Pages

Showing posts with label anak. Show all posts
Showing posts with label anak. Show all posts

Saturday, April 2, 2011

Cara Paling Bijak Mendidik Anak Menjadi Penyabar

Tentunya anda pernah terbaca pelbagai kaedah untuk mendidik anak menjadi seorang yang penyabar. Namun ada satu cara yang diakui semua pakar sebagai Cara Terbaik, Paling Bijak dan Paling Efektif untuk mendidik anak menjadi seorang yang penyabar. Cara ini namanya Role Modeling. Role Modeling bermaksud menjadikan diri anda sebagai contoh atau model untuk ditiru oleh anak anda.

Anak-anak mendengar apa yang anda perkatakan tapi meniru apa yang anda buat. Anak-anak memang suka meniru. Kanak-kanak yang dijaga oleh ibu bapa, tentunya suka meniru apa yang dibuat oleh ibu dan bapa mereka. Oleh itu, saya ingin berkongsi sedikit pengalaman, apa yang saya pelajari dari arwah bapa saya tentang erti kesabaran.

Seperti anda, saya juga biasa membaca tentang tips mendidik anak menjadi orang yang penyabar. Tapi saya yakin, apa yang saya pelajari dari arwah bapa saya jauh lebih berkesan daripada apa yang saya baca dalam pelbagai buku.

Yang menariknya, bapa saya ini jarang berada di rumah. Terlalu jarang. Malah, bapa saya tidak pernah datang ke kenduri kahwin sepupu-sepupu saya, kenduri keluarga, atau makan malam bersama keluarga.Jika ada saudara-mara yang meninggal dunia sekalipun, kelibatnya tidak kelihatan dan hanya diwakili oleh ibu saya. Lazimnya dia ada di rumah lewat malam selepas balik dari kerja. Itu pun dalam keadaan letih lesu, hampir tiada tenaga untuk bergurau dan bermesra dengan anak-isteri.

Oh ya, satu-satunya waktu ayah saya ada di rumah ialah di Hari Raya. Itu pun sekejap sahaja. Cukup untuk solat Hari Raya sebelum bergegas pulang untuk menyalin pakaian dan pergi kerja semula. Ayah saya seorang pemandu bas. Pekerjaannya apa yang disebut sebagai 'kolar biru' atau buruh. Dia hanya dibayar gaji yang rendah mengikut berapa jam dia memandu bas. Akibatnya, bapa saya tidak pernah mampu untuk mengambil cuti langsung.

Ada dua kisah bapa saya yang ingin saya paparkan di sini, mengenai bagaimana arwah mendidik saya dan adik-beradik saya untuk belajar bersabar.

Bersabar Untuk Mendapat Apa Yang Dihajati

Sewaktu saya di sekolah menengah, skim pinjaman buku mula diperkenalkan. Pelajar bumiputra diberi pinjaman buku dengan syarat buku-buku tersebut dipulangkan pada akhir tahun. Tujuannya supaya buku-buku tersebut boleh dipakai semula oleh pelajar-pelajar yang naik tingkatan. Jika nasib baik, dapatlah buku baru. Jika tidak, dapatlah buku yang sudah dipakai oleh orang lain.

Saya masih ingat ketikanya apabila saya memberitahu bapa saya tentang skim pinjaman buku ini. Saya tunjukkan borang yang perlu diisi. Tetapi dia hanya berkata, "Tak payah pinjam buku. Kalau pinjam dapat buku bekas orang sudah guna, mungkin buku tu dah diconteng atau ada yang koyak halamannya. Kalau dapat buku baru, kena dipulangkan pada hujung tahun. Lah (nama timangan saya di rumah, singkatan dari Jamilah) tak boleh gunakan lagi untuk rujukan tahun seterusnya." Begitulah tegasnya bapa saya.

Rumah di mana saya dan adik-beradik saya dibesarkan kemas dan bersih tetapi tidak secantik rumah orang lain. Malah, bapa saya tidak mampu untuk membeli cat untuk mengecat rumah kami. Oleh itu, dinding rumah kami bolang-boleng; penuh dengan bekas air hujan! Setiap kali hujan turun, ia akan meninggalkan kesan seperti peta dalam Atlas Dunia.

Saya dan adik-beradik serta emak saya cukup maklum mengapa kami berkeadaan begitu. Bapa saya berhempas-pulas bekerja dari awal pagi sehingga malam, bukan sahaja untuk menyediakan makanan yang berzat untuk kami, tetapi juga dia mahu memastikan ada cukup wang untuk membayar yuran sekolah DAN buku baru DAN baju baru untuk Hari Raya setahun sekali. Demikianlah hidup kami seharian, tahun demi tahun.

Sejak kecil, saya dan adik-beradik belajar dari bapa saya bahawa satu-satunya cara untuk berjaya, mendapatkan apa yang kami hajati ialah dengan berusaha dan bersabar. Inilah yang tertanam dalam jiwa saya sehingga saya menjadi pelajar perempuan pertama dari kampung saya yang berjaya menjejakkan kaki ke universiti di luar negara. Malah, kesemua adik-beradik saya berjaya menuntut di universiti; sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelumnya dalam sejarah kampung kami.

Bersabar Di Kala Susah dan Sakit

Bapa saya banyak menghabiskan tiga bulan terakhir hayatnya terlantar di hospital di Johor Bahru. Saya sering berulang-alik dari Kuala Lumpur ke sana kerana berganti-ganti dengan adik-beradik saya untuk menemaninya. Beberapa minggu sebelum dia meninggal dunia, bapa saya hampir tidak boleh menelan apa sahaja yang disuakan ke bibirnya. Ini kerana, ada ketumbuhan di dalam kerongkongnya. Yang boleh ditelan sedikit hanyalah beberapa titik air.

Doktor mengenakan sejenis alat disebut sebagai 'shunt' untuk memasukkan sedikit cecair nutrien ke dalam tubuh bapa yang semakin hari semakin uzur. Apa yang menghairankan saya ialah, meskipun jelas bapa saya tidak selesa dan menderita, setiap kali saya bertanyakan padanya, "Sakit ke abah?" Dia hanya menggelengkan kepala dan menjawab lembut, "Taklah." Dia langsung tidak keluh-kesah dengan apa yang dialaminya.

Setiap malam saya di hospital, saya tidur di sofa di sebelah katil bapa. Oleh kerana dia tidak boleh makan atau minum, dia bergantung kepada drip yang dipasang pada urat di pergelangan tangannya. Saya sering tertanya-tanya sehingga kini: Bagaimanakah seorang yang benar-benar menderita boleh begitu sabar dan tenang? Dia cukup redha dengan ujian yang diharunginya. Jauh di lubuk hati saya, saya berazam untuk menjadi orang yang penyabar seperti bapa.

Saya harap dua kisah di atas meyakinkan anda bahawa cara paling bijak, terbaik dan paling berkesan untuk mendidik anak menjadi insan yang penyabar ialah dengan anda sendiri menjadi orang yang penyabar. Tunjukkan contoh pada anak anda apa ertinya kesabaran dengan perbuatan anda sendiri, bukan setakat memberitahunya untuk bersabar.

Bersabarlah jika anda dilanda masalah kewangan. Bersabarlah jika anda dibuang kerja. Bersabarlah jika anda kehilangan orang yang disayangi. Bersabarlah jika anak-anak membuat salah dan silap. Pendekata, bersabarlah jika Allah Maha Pengasih menguji anda. Ingatlah: ANAK-ANAK ANDA TIDAK MENURUT APA YANG ANDA KATAKAN. MEREKA HANYA MENIRU APA YANG ANDA LAKUKAN.

Tuesday, February 1, 2011

Rahsia Mendapat Anak Yang Soleh

alt

"Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan zuriat keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa." [Surah Al Furqan, 74]

Tips Untuk Kaum Bakal Ibu/Ibu Bagi Mendapat Anak Soleh - Dari Satu Diskusi

  • Lazimi makanan yang Halaalan Toyyiban terutama yang makanan yang diproses pastikan Halal dan Toyyib.
  • Berusaha untuk menghafaz Al-Quran bagi mendidik deria pendengaran janin. Boleh mulakan dengan surah-surah lazim. Allah berikan kita kekuatan aqal, jangan under estimate atau kufur dengan nikmat akal. Don't say no before you even start. Saya pernah mendengar kata seorang ustaz, jika kita dah berniat untuk menghafal Al-Quran dan berusaha untuk menghafaz tetapi dijemput dengan ajal terlebih dahulu, maka malaikat akan bantu kita dalam alam barzakh untuk habiskan hafazan 30 juzu'. Wallahuálam.
  • Gunakan bahasa -bahasa yang baik semasa berkomunikasi. Jauhkan perkataan yang kasar, carut, sumpah dan laknat. Mulai belajar menggunakan bahasa yang baik dan positif. Contoh yang diberi adalah apabila nak suruh anak solat. "Solat sekarang, kalau tidak masuk neraka". Walaupun mesej betul tetapi bahasa kurang sesuai. Bagaimana kalau - "anak-anak, sekarang waktu solat sudah masuk. Allah beri kita mata untuk kita melihat, kaki untuk kita berjalan. Kalau kawan kita berikan kita kuih, kita akan ucapkan apa? tentunya "terima kasih". Begitu juga kita dengan Allah, kita kena ucapkan terima kasih dengan pelbagai nikmat yang Allah berikan. Caranya pergi solat. Allah kata kalau orang yang berterima kasih dengan Allah, nanti Allah akan pasti tambah lagi. Allah sayang dengan orang yang tahu bersyukur dengan ni'mat Allah." Tak mungkin pemikiran agung (Islam) disampaikan dengan bahasa yang kasar dan kesat. Sedangkan iklan maksiat pun guna bahasa yang menarik, apatah lagi dalam membentuk generasi pemimpin berperibadi Muslim.
  • Mentadabbur Al-Quran melalui majlis ilmu. Oleh itu, disarankan juga untuk pelajari Bahasa Arab bagi membantu memahami ayat yang dibaca dan menghayati maksudnya.
  • Belajar ilmu-ilmu lain yang diperlukan dalam membentuk generasi pemimpin berperibadi Muslim dalam rahim.
  • Amalkan mandi sunat Pagi Jumaat. Jika terlupa niat mandi sunat Jumaat, niatkan waktu mandi petang. Jika terlupa hari Jumaat, hari Sabtu baru teringat, maka niatlah pada hari Sabtu. Menunjukkan satu komitmen bagimelahirkan generasi pemimpin berperibadi Muslim.
  • Hubungan suami-isteri adalah satu tanggung jawab membina generasi pemimpin berperibadi Muslim, bukan sekadar melepaskan keinginan shahwat.

Akhir kalam :

"Didalam rahim ku, generasi pemimpin berperibadi Muslim. Ditanganku, generasi pemimpin berperibadi Muslim."

Tuesday, September 14, 2010

Latih Anak-Anak Berfikir Positif

Kadang-kadang dunia persaingan akademik dan hambatan pembelajaran formal menjadikan anak-anak tumpul pemikirannya.

Ibu bapa masakini terlalu berlumba-lumba untuk melihat anak mendapat keputusan peperiksaan yang boleh membanggakan mereka, atau sekurang-kurangnya tidak menjatuhkan air muka bila ditanya oleh kawan-kawan, saudara mara atau jiran tetangga.

Terkadang anak-anak menjadi mangsa. Mereka mangsa ibu bapa yang mahu mempertahankan keegoannya.

alt

Mendapat keputusan yang tinggi dalam peperiksaan belum tentu membuktikan anak-anak akan menjadi cemerlang.

Keputusan peperiksaan yang baik boleh menjadi petanda bahawa anak itu bersungguh-sungguh, rajin, punya daya ingatan baik, cepat memahami sesuatu dan bijak menyelesaikan sesuatu masalah.

Namun ia bukan satu bukti yang mutlak. Anak-anak yang cemerlang adalah yang punya keunggulan dalam rohaninya, pemikirannya, emosinya, akhlaknya dan fizikalnya.

Berfikir Untuk Cemerlang

Bahkan dalam aspek pemikiran, keputusan peperiksaan hanya dapat mengambarkan sebahagian kecil daripada kecemerlangan pemikirannya.

Oleh yang demikian ibu bapa perlu memiliki gambaran yang tepat berkaitan usaha memperkembangkan pemikiran anak-anak agar menjadi anak yang berfikiran cemerlang dan hebat.

Seperti yang pernah dibincangkan dahulu, Islam meletakkan asas yang kukuh dalam pembinaan pemikiran yang seimbang. Al-Quran itu sendiri menyedikan wahana unggul dalam membentuk pemikiran anak-anak.

Selain itu, Islam amat menggalakkan umatnya mengembangkan kebolehan berfikir.

Ungkapan "mudah-mudahan kamu berfikir', 'semoga kamu menggunakan akal' atau seumpamanya kerap didapati dalam Al-Quran.

Allah menyuruh para mukminin agar sentiasa merenung, bertafakur dan memikirkan dengan mendalam setiap fenomena alam yang dicipta oleh Allah.

Semuanya menjadi bahan untuk mendekatkan diri kepadaNya dan menjadikan umat muslimin cemerlang dunia akhirat.

Bahkan kecemerlangan Islam pada generasi awalan juga berlaku kerana keberanian umat Islam meneroka alam ilmu dan pemikiran bagi memenuhi kehendak agama dan manusiawi.

Asas kecemerlangan dalam pemikiran ialah mempunyai ilmu yang mantap dan kemahiran berfikir yang hebat. Soal kemahiran dalam berfikir kurang menjadi perhatian ibu bapa pada hari ini.

Anak-anak banyak didedahkan dengan fakta dan data.

Namun, sedikit dibiasakan dengan seni bagaimana menganalisa dan mengolah fakta, pengalaman, maklumat dan data.

Mereka banyak diarah untuk melakukan itu dan ini, tetapi sedikit didorong untuk mencari inisiatif dan berfikir secara proaktif.

Proaktif ya, Reaktif tidak.

Anak-anak perlu diajar menjadi proaktif bukannya sekadar reaktif.

Anak yang reaktif ialah anak yang tidak mampu mengawal dirinya dalam menghadapi cabaran.

Dia cepat menyalahkan cabaran yang mendatang, dan lambat berfikir untuk mengatasainya.

Dia suka merungut-rungut dengan kesulitan dan sulit untuk meragut peluang penyelesaian.

Dia amat terpengaruh dan terkesan dengan apa yang menimpa ke atas dirinya dan amat kecil kebolehan untuk mempengaruhi dan mengawal sikap atau perlakuan diri sendiri.

Dia hanya berusaha apabila ditekan dan dipaksa.

Sebaliknya anak-anak yang proaktif adalah anak-anak yang tahu halatuju hidupnya dan berusaha melaksanakan tanggungjawabnya.

Dia berupaya untuk membuat keputusan dan pilihan dalam kehidupan seharian, dan bertanggungjawab atas pilihannya. Kesulitan yang menimpa tidak dianggap 'masalah' tetapi sebagai satu 'cabaran'.

Lantas dia menghadapainya dengan tabah.

Anak-anak yang proaktif juga punya kesedaran, dan keinsafan sehingga terdorong untuk melakukan kerja-kerja baik walau pun tanpa ditekan atau dipaksa.

Pemikiran dan sikap proaktif bukan wujud secara semulajadi dalam diri anak-anak.

Ia adalah hasil tarbiyah tidak formal sama ada sengaja atau tidak sengaja oleh pendidik mereka-terutamanya ibu bapa.

Pertamanya, anak-anak perlu mengerti matlamat hidupnya-menjadi hamba Allah yang cemerlang dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah. Hal ini perlu diulang-ulang oleh ibu bapa.

Keduanya, setiap apa yang suruh kepada anak-anak perlu dinyatakan sebabnya. Juga perlu dikaitkan dengan matlamat unggul tadi. Jika anak-anak disuruh mengemaskan bilik, nyatakan sebabnya.

Jika anak diminta habiskan nasi sehingga licin, sebutkan tujuannya. Demikian lah seterusnya.


sumber : http://www.iluvislam.com/keluarga/ibu-bapa/832-latih-anak-anak-berfikir-positif.html

Tuesday, July 7, 2009

Saat Mula Ku Lahir Ke Alam Baru





Alhamdulillah... Adik Hazim telah selamat lahir pada 6hb Julai 2009 jam 12:44 tghari di Hospital Mukah, Sarawak. Berat semasa dilahirkan 3.07kg. Moga2 bakal menjadi pejuang yang menegakkan agama Allah suatu hari nanti. InsyaAllah.

Tuesday, June 9, 2009

Tips: 50 Rangsangan Anak Bijak

raffizmy@yahoo.com

Pakar perkembangan bayi percaya bahawa tahun-tahun pertama kehidupan bayi merupakan tempoh utama pembelajaran berlaku. Anda tidak perlu muzik-muzik klasik, pita-pita belajar bahasa atau kad imbas untuk merangsang otak bayi atau kanak-kanak. Alat pembelajaran terbaik baginya ialah ANDA. Bercakap, menyanyi dan ketawa bersama-sama. .. jenis-jenis interaksi-interaksi harian begini adalah lebih penting. Namun, kadangkala memang sukar untuk memikirkan cara-cara baru untuk merangsang anak kecil anda (terutama sekali apabila anda tidak tidur malam meredakan tangisannya) . 50 aktiviti menarik (dan berdasarkan sains) yg disyorkan ini pasti membuahkan hasil.

1-BERTENTANG MATA

Ambil peluang ketika mata si kecil terbuka luas dan lihat dalam-dalam anak matanya. Bayi kecil dapat mengenal wajah di awal usia dan wajah anda adalah yang paling penting. Setiap kali dia merenung anda, dia sedang membina memorinya.




2-BERCAKAP-CAKAP DENGANNYA

Walaupun reaksi yang akan anda dapat adalah rupa keliru dan hairan di wajahnya, cuba berhenti sebentar di antara ayat untuk menggalakkan bayi memberi reaksi. Lama-kelamaan, dia akan dapat menangkap ritma perbualan dan mengisi ruang kosong yang anda biarkan senyap tadi.

3-JIKA BOLEH, SUSUKAN DENGAN SUSU BADAN

Lakukan selama mana yang anda boleh. Tahukah anda bahawa kenyataannya adalah, kanak-kanak bersekolah yang disusukan badan semasa bayi tinggi IQnya. Tambahan pula, dengan menyusu badan anda dapat merapatkan hubungan dengan bayi sambil menyanyi, bercakap atau membelai rambutnya..

4-JELIRKAN LIDAH

Kajian menunjukkan bahawa bayi yang baru lahir semuda dua hari dapat meniru pergerakan wajah yang mudah - ia menandakan kaedah penyelesaian masalah di awal usia.

5-HASILKAN BUKU BINATANG

Sekali lagi anda melawat zoo, ambillah gambar-gambar haiwan kesukaannya untuk dialbumkan. Kemudian, 'bacalah' buku itu bersama-sama sambil menamakan haiwan yang dikenali atau membuat bunyi-bunyi binatang dan cerita haiwan.

6-GELETEKLAH BAYI ANDA

Geletek keseluruhan tubuhnya. Ketawa, merupakan langkah pertama dalam perkembangan humour bayi. Permainan seperti 'cak cekur' dan 'labah-labah panjat perigi' dapat mengajar anak bagaimana hendak menjangka apa yang bakal berlaku.



7-TUNJUKKAN PERBEZAAN

Pegang dua keping gambar lebih kurang 8-12 inci jaraknya dari muka bayi anda. Gambar-gambar tersebut seharusnya lebih kurang sama tetapi ada sedikit perbezaan (mungkin salah satunya ada pokok dan satu lagi tiada). Bayi yang masih kecil pun boleh melihat kedua-duanya dengan teliti dan mencari perbezaannya. Ini dapat membantu perkembangan dalam pengecaman huruf dan pembacaan apabila dia besar kelak.

8-BERKONGSI PANDANGAN

Bawalah bayi anda berjalan-jalan dalam pendukung bayi yang boleh diikat ke badan anda dan beritahu semua perkara yang anda nampak kepadanya. "Tengok anak kucing tu." atau "Besarkan pokok ni!" atau "Dengar tak bunyi bomba tu?" - untuk membekalkan bayi anda dengan sebanyak mungkin perbendaharaan kata.

9-NYANYIKAN LAGU UNTUKNYA

Belajarlah sebanyak mungkin lagu yang anda boleh atau rekalah lagu anda sendiri ("mari kita tukar lampin, tukar lampin, tukar lampin....") . Mainkan lagu Beethoven atau Beatles... Ada kajian yang mencadangkan bahawa mempelajari ritma muzik, ada kaitan dengan pembelajaran matematik.

10-GUNAKAN MASA MENUKAR LAMPIN SEPENUHNYA

Gunakan waktu menukar lampin untuk mengajar bahagian-bahagian badan atau pakaian. Ceritakan sambil menukar lampin untuk mengajar bayi menjangka rutin.

11-SENTUH DAN RASA

Simpan sekotak helaian kain dengan tekstur yang berbeza-beza; sutera, kain tuala, kain kapas dan linen. Perlahan-lahan sapukan kain-kain tersebut pada pipi, kaki dan perut bayi sambil bercerita bagaimana rasanya.

12-PERGI MEMBELI-BELAH

Bila anda perlukan rehat daripada menari dan menyanyi, lawatlah pasaraya. Wajah-wajah, bunyi-bunyian dan warna-warna yang ada di sana menghiburkan bayi.

13-BERI KATA KUNCI

Jika anda berkata, "Mak nak buka lampu ni," sebelum menekan suis, anda sedang mengajar sebab dan akibat.

14-BERI KEJUTAN

Kadangkala, gembirakan bayi dengan meniup muka, tangan atau perutnya perlahan-lahan. Cuba tiup sambil membuat corak dan lihat reaksinya.




15-SEDIAKAN BANYAK TISU

Jika bayi anda suka main tisu, biarkan sahaja. Dengan hanya beberapa sen, anda mendapat alat mainan deria yang boleh direnyuk dan digosok. Sorokkan mainan kecil di bawah tisu dan biarkan dia mencari.

16-BACA BUKU

Berulangkali. Saintis telah mendapati bahawa bayi semuda lapan bulan dapat belajar mengenali turutan dalam cerita jika dibaca dua atau tiga kali berturutan. Ia dipercayai membantunya belajar bahasa.

17-MAIN CAK-CAK

Menyorok-nyorok bukan sahaja dapat membuatkan dia ketawa. Bayi anda belajar bahawa objek boleh hilang dan muncul kembali.

18-JANGAN LUPA REHAT

Luangkan masa beberapa minit sehari dengan hanya duduk di atas lantai bersama bayi anda - tanpa muzik, tanpa cahaya terang, tanpa mainan. Hanya biarkan anak meneroka dan lihatlah ke mana dia membawa anda.

19-MAIN DENGAN WARNA

Pilih satu warna dan suruh anak anda cari objek lain yang sama warna sewaktu anda berdua berjalan atau menaiki kereta bersama. Kemudian, suruh pula anak memilih warna untuk anda pula mencarinya.

20-BIARKAN DIA BERMAIN DENGAN MAKANANNYA

Apabila anak sudah boleh makan, hidangkan makanan dengan tekstur yang berbeza - termasuklah kacang pea dimasak, bijirin, pasta atau cebisan daging dikisar. Dia dapat berlatih mencubit dan meneroka deria rasanya.

21-ANGKATKAN SAHAJA

Jika bayi anda asyik menjatuhkan barang mainannya dari kerusi makannya yang tinggi, angkatkan dan beri kembali kepadanya walau berapa kali pun dia melakukannya. Dia sebenarnya sedang belajar dan menguji hukum graviti. Berikan dia beberapa keping kertas atau bola tennis, letakkan besen besar di bawah kerusinya dan biarkan dia menjalankan eksperimennya sendiri.

22-BIAR DIA MEMBEBEL

Bayi anda memahami suara tinggi dan bunyian aneh yang anda buat.

23-LATIHAN MENEKA

Gunakan beberapa cawan plastic dan sorokkan satu permainan kecil di bawah salah satu cawan tersebut dan biarkan dia meneka sambil mencari mainannya.

24-BINA LALUAN HALANGAN

Tingkatkan kemahiran motor dengan meletakkan kusyen sofa, bantal, kotak atau permainan di atas lantai dan kemudian tunjukkan kepada bayi
bgaimana hendak merangkak di bawah, di atas atau di sekeliling halangan tersebut.

25-IKUT RENTAKNYA

Semakin anak anda membesar, dia semakin suka mencuba kreativitinya untuk melihat jika anda benar-benar mengikut apa yang dia lakukan seperti membuat bunyi aneh, merangkak secara terbalik atau ketawa.

26-BUAT MUKA LAWAK

Kembungkan pipi dan suruh anak sentuh hidung anda. Bila dia sentuh sahaja, poof! Tiupkan ke mukanya. Suruh dia tarik telinga anda dan jelirkan lidah. Buat bunyi yang pelik ketika dia memegang kepala anda. Amalkan rutin yang sama tiga ke empat kali dan kemudian tukar caranya untuk membiarkan anak kembali meneka.

27-RASA SEKELILING ANDA

Berjalan-jalanlah di sekitar rumah dengan mendukung bayi. Letakkan tangannya pada tingkap, kain, daun dan objek-objek selamat yang lain sambil me'label' barangan tersebut.

28-CERITAKAN KISAH DONGENG

Pilih kisah dongeng kegemarannya dan tukarkan nama watak utama ke nama anak supaya dia seronok.

29-BAYANGAN WAJAH

Biarkan bayi anda merenung dirinya di dalam cermin. Dia mungkin menyangka yang dia sedang memerhatikan budak comel yang lain, tetapi dia akan menyukainya bila bayi "yang lagi satu" senyum dan melambai padanya.

30-(KADANGKALA) BIARKAN DIA JADI BOS

Bina keyakinannya dengan memberi peluang untuk dia memilih salah satu daripada dua pilihan: mangkuk berlainan warna ketika waktu makan, contohnya. Dia akan tahu bahawa keputusannya diambil kira - dan boleh berlatih menghafal nama warna.

31-GOYANGKAN BADAN

Ajar anak untuk menari twist dan menjerit, mengepak seperti ayam atau berpusing seperti ballerina.

32-JADILAH TAMAN PERMAINAN

Berbaring di atas lantai dan biarkan bayi anda memanjat dan merangkak di atas anda. Ia lebih murah daripada membeli gymnasium mainan dan lebih menyeronokkan. Anda dapat meningkatkan koordinasi dan kemahiran menyelesaikan masalahnya.

33-KIRA SEMUANYA

Kira berapa banyak blok kayu yang boleh anak anda susunkan. Atau jumlah anak tangga dalam rumah anda. Atau jari jemari tangan dan kakinya. Kira dengan kuat dan pasti dia akan mengikut anda.

34-GUNAKAN MASA BERCERITA SEPENUHNYA

Tunjukkan segala gambar dengan terperinci, dan tanya anak anda segala jenis soalan daripada soalan abstrak ("adik rasa kenapa Pekan nak makan telur tembakul ibunya?") sehinggalah ke soalan konkrit ("Pernah tak adik nampak kucing putih?")

35-TUTUP TV

Bayi anda memerlukan interaksi secara berdepan dengan seseorang yang tidak dapat diberikan oleh rancangan TV, walau sebaik manapun rancangan itu mengajarnya.




36-TUKAR PEMANDANGAN

Tukar kedudukan kerusi makannya di sebelah meja yan lain. Anda dapat mencabar memorinya untuk mengingat di mana hidangan diletakkan setiap kali waktu makan.

37-MAIN PERMAINAN MEMORI WAJAH KELUARGA

Ambil gambar wajah-wajah ahli keluarga yang penting dalam kehidupan bayi anda, buat dua salinan bagi setiap satu gambar - dan anda sudahpun ada satu set kad suai padan. Susunkan ia menghadap ke atas di atas lantai, dan bantu anak anda mencari dua kad yang serupa. Semakin bayi anda membesar, anda boleh mengubah cara bermain dengan menyusunnya menghadap ke bawah (menelangkupkannya) .

38-RAKAM VIDEO UNTUKNYA

Tonton video bayi anda mandi buat kali pertama, belajar merangkak, main dengan nenek dan datuk bersama-sama dengannya. Ceritakan kisah video itu untuk mengasah kemahiran berbahas dan memorinya.

39-MAIN HUJAN

Lompat ke dalam lopak air yang besar. Duduk di atas rumput basah bersamanya. Walaupun kotor, ianya menyeronokkan dan merupakan salah satu cara belajar tentang basah dan kering.

40-MENANGKAP SERANGGA

Tunjukkan gambar serangga tidak berbahaya (kumbang ladybird, cengkerik, rama-rama) di dalam majalah atau buku, kemudian pergi ke taman bunga untuk mencarinya.




41-BERGURAU-SENDA

Tunjukkan gambar Pak Cik Mat dan katakan "Ini Ibu." Kemudian akui kebodohan anda dan ketawakan 'gurauan' anda itu untuk membina naluri humour dalam dirinya.

42-MAIN DENGAN PAKAIAN

Biarkan anak anda bermain dengan pakaian lama ayahnya. Cari kembali topi-topi, skarf atau sarung tangan lama. Main permainan olok-olok dan biarkan kreativiti dan imaginasinya membawa anda.

43-AJAR TENTANG ISIPADU

Kumpulkan cawan-cawan atau bekas plastik yang berbeza saiz, dan biarkan anak anda memenuhkan air ke dalamnya. Kadangkala, dia akan hanya menuangkan sehingga setengah penuh. Terangkan kepadanya cawan yang mana lebih besar dan yang mana lebih kecil.

44-HASILKAN ALBUM KELUARGA

Masukkan gambar saudara mara jauh dan dekat, selalulah melihatnya untuk membina memori anak anda.. Sewaktu neneknya menelefon, tunjukkan gambar nenek sewaktu anak bercakap dengannya di telefon.

45-SURUH ANAK MEMBUAT KERJA

Anak kecil boleh membantu mengasingkan pakaian yang ingin dicuci mengikut warna. Dia juga boleh mengasingkan bajunya di antara baju-baju lain.

46-PERGI KE PERPUSTAKAAN

Ambil peluang bila perpustakaan anda menganjurkan sesi bercerita atau tayangan teater boneka. Selain itu, barisan buku-buku juga pasti tidak menjemukan.

47-CONTOHI CARA SESAME STREET

Khaskan satu minggu untuk satu abjad.. Contohnya, baca buku yang bermula dari A, makan makanan A, potong snek mengikut bentuk A, dan tulis huruf A di halaman luar rumah dengan kapur.

48-MAIN BERULANG-ULANG

Cari semula permainan lamanya sewaktu dia masih bayi. Anda pasti kagum dengan kebolehannya mencari cara baru untuk bermain dengan permainan lamanya itu.

49-MAIN "TIRU-MENIRU"

Merangkak dengan kelajuan yang berbeza-beza supaya anak boleh meniru anda. Berhenti sekali-sekala untuk bermain permainan lain.

50-BERCAKAP TENTANG PERASAAN

Peluklah dia waktu dia ingin tidur dan tanya apa yang membuatkan dia gembira atau sedih hari ini. Apa yang membuatnya marah atau bangga? Anda akan bantu dia memahami apa yang telah berlaku dan cara melabel emosi. Aktiviti ini harus dikekalkan sehinggalah dia masuk Universiti nanti.

Semoga bermenfaat!

Shicida Methods - Jadikan Anak Anda Pandai

www.iLuvislam.com
unknown
editor : kasihsayang




BANYAK cara untuk mendidik personaliti anak-anak. Ada menggunakan pelbagai kaedah dan pendekatan semata-mata mahu memberikan yang terbaik buat anak-anak.Salah satu teknik yang mula di pratikkan di Malaysia ialah SHICIDA METHODS , iaitu kaedah mendidik anak-anak berfikir menggunakan otak kanan yang diajar oleh orang Jepun.Ini kerana otak sebelah kanan lebih efektif berbanding otak kiri tetapi ia perlu dipraktikkan dengan lebih kerap untuk mengaktifkan penggunaannya. Kelas SHICIDA METHODS ada ditawarkan di sesetengah tempat disini,namun kosnya agak mahal berbanding kelas-kelas lain,malah tidak ramai ibu bapa khususnya orang Melayu mampu menghantar anak-anak mereka ke kelas sebegini.Disini disertakan serba sedikit kaedah SHICIDA METHODS untuk dipraktikkan oleh ibu bapa dalam membesarkan anak-anak.Kaedah ini boleh Nampak kesannya dalam masa seminggu ia di pratikkan,namun bergantung kepada kebolehan dan keupayaan otak anak-anak anda menerimanya :



1) Sewaktu anak hendak tidur atau tidur-tidur ayam,cakap padanya dengan sepenuh hati dan sejujurnya yang kita sayang kat dia,dia budak baik,dia anak soleh,dia budak kuat,dia budak pandai dan sebagainya sebab sewaktu tidur-tidur ayam itulah otak kanannya sedang bekerja manakala otak kiri sudah tidur.Tapi kena buat dengan seikhlas hati sebab kalau dalam keadaan marah,ia tidak menjadi.Kalau mereka sudah tidur,cuba ramas-ramas jari atau tangan dia atau picit-picitkan badannya supaya dia kembali dalam keadaan tidur-tidur ayam.Cuba pratikkan pada anak anda khususnya bagi mereka yang liat bangun pagi.Insya-Allah menjadi.

2) Mula guna kad untuk ajar anak anda.Ada peserta yang ajar ABC-Z guna kad dalam masa seminggu sahaja,lepas tu mereka sudah kenal semua huruf dan boleh eja perkataan yang pendek-pendek. Buat atau beli kad banyak-banyak dan tunjuk pada mereka cepat-cepat seperti a…..b….c….d . Insya-Allah mereka cepat tangkap sebab bila kita tunjuk laju-laju otak kanan dia akan bekerja keras untuk tangkap apa benda yang ditunjuk.Boleh juga buat atau beli kad 1,2,3 atau gambar-gambar tertentu .

3) Gerak kerja tangan adalah hasil dari otak kanan,jadi cuba ajar anak anda main tanah liat,main cat air ( water colour ) ,melukis,gunting kertas,origami dan sebagainya.Memang agak leceh dan kena kemas semula,tapi untuk kebaikan anak-anak apa salahnya berkorban sikit.Satu lagi cuba lukis gambar,contohnya rama-rama,tapi hanya sebelah badannya sahaja dan suruh anak-anak sambung lukis ikut apa yang anda lukis dibahagian satu lagi.Ini pun dapat mengaktifkan penggunaan otak kanan.Tahukah anda kenapa orang Cina dan Jepun kebanyakkannya pandai-pandai ? Ini kerana mereka makan menggunakan kayu penyepit.Kayu penyepit mengaktifkan kerja tangan sekaligus membantu menggerakkan otak kanan.

4) Jangan marah-marah atau tengking anak sebab mereka boleh simpan semuanya dalam otak kiri.Kalau tanpa sengaja marah atau menengking mereka,kembali semula ke cara pertama dan minta maaf pada mereka dengan ikhlas.

5) Cuba bina daya imaginasi mereka dengan cara bercerita dan kemudian suruh mereka menyambung semula cerita tersebut.Walaupun cerita itu merapu pun tidak mengapa asalkan mereka punya inisiatif untuk berimaginasi .

6) Main teka-teki dengan mereka. Letakkan satu barang dalam kotak dan kemudian suruh mereka teka apakah barang tersebut.Untuk permulaan,berikan mereka pilihan untuk menggambarkan jenis barang dalam kotak terbabit seperti memberitahu warna,bunyi dan sebagainya.Lama- kelamaan mereka boleh bangunkan deria keenam ( Sixth Sense ) dengan menumpukan perhatian kepada benda yang berada dalam kotak terbabit.Ini semua adalah untuk mengaktifkan otak sebelah kanan.Tapi ingat semua permainan yang hendak dilakukan itu hanya boleh dilakukan selama setengah jam sehari.Tidak perlu lama-lama kerana ia boleh menimbulkan rasa bosan.

Sebelum lakukan semua kaedah ini,pastikan anda mempunyai masa yang benar-benar cukup.Pendekatan ini memerlukan keikhlasan dan kesunggguhan. Dalam Islam sendiri pun menggalakkan ibu bapa bercakap dengan anak-anak ketika mereka mahu tidur kerana pada ketika itulah di antara waktu-waktu doa dimakbulkan. Seorang Kaunselor juga memberitahu, jangan suka menyebut JANGAN pada anak-anak kerana apa yang kita sebut itulah yang mereka ikut .Cuba ganti perkataan JANGAN dengan perkataan lain untuk menyampaikan maksud anda,misalnya – “ Tolong senyap Along ” berbanding “ Along Jangan bising ”