Pages

Tuesday, August 4, 2009

BRAVO DATUK HASSAN ALI



(Perang dah meletus. YB Datuk Dr. Hassan Ali v. YB Ronnie Liu)

Salam 2 all.

Belum pun reda isu YB Azmin Ali, Naib Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Gombak & ADUN Bukit Antarabangsa yang mendesak supaya barisan exco Kerajaan Selangor dirombak, kini meletus pula isu baru. Desakan YB Azmin tersebut dipercayai kerana terdapat persepsi dikalangan masyarakat umum khususnya dikalangan ahli perniagaan di Selangor bahawa kalau mahu mendapat sesuatu perkara bergerak di Selangor, "jumpalah dua tiga Exco ni, sure lulus punya!!".

Hari ini Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga ADUN Gombak Setia merangkap Exco Hal Ehwal Islam & Infrastruktur Kerajaan Negeri Selangor, YB Datuk Dr Hassan Ali dalam kenyataannya secara terbuka mendesak supaya YB Ronnie Liu (DAP) digugurkan daripada barisan Exco kerana banyak tindakan beliau menimbulkan masalah kepada masyarakat umum.

YB Dr Hassan Ali secara khusus merujuk kepada tindakan YB Ronnie yang sering campur tangan dalam urusan pihak berkuasa tempatan. Kenyataan terbuka YB Dr. Hassan Ali itu berpunca daripada tindakan YB Ronnie mengarahkan penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Subang jaya (MPSJ) memulangkan minuman keras yang telah dirampas daripada peniaga-peniaga yang melanggar peraturan.

Baru-baru ini YB Wee Choo Keong (PKR-Wangsa Maju) mendedahkan bagaimana terdapat ahli Exco yang dikaitkan dengan kumpulan samseng hingga ada yang mendakwa pejabat Exco tersebut turut dijadikan tempat pertemuan dengan kumpulan-kumpulan samseng tertentu. Akibat kenyataan itu, YB Ronnie Liu telah membidas YB Wee Choo Keong walaupun YB Wee langsung tidak menyebut nama beliau atau mana-mana ahli Exco.

YB Ronnie Liu juga mempunyai kes pertuduhan jenayah di Mahkamah kerana didakwa menghalang penjawat awam dalam satu operasi cegah maksiat di sebuah hotel di Subang Jaya pada tahun 2007.

Melihat kepada keadaan ini, saya mengambil pendirian bersetuju dengan desakan YB Datuk Dr. Hassan Ali supaya YB Ronnie Liu segera meletakkan jawatan. Kehadiran beliau kini adalah satu liabiliti kepada Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor. Sekiranya beliau enggan meletak jawatan, saya mendesak YAB Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor supaya mengambil langkah segera menggugurkan YB Ronnie Liu daripada barisan Exco Kerajaan Selangor, sebelum rakyat mengambil tindakan menggugurkan Kerajaan Pakatan Rakyat pula.

Zulkifli Bin Noordin

Selasa 13 Sya'ban 1430 / 04 Ogos 2009

No comments: