Definisi
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan
Pustaka edisi ke-4, pilihanraya memberikan maksud membuat pemilihan dengan cara
mengundi yang dilakukan oleh semua orang. Iaitu dalam konteks negara Malaysia,
pilihanraya ialah satu sistem yang dilakukan oleh warganegara yang mencukupi
syarat-syarat untuk mengundi melakukan undian ke atas calon-calon yang
bertanding samada yang membabitkan di peringkat negeri atau parlimen.
Pilihanraya dalam bahasa arab
ialah الإنتخابات
yang memberikan maksud pilihan ke atas sesuatu.
Pilihanraya
merupakan satu satu konsep dalam sistem demokrasi yang dijalankan oleh Negara
kita selain kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun, kebebasan media dan
sebagainya.
Justeru,
pilihanraya merupakan satu sistem dalam rakyat memilih calon wakil mereka untuk
dilantik sebagai pemimpin samada di peringkat negeri atau parlimen. Pemilihan
tersebut dilakukan dengan cara mengundi salah seorang daripada calon-calon yang
layak bertanding.
Konsep
Pemilihan Dalam Al-Quran Dan Hadis
Dalam
Al-Quran dan hadis secara tidak langsung banyak memaparkan kisah atau sejarah
terdahulu serta sirah yang berlaku di zaman Nabi SAW berkenaan dalam memilih
seseorang atau lebih untuk sesuatu penentuan. Justeru, konsep pemilihan ini
merupakan salah satu cara untuk menaikkan seseorang atau melantik seseorang.
Bahkan
pilihanraya sebagaimana yang diberikan definisi asas ialah memilih seseorang
untuk dilantik sebagai pemimpin. Hal ini ada disebut dan kalimah yang digunakan
samada dalam Al-Quran samada خ , ي , ر atau ص , ف , و yang memberikan makna memilih.
Antaranya
ialah :
1-
Dalam
Surah Al-A’raf, pada ayat ke-155 yang bermaksud :
“Dan
Nabi Musa telah memilih 70 lelaki dari kaumnya (untuk dibawa bersama ke
Gunung Thursina) pada waktu yang telah kami tetapkan.”
2-
Surah
Taha, pada ayat ke-13 yang bermaksud :
“Dan
Aku telah memilihmu menjadi rasul, maka dengarkanlah apa yang akan
diwahyukan kepadamu.”
3-
Surah
Ad-Dukhan, pada ayat ke-32 yang bermaksud :
“Dan
demi sesungguhnya, Kami telah memilih mereka dengan berdasarkan
pengetahuan (Kami) – menjadi lebih pangkatnya lebih dari penduduk dunia (pada
zaman itu)”
4-
Surah
Shad pada ayat ke-47 yang bermaksud :
“Dan
sesungguhnya mereka di sisi Kami adalah dari orang-orang pilihan yang
sebaik-baiknya.”
5-
Surah
Al-Isra’ pada ayat ke-40 yang bermaksud :
“Patutkah
Tuhan mengambil dari makhluk-makhluk yang diciptakan-Nya menjadi anak-anak
perempuan-Nya dan Dia mengutamakan dengan memilih kamu dengan anak-anak
lelaki?”
Berdasarkan
ayat-ayat Al-Quran di atas, kesemuanya menunjukkan perkataan memilih atau
pilihan yang menjadi kata dasar. Dan inilah konsep pemilihan dalam sejarah dan
kisah-kisah yang dibentangkan melalui Al-Quran.
Adapun
dalam hadis-hadis, antaranya ialah :
1-
Ketika
berlakunya perjanjian Aqabah yang ke-2, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Keluarkan
(tampillah) daripada kalangan kamu kepadaku akan 12 wakil sebagai lantikan
naqib ke atas kaum-kaum mereka.” Kemudian lantas keluar 12
wakil dengan dilantik sebagai naqib, 9 daripada mereka dari kalangan Khazraj,
bakinya daripada Aus.
Jelas
berlakunya pemilihan daripada kalangan rombongan dari Madinah yang berjumpa
dengan baginda SAW untuk mengambil perjanjian Aqabah yang ke-2 yang datang
sejumlah 70 orang (dalam riwayat lain seramai 72 orang). Pemilihan berlaku ke
atas mereka untuk menaikkan 12 wakil daripada kalangan mereka sebagai naqib.
2-
Dalam
kisah pemilihan khalifah yang ke-3 selepas kewafatan Saidina Umar Al-Farouq,
maka para sahabat yang menganggotai majlis syura telah berkumpul dan menyatakan
pandangan dalam memilih seorang sahabat. Lalu Zubair menyatakan pilihannya
iaitu Ali bin Abi Talib. Talhah pula memilih Usman bin Affan. Sa’ad pula pula
memilih Abdul Rahman bin Auf. Maka terdapat 3 calon dalam menggantikan tempat
khalifah iaitu Ali bin Abi Talib, Usman dan Affan dan Abdul Rahman bin Auf.
Hasil perbincangan selepas itu, Saidina Usman bin Affan dilantik menjadi
khalifah yang ketiga.
Dalam
peristiwa tersebut menunjukkan berlakunya pemilihan dan undian ke atas 3 calon.
Hasil keputusan syura menunjukkan Saidina Usman dipilih sebagai khalifah yang
ketiga.
Kesemua
ayat-ayat Al-Quran dan hadis serta sirah di atas menunjukkan wujudnya pemilihan
dalam melantik seseorang atau lebih. Bahkan ayat yang digunakan juga
menunjukkan makna memilih. Walaupun situasi tidak sama sebagaimana pilihanraya
yang berlaku pada hari ini namun makna dari sudut bahasa iaitu “memilih” ada
dinyatakan. Situasi yang berlaku pada hari ini adalah berbuah namun konsep
pemilihan tetap berlaku mengikut situasi semasa.
Pilihanraya
Dari Kacamata Islam
Pilihanraya
merupakan salah satu sistem dalam pengamalan demokrasi di Negara Malaysia.
Pilihanraya memberikan hak kebebasan kepada mana-mana individu untuk bertanding
sebagai calon dan rakyat bebas memilih siapa sahaja yang dirasakan daripada
calon-calon yang bertanding untuk menjalankan amanah dengan baik dan amanah.
Hasilnya,
Dr Yusuf Al-Qardhawi menyebutkan bahawa demokrasi yang menurut Islam
sebagaimana yang telah dijalankan oleh negara-negara Islam pada hari ini
bukanlah sebagaimana yang dibawakan oleh pihak Barat. Akan tetapi demokrasi
yang menurut Islam adalah digunakan dalam sudut politik iaitu dalam memilih
pemimpin, konsep menasihati, amar makruf nahi mungkar dan konsep mesyuarat atau
syura. Ia berbeza dengan doktrin pihak Barat dalam pembawakan demokrasi yang
menyerahkan kuasa mutlak kepada manusia sehingga melebihi syara’.
Demokrasi
yang dituntut dalam Islam memberikan kebebasan kepada rakyat untuk memilih
serta mengundi wakil mereka sebagai pemerintah untuk melaksanakan amanah dalam
bidang tugas pentadbiran Negara adapun dalam bidang syara’ ia tidak mencampuri.
Pemimpin menjaga had dan batasan syara’ agar ia terpelihara dan suci dari
sebarang pencerobohan dengan memastikan Islam dapat dilaksanakan dengan
sempurna.
Justeru,
Ulama berselisih pendapat berkenaan dengan hukum ke atas pilihanraya. Majoriti
ulama dan pendapat yang digunapakai oleh negara-negara Islam pada hari ini
ialah pandangan yang mengharuskan pilihanraya. Antara ulama yang menyokong
pandangan ini ialah Syeikh Muhamad Rashid Redha, Al-Imam As-Syahid Hassan
Al-Banna, Syeikh Muhamad Abu Zuhrah, Abu Al-A’la Al-Maududi, Abdul Qadir Audah,
Dr Abdul Karim Zaidan dan Dr Yusuf Al-Qardhawi.
Hujah-hujah
yang menyatakan bahawa pilihanraya adalah harus ialah :
1-
Berdasarkan
kaedah hukum asal bagi sesuatu perkara (dalam konteks urusan keduniaan) adalah
harus selagimana tidak ada nas yang menunjukkan ia adalah diharamkan.
الأصْلُ في الأَشْياءِ الإِباحَةُ
2-
Sistem
pilihanraya pada zaman sekarang merupakan daripada urusan dunia maka tidak
bermasalah untuk memperbaharui, mengubah teknikal dan sebagainya. Apa yang penting,
tujuannya adalah melantik seseorang pemimpin. Teknik dan cara adalah terpulang
kepada kebijaksanaan dan kesesuaian masa tersebut.
3-
Pilihanraya
seumpama konsep bai’ah iaitu perjanjian ke atas
pemimpin yang dilantik, ia dapat dilihat pada undian yang dilakukan iaitu
seseorang akan memilih calonnya yang diredhai dan dipersetujui untuk calon
tersebut menjadi pemimpinnya.
4-
Banyak
catatan sirah dan sejarah yang menunjukkan bahawa umat Islam juga menggunakan
teknik yang digunakan oleh pihak luar seperti dalam peperangan Khandak iaitu
menggali parit sedangkan ia merupakan kebiasaan oleh pihak Farsi ketika dalam
peperangan, Saidina Umar di zaman pemerintahannya menubuhkan sistem jabatan
bagi melicinkan pentadbiran dan sebagainya yang mana kesemua tersebut tidak
dilarang dan tidak bercanggah dengan syara’. Ia dinamakan sebagai hikmah :
الحِكْمَةُ ضالَةُ المُؤْمِن فَمَنْ وَجَدَها فَهُوَ أَحَقُّ بِها
“Kebijaksanaan itu barangan peninggalan yang tercicir daripada orang
mukmin. Maka sesiapa (orang mukmin) yang mendapatinya maka ia lebih berhak
dengannya”
5-
Tidak
ada dalil yang menghadkan atau mengkhususkan sesuatu cara dalam melakukan
pemilihan pemimpin. Cara atau teknik adalah terpulang kepada ijtihad yang
bersesuaian dengan masyarakat, masa dan tempat selagimana tidak bertentangan
dengan nas syara’.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Kamu lebih mengetahui akan urusan keduniaan kamu.” – muslim
6-
Ia
termasuk juga dalam konteks maksud firman Allah berkenaan tolong menolong dalam
perkara kebaikan dan kebajikan, dalam Surah Al-Maidah pada ayat ke-2 :
“Dan tolong menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan taqwa, dan
jangan tolong menolong dalam perkara dosa dan melampaui batas”
7-
Termasuk
dalam konteks suruhan Allah berkenaan dengan amar makruf nahi mungkar.
Surah Ali Imran pada ayat ke-104 yang bermaksud :
“Hendak ada dari kalangan kamu satu kelompok yang menyeru ke arah
kebaikan dan menyuruh melakukan perkara makrif serta mencegah kemungkaran, dan
merekalah orang yang berjaya.”
Surah Ali Imran pada ayat ke-110 yang bermaksud :
“Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan kepada manusia untuk kamu
menyuruh kepada perkara makruf, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah.”
Umar Al-Tilmisani, mantan Mursyidul Am Ikhwan Al-Muslimin berkata :
“Sesungguhnya kita tidak mengejar akan kemenangan yang dinamakan dengan
kemenangan politik. Akan tetapi kita mengejar akan kemenangan yang hakikatnya
pertolongan daripada Allah. Maka apabila kita memasuki Dewan Rakyat / Parlimen,
maka kita tidak menganggap ia sebagai satu kemenangan mengikut pertimbangan manusia,
akan tetapi ia sebagai minbar atau medium untuk menyampaikan dakwah.”
8-
Salah
satu cara dalam mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah yang lepas.
Iaitu dengan menggantikan dengan pemerintah yang adil dan amanah. Serta mampu
membawa suara rakyat serta dakwah ke dalam parlimen. Hal ini termasuk dalam
konteks “kuasa” dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud :
“Sesiapa dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka cegahlah ia
dengan tangan (kuasa), jika tidak mampu maka cegahlah dengan lisan, maka jika
tidak mampu maka dengan hati, dan itu adalah selemah-lemah iman.”
9-
Menyebarkan
Islam dalam konteks yang lebih luas dan membawa maslahat kepada manusia. Hal
ini demikian kerana Islam tidak hanya tertumpu kepada hubungan manusia dengan
tuhan semata-mata, tidak hanya dalam konteks ibadah khusus semata-mata bahkan
segenap urusan dalam kehidupan manusia.
Al-Imam Hassan Al-Banna menyebutkan bahawa :
“Islam adalah satu sistem yang menyeluruh yang merangkumi semua aspek
dalam kehidupan. Ia adalah negara dan tanah air ataupun kerajaan dan umat. Ia
adalah akhlak dan kekuatan ataupun rahmat dan keadilan. Ia adalah kebudayaan
dan undang-undang ataupun keilmuan dan kehakiman. Ia juga adalah kebendaan dan
harta ataupun kerja dan kekayaan. Ia adalah jihad dan dakwah ataupun
ketenteraan dan fikrah. Sebagaimana juga ia adalah akidah yang benar dan ibadat
yang sahih, kesemuanya adalah sama pengiktibarannya di sisi kita.”
10-Berdasarkan hadis yang menunjukkan pemilihan pemimpin. Antaranya sabda
Nabi SAW yang bermaksud :
“Keluarkan (tampillah) daripada kalangan kamu kepadaku akan 12 wakil
sebagai lantikan naqib ke atas kaum-kaum mereka.” Kemudian
lantas keluar 12 wakil dengan dilantik sebagai naqib, 9 daripada mereka dari
kalangan Khazraj, bakinya daripada Aus.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud :
“Kamu keluar 3 orang yang bermusafir, maka hendaklah mereka melantik
seorang ketua daripada kalangan mereka.”
Dalam hadis di atas jelas menunjukkan melantik seorang ketua atau wakil
pemimpin melalui pemilihan samada undi mengikut majority atau kesepakatan
bersama.
Bahkan Nabi SAW mengiktiraf akan konsep majority dalam sabda baginda SAW
yang maksud :
“Sesungguhnya syaitan bersama-sama dengan satu individu, dan ia akan
jauh apabila dua.”
Nabi SAW bersabda kepada Abu Bakar dan Umar Al-Khattab yang bermaksud :
“Sekiranya kamu bersepakat dalam mesyuarat akan sesuatu keputusan, maka
aku tidak akan bertentangan dengan keputusan tersebut.”
11-Berdasarkan kaedah-kaedah, iaitu :
ما لا يَتِمُّ الواجِبُ إلا به فَهُوَ واجِب
Sesuatu kewajipan yang tidak akan sempurna melainkan dengan sesuatu
perkara maka ia menunjukkan bahawa perkara tersebut adalah wajib. Membangunkan
negara Islam adalah kewajipan kerana menegakkan syariat secara menyeluruh tidak
dapat tidak mesti dengan pentadbiran sesebuah negara. Maka tanpa melalui pilihanraya,
gerakan Islam tidak akan mampu meraih ruang kuasa untuk mentadbir negara.
Hukum
Mengundi
Ulama
berbahas dalam menentukan apakah hukum bagi mengundi. Terdapat perselisihan
ulama dalam menentukan hukumnya. Walaupun begitu majoriti ulama meletakkan
hukum mengundi sebagai penyaksian iaitu memberikan saksi bahawa calon yang undi
tersebut adalah baik dan layak untuk memegang amanah sebagai pemerintah.
Pendapat
ini digunakan oleh Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna, Kesatuan Ulama Sedunia
yang dipengerusikan oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, Syeikhul Al-Azhar Syeikh Ahmad
Tayyib, Mufti Mesir Syeikh Ali Jumaah dan sebagainya.
Justeru
warganegara yang layak mengundi wajib mengundi atas dasar memberikan
penyaksian. Jika calon tersebut tidak layak serta tidak amanah maka ia tidak
boleh berkrompomi dengannya. Jika calon tersebut amanah dan mampu memikul
tanggungjawab pemerintah untuk menjaga agama dan maslahat keduniaan manusia ia
mestilah mengundi calon tersebut. Hal ini demikian kerana memberikan kuasa
kepada orang yang akan memberikan kerosakan adalah haram kerana bersubahat
dengannya.
Berkata
Al-Imam As-Syahid Hassan Al-Banna : “Memberikan undian adalah suatu
penyaksian, manusia akan ditanya akannya (calon mana yang akan dipilih dan
kenapa), maka putuslah untuk memberikan undian berdasarkan hati-hati kamu dan
akal kamu, dan jadilah orang yang membantu akan kebenaran dan berani dalam
memilih calon yang baik (serta amanah)”
Perkara
ini disebut oleh Al-Imam As-Syahid pada tahun 1936 sewaktu memutuskan gerakan
Islam Ikhwan Al-Muslimin untuk memasuki pilihanraya. Dan ia menambah lagi
bahawa :
-
Mengundi
adalah hak bagi semua warganegara dan kewajipan yang mesti dilaksanakan
-
Undian
dalam pilihanraya merupakan salah satu penyaksian yang terbesar selain di
padang mahsyar
Ini
dikuatkan lagi dengan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Syeikhul Azhar Syeikh
Ahmad Tayyin dan Mufti Mesir Syeikh Ali Jumaah berkenaan dengan undian adalah
wajib kerana ia merupakan suatu penyaksian, sebagaimana yang dikeluarkan dalam
surat khabar tempatan Mesir yang bertarikh 28 November 2011.
Sehubungan
itu, Dr Yusuf Al-Qardhawi menyebutkan bahawa :
“Sesiapa
yang memberikan saksi (undian) kepada seorang yang tidak soleh bahawa lelaki
tersebut adalah soleh (layak menjadi pemimpin) maka ia sesungguhnya orang yang
memberikan undi tersebut telah melakukan dosa dan kesalahan berdasarkan firman
Allah dalam Surah Al-Hajj pada ayat ke-30 yang bermaksud :
“Dan
jauhilah kekotoran syirik dan perkataan yang dusta (menipu)”
Maka
sesiapa yang mengundi seseorang calon kerana kepentingan peribadi seperti
kroninya atau kawannya atau kepentingan lain (selain Islam), maka ia telah
melanggar konsep saksi. Sedangkan Allah menyuruh manusia memberikan saksi
kerana-Nya (kepentingan Islam) bukan sebab kepentingan lain. Berdasarkan kepada
firman Allah SWT dalam Surah At-Thalak pada ayat ke-2 yang bermaksud :
“Dan
hendaklah kamu menyempurnakan penyaksian itu kerana Allah semata-mata”
Dan
sesiapa yang tidak mengundi atau tidak memberikan undi kepada yang selayak
(dengan sengaja) ia dikira telah menyembunyikan penyaksian dan ini bersalahan
dengan perintah Allah dalam Surah Al-Baqarah pada ayat 283 yang bermaksud :
“Dan
janganlah kamu menyembunyikan penyaksian, maka sesiapa yang menyembunyikan
penyaksian sesungguhnya ia berdosa akan hatinya”
Kesimpulan
Berdasarkan kepada penerangan-penerangan di atas
dapat disimpulkan beberapa perkara :
-
Pilihanraya merupakan salah satu jihad dalam
menegakkan negara yang melaksanakan Islam dengan sepenuhnya
-
Undian merupakan satu penyaksian. Maka ia merupakan
hak dan kewajipan yang mesti dilaksanakan.
-
Islam tidak menetapkan bagaimana konsep untuk
melantik pemerintah, ia terpulang kepada ijtihad selagimana tidak bercanggah
dengan syara’.
Wallahu a’lam
Disediakan oleh :
Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012
Rujukan :
1-
Min Fiqh Ad-Daulah Fi Al-Islam, oleh Dr Yusuf
Al-Qardhawi, cetakan Dar As-Syarouq
2-
Al-Intikhabat ; Ahkam Wa Dhawabit, oleh Dr Akram
Kassab, cetakan Dar As-Salam
3-
Al-Ikhwan Al-Muslimun Wa Al-Intikhabat, cetakan
Al-Basair Lil Buhuth Wa Ad-Dirasat
4-
Kitab Qadhaya Fiqhiyyah Muasorah, bagi Syariah
Islamiah tahun 2, Universiti Al-Azhar
5-
Nazorat Fi Risalah At-Ta’lim, oleh Muhamad Abdullah
Al-Khatib dan Muhamad Abdul Halim Mahmud, cetakan Dar At-Tauzik Wa An-Nasyr
6-
Al-Qawaid Al-Fiqhiyyah, oleh Dr Abdul Aziz Muhamad
Azzam, cetakan Dar Al-Hadis Al-Kaherah