mungkin menghentikan tabiat itu. Lantaran tidak ada janji antara dia dan bakal suami yang mengikatnya untuk berhenti merokok.

''Tengoklah mungkin kalau mengandung mungkin baru berhenti kut,''
........ katanya.

Mengenai kegilaan gadis-gadis merokok, Ema berpandangan kebanyakannya hanya mengikut trend. Ada juga yang mahu kelihatan moden terutama gadis-gadis dari luar Kuala Lumpur. Kononnya merokok menunjukkan mereka ada gaya, hebat dan trendy - tidak seperti Ema yang terbelenggu oleh tabiat itu disebabkan ketagihan.

Dia akan berasa geram tidak terhingga dan marah-marah jika tidak dapat merokok. Ketegaran menyebabkan anak gadis yang mencecah usia 25 tahun itu tidak pernah peduli cakap-cakap atau pandangan orang lain. Malah dia pernah bertekak dengan seorang mak cik kerana menegur tabiatnya itu.

Saya melihat jari jemari Ema dan Mala. Bersih bukan seperti kebanyakan perokok.

Seperti dapat membaca pengamatan saya, Ema menyambung bicara:

''Saya bertuah kerana walaupun perokok tegar tetapi kesannya fizikalnya tidak nampak.
''Tapi terus terang saya sudah mula rasa sakit dada dan kadang kala sesak nafas, pastinya akibat merokok.''

Mengenai gambar-gambar ngeri di kotak rokok, kedua-dua gadis itu tersenyum sinis

Sememangnya bersembang dengan Ema dan Mala tidak cukup untuk saya menyelongkar apa sebenarnya di sebalik fenomena merokok di kalangan gadis remaja.

Tetapi yang pasti, ada sesuatu yang kurang dan tidak kena dalam masyarakat kita sehinggakan gejala merokok di kalangan gadis remaja kini dianggap trend.

p/s : Peliharalah anak gadis anda.. Siapakah yang mendidik mereka sehingga menjadi sebegini.. Di manakah Islam yang diagung-agungkan oleh kerajaan?

Sumber : http://ibnuirfadzil.blogspot.com/2010/04/dialog-bersama-gadis-perokok-tegar-dah.html