Pages

Wednesday, March 16, 2011

ISABELLA - Taman Yang DiBerkati (Bab 1)

Sebuah novel berdasarkan kajian perbandingan Islam dan Kristian
Oleh Maulana Mohammad Saeed
Terjemahan Abdullah Hussain

Di bandar Cordova, negeri Sepanyol terdapat sebuah taman yang amat terkenal kerana keindahan bunga-bungaan dan kesegaran tanam-tanaman di dalamnya, berbeza sedikit dari Taman Firdausi. Taman ini selalu dibanjiri oleh para pelancong jauh dan dekat.

Pada suatu petang yang damai di salah satu sudut taman itu yang agak terpencil, duduk dua orang lelaki muda yang kelihatannnya seperti orang berilmu. Mereka sedang tenggelam di dalam satu perbincangan agama yang serius.

Hari semakin petang dan matahari sudah hampir ghurub di langit barat. Kicauan burung yang pulang ke sarangnya menimbulkan suasana riang kepada orang-orang yang lalu-lalang. Seorang gadis kristian yang dikenali namanya dalam sejarah sebagai Isabella kebetulan duduk bercengkerama dengan beberapa orang kawannya di sebalik serumpun tumbuhan berhampiran dengan tempat kedua lelaki muda itu.

Isabella sering datang ke taman itu dengan kawan-kawannya untuk menikmati keindahan alam semula-jadi. Dia adalah anak ketua paderi bandar Cordova dan baru berusia 17 tahun.

Kecantikan wajahnya dan keanggunan perawakannya selalu digambarkan oleh pemuda-pemuda yang mengenalinya sebagai jelmaan bidadari dari syurga. Orang-orang bangsawan termasuk para paderi banyak yang tergila-gilakannya. Mereka ingin mengambilnya sebagai isteri untuk menjadikan hidup mereka bahagia dan gembira. Tetapi keinginan mereka itu dihalangi oleh cita-cita bapa Isabella yang mahukan anaknya itu mengikuti jejak Siti Mariam, ibu Nabi Isa, hidup membujang sampai ke akhir hayat, mengabdikan dirinya kepada Jesus Kristus.

Dia tidak bermaksud memberi suami kepada anaknya itu tetapi sebaliknya mendidiknya dengan ilmu agama sehingga Isabella dalam usia semuda itu telah mahir dalam berbagai-bagai masalah yang berkaitan dengan keagamaan dan sangat mengambil perhatian berat di dalam perbincangan-perbincangan yang mengenai ilmu ketuhanan.

Dalam masa dia bergurau senda dengan kawan-kawannya itu terdengar olehnya suara dari sebalik rumpun bunga, orang bercakap tentang agama. Dia tersentak apabila orang di sebalik rumpun itu berkata "padahal paderi-paderi Kristian". Dia lalu dengan berhati-hati memasang telinganya.

Pada waktu itu, kedua orang lelaki muda itu kerana terlalu asyik dengan perbincangan mengenai agama Kristian tidak sedar bahwa perbincangan mereka sedang didengar oleh beberapa orang gadis Kristian.Salah seorang pemuda itu berkata, "Saint Paul telah menulis di dalam salah satu suratnya bahwa hukum-hukum agama itu merupakan satu kutukan dan Jesus Kristus telah datang untuk menyelamatkan kita daripada kutukan tersebut. Apakah makna kata-katanya itu?" Terdengar ketawa kecil kawannya. "Umar, sahabatku. Engkau mahu aku menerangkan kepadamu padahal paderi-paderi Kristian sendiri ...."

Waktu itulah Isabella sedang mendengar percakapan itu. Dia lalu berkata kepada kawan-kawannya, "Nampaknya orang-orang di sebelah kita ini sedang memperkatakan tentang agama kita. Mari kita dengar apa yang sedang mereka kata." Salah seorang kawannya menyampuk dengan nada sinis, "Sejak orang-orang Islam datang ke mari, agama kita diancam bahaya." "Diamlah!" herdik Isabella. "Nanti mereka tahu kita ada di sini. Mari kita dengar apa yang sedang mereka kata."

"Apa maksudmu, paderi-paderi Kristian sendiri. Apakah mereka juga tidak memahaminya? Apakah mereka itu menganut agama Kristian hanya secara membuta tuli saja?" tanya orang yang bernama Umar. Namanya yang lengkap ialah Umar Lahmi seorang terpelajar yang terkenal di kalangan cendekiawan agama.

"Cubalah ajukan pertanyaan itu kepada paderi yang terkemuka dan dengar apa jawabannya. Tetapi sebelum itu terangkan lebih dulu kepadaku apakah yang menyebabkan tuan tidak bersetuju dengan kata-kata St. Paul itu!" ujar Maaz, demikian nama seorang lagi.

Sambil memandang muka sahabatnya, Umar Lahmi berkata, "Bukan aku tidak bersetuju tetapi aku hanya mahu memahaminya saja. Tuan seorang yang banyak bergaul dan bercakap dengan orang-orang Kristian. Tuan juga banyak banyak membaca kitab-kitab mereka. Maka sebab itulah aku meminta penerangan daripada tuan. Menurut pendapatku apabila hukum-hukum agama itu merupakan satu kutukan dan Nabi Isa datang mahu menyelamatkan penganut-penganut agama Kristian dari kutukan itu maka pencurian, penzinaan, penderhakaan kepada ibubapa seharusnya dapat dibenarkan di dalam agama Kristian meskipun barangkali tidak ada orang Kristian yang percaya tentang pembenaran berlakunya perkara-perkara itu."

Maaz agak kebingungan sejurus mendengar kata-kata sahabatnya itu. "Bagaimana boleh pencurian dan penzinaan dikaitkan dengan hukum-hukum agama menjadi satu kutukan? Aku tidak berapa faham dengan maksud tuan."

"Apa yang aku maksudkan," jawab Umar Lahmi, "ialah di dalam Kitab Perjanjian Lama, hukum-hukum agama memerintahkan bahwa kita tidak boleh mencuri, tidak boleh berzina, tidak boleh menimbulkan kesukaran kepada tetangga, tidak boleh derhaka kepada orangtua dan lain-lain lagi. Apabila seluruh hukum-hukum agama itu merupakan satu kutukan, maka mematuhi perintah-perintahnya juga merupakan satu kutukan karena perintah-perintah itu adalah sebahagian daripada agama, malah ia adalah intisarinya yang sebenar. Jikalau yang dikatakan oleh St Paul itu benar, maka orang-orang Kristian boleh mencuri, boleh berzina dan boleh melakukan dosa-dosa lain. Apabila mereka mematuhi hukum-hukum agama ini maka mereka termasuk orang yang dilaknat dan orang-orang Kristian yang menentang pula dapat dihukum bersalah kerana mereka tidak mematuhi peraturan-peraturan agama."

Maaz tersenyum kecil apabila sahabatnya itu selesai menghuraikan hujahnya yang panjang lebar itu. Sambil mengangguk-anggukkan kepala, dia berkata, "Agak aneh. Tuan mahu aku menjelaskan perkara yang sama yang seringkali aku kemukakan kepada orang-orang Kristian."

"Apa?" Umar Lahmi agak terperanjat mendengar kata-kata Maaz itu. "Tuan juga telah bertanya kepada mereka? Jadi, apa jawaban mereka?"

"Mereka cuba memberi penjelasan tetapi terlalu membingungkan." jawab Maaz.

Sebaik saja Maaz selesai bercakap, dari menara masjid yang berhampiran dengan taman kedengaran suara azan maghrib dilaungkan oleh muazzin yang merdu dan amat syahdu. Kedua-dua orang sahabat itu pun bangun dari duduknya, menuju ke sebuah tempat air untuk berwuduk dan kemudian menuju ke masjid untuk ikut berjemaah bersama-sama dengan saudara-saudara Muslimin yang lain.

Isabella yang sejak tadi mengintai mendengar perbincangan Umar Lahmi dan Maaz merasa amat terkilan apabila kedua-dua orang itu bangun secara tiba-tiba meninggalkan tempat itu. Dia mendengar percakapan kedua orang itu dengan penuh minat apatah pula dia memang sangat tertarik dengan soal-soal yang berhubungan dengan ketuhanan dan dapat pula membuat penilaian terhadap penentangan yang dikemukakan oleh kedua orang muda itu. Dia cuba mencerna persoalan itu dan mencari jawaban kepada pokok perbincangan yang ditimbulkan tetapi ternyata tidak berdaya. Akhirnya dia mengambil keputusan akan mengemukakan hal tersebut kepada bapanya. Setelah membuat keputusan itu, dia mengajak kawan-kawannya pulang.

Isabella berpisah dengan kawan-kawannya di satu persimpangan jalan. Dia berjalan menuju ke pintu gerbang sebelah timur Cordova.

...bersambung Bab 2 esok.

No comments: