Dunia pada suku pertama 2011 sedang hangat.
Seorang demi seorang Old Guards tumbang dan sedang ditumbangkan. Ada yang kata, mereka ditumbangkan kerana memerintah sudah terlalu lama. Ada pula yang kata, mereka ditumbangkan kerana zalimnya mereka, yang sesetengah lain pula berkata, juga kerana memerintah sudah terlalu lama.
“Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam bukankah memerintah sehingga ke akhir hayat!” kata seorang pejuang.
“Atau Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam sebenarnya memerintah hingga ke usia 62 tahun?” kilas seorang pejuang lagi.
Sisi pandang… bagaimana kita memetik ‘ibrah daripada Sirah dan Sejarah.
Ia mengingatkan saya kepada sebuah kisah yang ditulis lama dahulu oleh Randy Flood, seorang pelajar sebuah High School di Oregon. Kisah tersebut saya terjemahkan secara bebas dengan sedikit pengubah suaian, mengikut rentak ungkapan bahasa Negara Entah Berentah:
ADAM DAN ARGOT: SIAPA EMPUNYA TAKHTA?
“Adam patut menjadi Raja. Dia berfikiran positif dan sentiasa optimis” kedengaran cakap-cakap di kedai kopi.
“Argot patut menjadi Raja. Dia berfikiran negatif dan sentiasa pesimis, macam kita!” soksek soksek di pasar pula berbicara.
Sebelum Raja mangkat, beliau menitahkan agar Majlis Mesyuarat membuat keputusan penentu. Tatkala baginda menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah sepurnama gering di pembaringan, Majlis Mesyuarat memutuskan bahawa Adam dan Argot hendaklah bergerak mengelilingi negara, dan berdebat tentang selok belok kehidupan rakyat. Salah seorang yang memenangi perdebatan itu, akan terpilih menjadi Raja.
KEMBARA PENENTU
Sampailah Adam dan Argot serta rombongan diraja ke sebuah desa yang ramai petani. Mereka melintasi sekumpulan petani yang miskin kebuluran.
“Lihat itu, mereka tidak punya makanan. Mereka kebuluran. Sesungguhnya dunia ini adalah sebuah kediaman yang teruk. Penuh derita!” kata Argot.
“Tidak. Kurangnya makan meningkatkan kerohanian. Mereka mungkin tiada makanan, tetapi mereka sedang belajar sebuah teladan yang amat berguna. Sesungguhnya sabar itu lebih berharga daripada makanan!” balas Adam.
Mereka kemudiannya melintasi pula sebuah pekan kecil. Kelihatan seorang lelaki buta di tepi jalan.
“Dunia ini adalah sebuah kediaman yang teruk. Penuh derita. Bagaimana Tuhan membiarkan ada manusia yang buta seperti itu!” keluh Argot.
“Sekali lagi, kamu silap. Walaupun lelaki itu tidak dapat melihat, tetapi deria-derianya yang lain menjadi kuat. Malah dia tahu sama ada seseorang itu bercakap benar atau berdusta hanya dengan mendengar nada suaranya. Menjadi buta itu adalah yang terbaik untuknya!” Adam membalas lagi.
Rombongan diraja bersama dua calon Raja meneruskan perjalanan dan akhirnya sampai ke sebuah perkampungan. Mereka ternampak seorang lelaki sakit dan sedang nazak menunggu mati.
“Dunia ini adalah sebuah kediaman yang teruk. Penuh derita. Lihatlah lelaki itu sakit dan hampir mati tanpa seorang pun yang mempedulikannya. Ini sudah cukup menjadi bukti!” tegas Argot, penuh kesal.
“Bukankah kita semua akan mati? Mati itu bukanlah sesuatu yang tidak baik. Lelaki itu tidak lama lagi akan berada di sisi Tuhan. Bukankah itu lebih baik untuknya?” ulas Adam, dengan yakin.
KEPUTUSAN
“Sudah! Cukup! Kami sudah melihat dan mendengar secukupnya. Sudah jelas bagi kami siapakah yang sepatutnya menjadi Raja memimpin negara” bentak seorang anggota Majlis Mesyuarat.
“Sangat jelas Adam adalah yang sepatutnya dipilih menjadi Raja. Beliau mengajar kita bahawa sabar itu lebih besar ‘fadhilat’nya berbanding makanan. Beliau menyedarkan kita betapa si buta itu lebih kuat pelbagai derianya berbanding kita yang celik. Malah Adam juga sudah membuktikan betapa kematian itu adalah lebih baik dan merehatkan untuk lelaki sakit itu tadi. Adam tidak pernah mengeluh dan sentiasa optimis. Apakah yang mampu Argot katakan lagi di saat ini?” anggota Majlis Mesyuarat itu mengurut-ngurut jambangnya sambil tegas membuat kesimpulan.
“Izinkan saya, jika kalian boleh benarkan, saya ingin membuat sedikit pembelajaan!” pintas Argot.
Anggota Majlis Mesyuarat dan kekandanya Adam mengangguk.
“Bukankah matlamat utama seorang pemerintah adalah untuk menolong dan menjaga kebajikan rakyatnya?” Argot meyoal.
“Sudah tentu!” jawab mereka.
“Bagaimanakah seorang pemerintah boleh menolong rakyatnya, jika dia sendiri tidak dapat melihat apa masalah rakyatnya?” soal Argot lagi.
“Saya tiada masalah untuk melihat masalah rakyat, jika mereka ada masalah. Jika ada!” pintas Adam.
“Kamu percaya bahawa lelaki buta itu tadi lebih baik buta?” soal Argot.
“Sudah tentu!” jawab Adam dan anggota Majlis Mesyuarat semua.
“Kalau begitu, pejamkan mata kamu semua. Pejam ya. Dan sekarang, adakah kamu masih percaya bahawa sabar lebih baik daripada makanan?” soal Argot lagi.
“Sudah tentu!” balas Adam dan seluruh rombongan.
“Baiklah, kalau begitu, jangan buka mata sehingga saya benarkan kamu” arah Argot.
Senyap-senyap, Argot mengeluarkan pedangnya dan menikam mati kekandanya Adam. Beliau membersihkan pedang tersebut dan menyimpannya semula.
“Baiklah, sekarang buka mata kamu!” perintah Argot.
“Oh Tuhan!!! Adam telah mati. Engkau telah membunuh kekandamu sendiri!” jerit anggota Majlis Mesyuarat.
“Kalau begitu, tentu lebih mudah untuk kamu semua membuat keputusan. Calon hanya tinggal seorang!” balas Argot.
“Tetapi kami mahu memilih Adam. Bukan kamu!” tegas anggota Majlis Mesyuarat.
“Bukankah aku yang memenangi perdebatan tadi?” Argot memberikan penjelasan.
“Menjadi ‘buta’ telah menghalang kamu daripada menahan aku membunuh kekandaku Adam. Menjadi ‘buta’ tidaklah sebagus yang kalian katakan. Menjadi ‘sabar’ juga telah menyebabkan kamu terus menutup mata daripada melihat apa yang sedang aku lakukan. Justeru menjadi ‘sabar’ tidaklah sebagus yang kalian katakan. Dan jika ‘mati’ itu lebih baik untuk lelaki sakit di tepi jalan itu tadi, maka adillah apa yang aku telah lakukan kepada kekandaku Adam. Dia kini ‘lebih baik’ keadaannya. Adam telah mati, maka kamu mesti menabalkan aku selaku Raja di negara ini!” tegas Argot.
Anggota Majlis Mesyuarat terdiam.
Terpukul antara pengalaman mereka dengan ketepatan ulasan si anak muda.
“Kamu telah menjelaskannya dengan begitu baik. Saya percaya, Argot adalah Raja baru kita” kata jurucakap anggota Majlis Mesyuarat.
Seluruh anggota Majlis Mesyuarat bersetuju. Argot telah ditabal menjadi Raja di takhta. Dia memerintah selama beberapa tahun. Biar pun Raja Argot tidak pernah gembira selama menjadi Raja, namun negara dan rakyat makmur bahagia.
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG
No comments:
Post a Comment