Kadang-kadang dunia persaingan akademik dan hambatan pembelajaran formal menjadikan anak-anak tumpul pemikirannya.
Ibu bapa masakini terlalu berlumba-lumba untuk melihat anak mendapat keputusan peperiksaan yang boleh membanggakan mereka, atau sekurang-kurangnya tidak menjatuhkan air muka bila ditanya oleh kawan-kawan, saudara mara atau jiran tetangga.
Terkadang anak-anak menjadi mangsa. Mereka mangsa ibu bapa yang mahu mempertahankan keegoannya.
Mendapat keputusan yang tinggi dalam peperiksaan belum tentu membuktikan anak-anak akan menjadi cemerlang.
Keputusan peperiksaan yang baik boleh menjadi petanda bahawa anak itu bersungguh-sungguh, rajin, punya daya ingatan baik, cepat memahami sesuatu dan bijak menyelesaikan sesuatu masalah.
Namun ia bukan satu bukti yang mutlak. Anak-anak yang cemerlang adalah yang punya keunggulan dalam rohaninya, pemikirannya, emosinya, akhlaknya dan fizikalnya.
Berfikir Untuk Cemerlang
Bahkan dalam aspek pemikiran, keputusan peperiksaan hanya dapat mengambarkan sebahagian kecil daripada kecemerlangan pemikirannya.
Oleh yang demikian ibu bapa perlu memiliki gambaran yang tepat berkaitan usaha memperkembangkan pemikiran anak-anak agar menjadi anak yang berfikiran cemerlang dan hebat.
Seperti yang pernah dibincangkan dahulu, Islam meletakkan asas yang kukuh dalam pembinaan pemikiran yang seimbang. Al-Quran itu sendiri menyedikan wahana unggul dalam membentuk pemikiran anak-anak.
Selain itu, Islam amat menggalakkan umatnya mengembangkan kebolehan berfikir.
Ungkapan "mudah-mudahan kamu berfikir', 'semoga kamu menggunakan akal' atau seumpamanya kerap didapati dalam Al-Quran.
Allah menyuruh para mukminin agar sentiasa merenung, bertafakur dan memikirkan dengan mendalam setiap fenomena alam yang dicipta oleh Allah.
Semuanya menjadi bahan untuk mendekatkan diri kepadaNya dan menjadikan umat muslimin cemerlang dunia akhirat.
Bahkan kecemerlangan Islam pada generasi awalan juga berlaku kerana keberanian umat Islam meneroka alam ilmu dan pemikiran bagi memenuhi kehendak agama dan manusiawi.
Asas kecemerlangan dalam pemikiran ialah mempunyai ilmu yang mantap dan kemahiran berfikir yang hebat. Soal kemahiran dalam berfikir kurang menjadi perhatian ibu bapa pada hari ini.
Anak-anak banyak didedahkan dengan fakta dan data.
Namun, sedikit dibiasakan dengan seni bagaimana menganalisa dan mengolah fakta, pengalaman, maklumat dan data.
Mereka banyak diarah untuk melakukan itu dan ini, tetapi sedikit didorong untuk mencari inisiatif dan berfikir secara proaktif.
Proaktif ya, Reaktif tidak.
Anak-anak perlu diajar menjadi proaktif bukannya sekadar reaktif.
Anak yang reaktif ialah anak yang tidak mampu mengawal dirinya dalam menghadapi cabaran.
Dia cepat menyalahkan cabaran yang mendatang, dan lambat berfikir untuk mengatasainya.
Dia suka merungut-rungut dengan kesulitan dan sulit untuk meragut peluang penyelesaian.
Dia amat terpengaruh dan terkesan dengan apa yang menimpa ke atas dirinya dan amat kecil kebolehan untuk mempengaruhi dan mengawal sikap atau perlakuan diri sendiri.
Dia hanya berusaha apabila ditekan dan dipaksa.
Sebaliknya anak-anak yang proaktif adalah anak-anak yang tahu halatuju hidupnya dan berusaha melaksanakan tanggungjawabnya.
Dia berupaya untuk membuat keputusan dan pilihan dalam kehidupan seharian, dan bertanggungjawab atas pilihannya. Kesulitan yang menimpa tidak dianggap 'masalah' tetapi sebagai satu 'cabaran'.
Lantas dia menghadapainya dengan tabah.
Anak-anak yang proaktif juga punya kesedaran, dan keinsafan sehingga terdorong untuk melakukan kerja-kerja baik walau pun tanpa ditekan atau dipaksa.
Pemikiran dan sikap proaktif bukan wujud secara semulajadi dalam diri anak-anak.
Ia adalah hasil tarbiyah tidak formal sama ada sengaja atau tidak sengaja oleh pendidik mereka-terutamanya ibu bapa.
Pertamanya, anak-anak perlu mengerti matlamat hidupnya-menjadi hamba Allah yang cemerlang dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah. Hal ini perlu diulang-ulang oleh ibu bapa.
Keduanya, setiap apa yang suruh kepada anak-anak perlu dinyatakan sebabnya. Juga perlu dikaitkan dengan matlamat unggul tadi. Jika anak-anak disuruh mengemaskan bilik, nyatakan sebabnya.
Jika anak diminta habiskan nasi sehingga licin, sebutkan tujuannya. Demikian lah seterusnya.
sumber : http://www.iluvislam.com/keluarga/ibu-bapa/832-latih-anak-anak-berfikir-positif.html
No comments:
Post a Comment