Pages

Wednesday, March 9, 2011

Gaddafi sedia berundur



SEBUTIR bom digugurkan dari sebuah jet pejuang tentera Muammar Gaddafi di bandar Ras Lanuf, Libya semalam.

TRIPOLI – Diktator Libya, Muammar Gaddafi memberi isyarat bahawa beliau bersetuju meninggalkan negara berkenaan setelah memerintah selama 41 tahun, lapor sebuah akhbar semalam.

Gaddafi bagaimanapun, meletakkan syarat supaya beliau dan keluarganya diberikan sejumlah wang dan mereka dikecualikan daripada pendakwaan jenayah.

Stesen televisyen Al-Jazeera melaporkan bahawa pemimpin berusia 68 tahun itu turut mengusulkan supaya parlimen Libya mewujudkan satu tempoh peralihan bagi memberi laluan kepada beliau meletak jawatan.

Gaddafi diberitakan menghantar bekas perdana menteri, Jadallah Azzouz Talhi, bertemu para pemimpin penentang di bandar Bengazhi bagi mencapai satu persetujuan mengenai tawaran itu.

Mereka bagaimanapun menolak tawaran Gaddafi kerana menganggap ia satu penghinaan kepada mangsa-mangsa kekejamannya.

“Pendirian kami selama ini adalah jelas, Gaddafi perlu berundur dan tanpa syarat,” kata seorang pegawai kumpulan penentang, Essam Gheriani.

Dalam perkembangan berkaitan, jet-jet pejuang Libya melancarkan sekurang-kurangnya lima serangan udara berhampiran kedudukan pihak penentang di bandar pelabuhan minyak Ras Lanuf.

Serangan tersebut dilancarkan bagi menghalang tentera penentang daripada mara ke kubu kuat Gaddafi di ibu negara Libya, Tripoli.

Tiada laporan kecederaan setakat ini manakala seorang wartawan agensi berita Associated Press yang menyaksikan serangan udara tersebut menyatakan ia gagal mengenai pejuang penentang.

Sementara itu, seorang saksi memberitahu bahawa tentera yang setia kepada Gaddafi telah menawan semula bandar Zawiya yang terletak dekat dengan Tripoli yang sebelum ini jatuh ke tangan pihak penentang.

Saksi berkenaan yang menghubungi agensi berita Associated Press melalui telefon, berkata, sejumlah kereta kebal dan kenderaan tentera Gaddafi meronda di bandar tersebut yang terletak 50 kiolemeter ke barat Tripoli dan melepaskan tembakan rambang ke arah rumah-rumah penduduk. – Agensi

No comments: