Pages

Showing posts with label dakwah. Show all posts
Showing posts with label dakwah. Show all posts

Thursday, July 14, 2011

Inginkan Ulama Malaysia Seperti Al-Qaradawi?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

IMG_4821

Menghadiri pengajian intensif bersama Sheikh Al-Imam Dr Yusuf Al-Qaradhawi di Doha Qatar memberi seribu satu macam kesan dan semangat buat diri saya, tercapai juga hasrat untuk mengaji secara berdepan bersama Sheikh yang telah lama tersimpan sebelum ini.

Terkenang pada hari pertama, Sheikh menceritakan kepada kami liku-liku pengajiannya sehingga tertulisnya buku pertama beliau ‘Al-halal wal al-haram fil Islam’. Sebelum syeikh sampai ke majlis, Setiausaha ahli jawatankuasa penganjur, menceritakan pelbagai latar belakang Sheikh yang amat menarik perhatian. Berkenaan cara sheikh menulis kitab-kitabnya dan lain-lain.

Dari pelbagai yang diceritakan, ada satu perkara yang ingin saya sentuh dalam tulisan ringkas ini. Iaitu kebijaksanaan Sheikh Yusuf Al-Qaradawi yang terserlah sejak beliau di peringkat sekolah rendah lagi. Menurut info yang diberikan, Sheikh adalah tergolong dalam 100 pelajar terbaik seluruh Mesir sejak peringkat rendah lagi sehinggalah ke peringkat Universiti.

PILIHLAH PELAJAR CEMERLANG JADI USTAZ

Dari situ, saya kerap terfikir betapa perlunya seseorang ilmuan Islam itu dipilih dari kalangan pelajar-pelajar yang terkenal bijak dan rajin sejak peringkat rendah lagi. Malah sudah sekian lama, saya mencadangkan kepada pelbagai pimpinan NGO Islam termasuk PAS, agar membuat satu perancangan tersusun untuk melahirkan lebih ramai ulama Malaysia yang berwibawa, menembusi peringkat global dan berperanan besar.

Sebelum ini seringkali kita melihat, ibubapa yang mempunyai anak-anak bijak dan rajin serta memperolehi keputusan peperiksaan cemerlang, dijuruskan oleh ibubapa mereka ke arah menjadi doktor perubatan dan lain-lain bidang profesional berasaskan ilmu sains.

Keadaan dan kecenderungan sedemikian menjadikan jumlah pelajar berminda cerdas dan rajin JARANG dapat disalurkan menjadi seorang ilmuan DAN PEMIKIR ISLAM YANG HEBAT.

Teringat bagaimana Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradawi merupakan ‘cream of the cream’ ketika di Mesir, sejak kecil. Justeru, dengan pengajian bersungguh, penuh minat, ikhlas dan istiqamah, beliau mampu menjadi seorong ilmuan Islam dan daie yang terulung di dunia.

Saya amat berharap kepada sesiapa sahaja yang membaca artikel ini agar cubalah membentuk anak tuan dan puan yang terbukti berminat, rajin dan cerdas akal fikirannya untuk dibentuk menjadi seorang alim besar.

PROSES PERLU PLAN TERSUSUN DAN TERANCANG

Proses ini tentunya perlu kepada ibubapa yang sudah sediakan alim di bidang agam, atau jika tidak ia lebih mudah disusun dan dirangka oleh sesebuah organisasi, mempunyai dana khusus untuk itu dan sekumpulan pakar yang diberikan tugasan membentuk diri anak terbabit.

Saya teringat info yang diberi oleh seorang seorang pelajar Melayu yang telah menjadi doktor di Ireland dan kini sudah hampir menjadi pakar dalam bidangnya. Beliau mendedahkan bahawa proses untuk mencapai apa yang telah dan sedang beliau capai itu, banyak juga bergantung kepada doktor-doktor pakar di Malaysia yang menasihatinya selalu, agar beliau faham dan tahu bahagian teknikal apa yang perlu diperkukuhkan dan dimantapkan bagi memenuhi tuntutan kerjaya doktor pakar di Malaysia. Proses ini menuntut beliau untuk bertugas dan belajar di Ireland hampir 15 tahun.

Demikian, proses yang diperlukan jika kita ingin melahirkan seorang ulama bertaraf lima bintang di Malaysia, kita perlukan sekumpulan ulama sebagai mentor, yang boleh sentiasa memberi panduan, tunjuk ajar, bimbingan dan pemantauan agar pengajian yang dilalui benar-benar diarah dan berjaya sampai ke sasarannya.

Kita tidak mahu, pengajian mereka terpilih salah guru akhirnya menjadi seorang yang ekstrem yang bersifat pemecah berbanding penyatu umat dalam masalah yang bukan pokok.

INGIN JADI ALIRAN MANA INI?

Sebagaimana diketahui agak banyak juga pecahan-pecahan aliran pemikiran Ulama Islam dalam menanggapi dan memahami teks-teks Al-Quran dan Sunnah di Malaysia. Sehingga tergelar begitu banyak jenis aliran, kefahaman dan kumpulan. Masing-masing merasa mereka yang terbenar dan berada di jalan yang sohih, menafikan kebenaran pada yang lain.

Seperti wujudnya aliran salafi jalur keras (digelar Wahabi oleh pembenci mereka), Salafi sederhana, Salafi lembut, khalafi keras ( digelar Ahbash oleh pembenci mereka), sederhana dan lembut. Demikian juga Sufi tarekat, aliran hadith, Zahiri moden, Syiah, Tabligh dan sebagainya.

BANGGA DENGAN GURU & TEMPAT

Selain terpecahnya aliran sebagaimana di atas, kerap juga ditemui lepasan pengajian Islam yang taksub dan terlalu berbangga dengan universiti masing-masing, tidak kurang dengan Sheikh (guru) masing-masing.

Sehingga ke suatu tahap, tidak merasa apa yang dipunyai oleh individu dan kumpulan lain mampu dan sampai ke tahap keilmuan dan kefahaman mereka.

Keadaan ini menjadikan lulusan pengajian Islam dilihat sering berpecah dan bertempur hujjah sesama sendiri serta terabai akhlak mulia dan masalah lebih besar dan nyata di kalangan masyarakat awam.

Di tambah dengan keadaan masyarakat awam yang majoritinya masih malas membaca, berfikir panjang dan menilai secara penyelidikan. Keadaan di atas menjadi bertambah buruk.

Kumpulan masyarakat ini akhirnya, sering terikut-ikut cara 'pemalas' lalu mempakejkan kebenaran kepada hanya satu-satu kumpulan, selain mempakejkan kesalahan juga kepada yang lain. Bermakna, jika sudah dilabel seseorang individu sebagai 'tidak bersama kumpulan dan alirannya', semua ilmu dari sebelah sana TIDAK BOLEH dibaca atau difikirkan sama sekali, hanya layak ditolak walau perlu melalui takwilan yang tersasar agar kelihatan jahat pandangan tersebut.

Padahal, kebenaran dalam hal ijtihadiyyah itu boleh sahaja bercampur-campur di pelbagai pihak, Hanya Allah yang maha mengetahui kesemunya. Manusia hanya mampu berusaha mencari keputusan yang diyakini paling hampir dengan kasih Allah. Namun sukar untuk mana-mana pihak mendabik dada berkenaan kebenarannya dalam semua perkara khususnya dalam hal cabang fiqh dan lain-lain bidang agama.

Demikianlah Sheikh Al-Qaradawi mengajar kami agar tidak menutup pintu kebenaran di pihak yang lain, penilaian perlu dibuat secara adil, bukan emosi dan bertenang dalam apa jua topik keagamaan. Selain memahami status sesuatu isu yang dibincangkan itu berada dalam kategori qat'ie atau zhonni.

withsheikh

PECAH KERANA UNIVERSITI

Sedihnya apabila melihat terdapat lulusan timur tengah memandang rendah kepada lulusan tempatan, hanya kerana mereka dapat belajar dari guru berbangsa arab.

Graduan universiti tempatan pula ada yang menafikan kebijaksanaan graduan timur tengah, khususnya apabila mengetahui majoritinya pergi bukan dengan biasiswa kerajaan hasil keputusan terbaik, tetapi pergi atas belanja sendiri atau dermasiswa kerajaan negeri tertentu, setelah tidak mampu memperolehi biasiswa JPA atau Kementerian dek kerana keputusan SPM yang tidak melayakkan biasiswa diterima.

Haru melihat pandangan rendah di antara satu sama lain seperti ini berlaku, namun ia hakikat walau pahit ditelan.

Lulusan Mesir pula, terdapat sebahagian yang memandang rendah lulusan Jordan, Morocco Syria dan lainnya, almaklumlah mereka merasakan diri mengaji di institusi tertua pengajian Islam, dipenuhi ulama sejak seribu tahun yang lalu.

Lulusan Mekah dan Madinah pula, ada sebahagiannya merasa diri paling hebat almaklum mengaji di tanah Rasul tercinta, Mekah dan madinah yang penuh berkat. Hanya terpilih setelah proses interview dan menikmati biasiswa mewah kerajaan Arab Saudi.

Lulusan Jordan pula ada yang menganggap majoriti lulusan Mesir sebagai kurang kualiti, disebabkan pengajian mereka yang tidak bersistem, tiada kelas diwajibkan serta majoriti lemah di dalam bahasa arab fushah dan pelbagai alasan lagi diberikan.

Sebahagian lulusan Yaman pula merasa mereka lebih faqih dan faham berbanding yang lain

Sebahagian lulusan Pakistan merasa mereka lebih pakar di bidang hadis dari yang lainnya.

Dan senarai ini berterusan, sukar mencari penghujung. Padahal guru dan tempat belajar hanyalah sebab luaran kepada perolehan ilmu. Apa yang lebih penting adalah diri sendiri, keberkatan pengajian dan keikhlasan dalam menuntutnya.

Hakikatnya hal ini bukan sahaja berlaku di kalangan ustaz dan ustazah kecil di tanahair kita sahaja, malah di kalangan sheikh-sheikh arab yang dilihat alim juga ada memandang rendah kepada satu sama lain. Malah beberapa ilmuan di Syria dan Saudi sering melihat Sheikh Al-Qaradawi sebagai tiada ilmu dan pelbagai lagi.

HASIL MASING-MASING RASA HEBAT

Hasil masing-masing merasa diri lebih hebat, maka berlakulah pertembungan hujjah. Dmulakan secara perlahan, berubah menjadi keras, emosi, tiada akhlak. Berlakulah proses kecil memperkecil tahap ilmu di antara satu sama lain, mengutuk tempat pengajian satu sama lain dan sebagainya.

Ukhuwwah di antara golongan ini yang diharapkan menjadi model kepada masyarakat dan sepatunya dicontohi oleh masyarakat menjadi sebaliknya. Masjid dan surau tempat mereka dijemput ceramah dan berkuliah dijadikan medan berkesan untuk ‘membantai’ individu lain.

Masyarakat awam yang masih kegersangan ilmu dan keliru ini akhirnya semakin jauh, semakin keliru dan ragu, dan akhirnya memilih untuk memasuki salah satu kem dan memeriahkan permusuhan di antara satu sama lain. Adakah ini fungsi para lulusan agama ini?.

Gejala label melabel menjadi senjata antara satu sama lain. Label ‘WAHABI’ dan ‘AHBASH’ dan banyak lagi seringkali digunakan.

Kelihatan seolah tiada siapa yang boleh melunakkan pihak-pihak ini kecuali JIKA DAPAT DITAMPILKAN SESEORANG YANG MEREKA SEMUA YAKIN DAN HORMAT.

Menurut pengamatan sederhana, kelihatan lulusan mesir hanya akan hormat kepada seseorang yang juga pernah mendapat kelulusan dari tempat yang sama dengan mereka. Demikian Mekah, Madinah, Jordan, Yaman Pakistan dan lainnya.

LAHIRKAN ULAMA HASIL GABUNGAN PENGAJIAN

Hasilnya, mungkin jika kita ingin melahirkan seseorang ilmuan yang insaf adil, lunak dan mampu meredakan ketegangan dan perpecahan ini. Mungkin dari sekarang NGO-NGO Islam dan ibubapa perlu merancang untuk melahirkan ulama ulung Negara dari proses pengajian yang pelbagai.

Setelah proses saringan pelajar terpintar, cerdas dan rajin tadi dilakukan dari peringkat rendah atau menengah rendah.

NGO atau organisasi Islam terbabit bolehlah merangka plan penghantaran pengajian pelajar terpilih ini. Setelah rangka asas pengajian terpilih ini, objektifnya sasarannya, proses monitor dan semakan yang komprehensif disediakan.

Mungkin gabungan fasa pengajian seperti berikut boleh difikirkan. Selepas pelajar terbabit mencapai keputusan cemerlang di peperiksaan SPM.

1. Diploma Tahfiz di Darul Quran atau mana-mana pusat tahfiz terbaik. ( atau hafazan ini boleh diperolehi lebih awal di sekolah menegaha sebagai contoh)

2. Peringkat BA : Cadangan saya, menghantarnya ke mana-mana universiti di Jordan bagi tahap sarjana muda. Ini kerana bagi saya, kelulusan pensyarah-pensyarah universiti-universiti di Jordan biasanya adalah gabungan Phd dari Al-Azhar, Ummul Qura, Iraq, Jordan, Madinah, Syria dan lain-lain. Majoritinya dari Al-Azhar. Justeru, kepelbagaian latarbelakang pensyarah banyak membantu bagi melahirkan graduan yang berfikiran terbuka dan toleransi dalam kepelbagaian ijtihad mazhab dan aliran. Ditambah pula dengan sistem pengajian yang lebih tersusun dan penggunaan bahasa arab fushah yang sederhana.

Selain pengajian di universiti, perlu ada mentor yang memastikan pelajar terpilih tadi menghadiri pengajian-pengajian talaqqi dengan sheikh-sheikh teralim di Jordan khususnya di Amman.

Boleh juga ditambah jadual pengajian mereka dengan memberikan belanja yang cukup untuk mereka menghabiskan cuti semester dengan pengajian talaqqi di Syria di hadapan guru-guru terhebat di sana.

HASIL : Kita mengharap graduan ini tamat belajar dari Jordan dan Syria dalam tempoh 4 tahun dengan ijazah dan gabungan ilmu talaqqi di kedua-dua negara. Memperolehi kekuatan bahasa arab dan basic yang utuh dalam ilmu-ilmu Shariah sama ada bidang Fiqh atau Usuluddin.

3. Peringat Masters : Cadangan saya, disiapkan sama ada di Universiti Al-Azhar atau Universiti Kaherah. Ini perlu bagi pelajar terpilih ini memperolehi kelebihan pengajian di mesir yang merupakan pusat ilmu Islam yang amat berpengaruh.

Pada masa yang sama, jika mampu, dinasihtkan pelajar ini menghadiri juga pengajian di Darul Ifta, Mesir. Harapannya, pelajar terpilih ini mampu menyiapkan kedua-dua Sarjana di Al-Azhar dan Darul Ifta’ dalam masa 5 tahun atau kurang.

HASIL : Diharapkan dengan tamanya pelajar ini dari bidang ini, beliau akan pulang dengan kemantapan pengajian ilmu syariah peringkat tinggi dari Mesir di kedua-dua Al-Azhar dan Darul Ifta.

4. Peringkat PhD : Menyiapkan PhD di Universiti Islam Madinah atau Ummu Al-Qura.

Namun halangan, biasanya universiti Islam Madinah dan Mekah sukar menerima graduan yang tidak berlatar belakang dari universiti mereka di peringkat BA dan MA.

Sesuatu perlu diusahakan untuk membolehkan pelajar terpilih ini memasuki universiti ini. Harapannya, kekuatan pengajiannya di Jordan, Syria dan Mesir tadi dapat disempurnakan lagi di tanah suci ini.

Disamping pengajian rasmi di universiti, alangkah baik jika terdapat mentor yang telah mampu menasihatkan pelajar untuk mempelajari ilmu dari cara talaqqi. Di musim cuti, jangan diizinkan peljaar ini bekerja sampingan atau pulang ke Malaysia, tetapi perlu merantau ke Yaman untuk mendapat luahan ilmu dari guru-guru di sana pula.

HASIL : Dalam tempoh 4-5 tahun, dijangka pengajiannya boleh tamat. Ketika itu, amat berharap ilmuan yang dikeluarkan dari proses pengajian Islam yang mantap di Jordan, Syria, Mesir, Madinah, Yaman dan Mekah, maka akan TERHASILLAH SEORANG ILMUAN YANG sangat berwibawa, lunak, hikmah dan dihormati oleh majoriti aliran yang terdapat di Malaysia. Malah bijak pula menyesuaikan diri dengan ilmu-ilmu kontemporari.

Bagi melengkapkan lagi pusingan pengajiannya, selepas menamatkan Phd, mungkin pelajar terpilih ini boleh menunut paling kurang dalam tempoh 6 bulan di Pakistan untuk menghadiri kuliah di Darul Ulum, mendalami pengajian hadis. Juga dihantar setahun ke United Kingdom untuk pengajian Masters ( hanya 1 tahun) di Institut Pengajian Tinggi di UK ( seperti di Markfield Institue of Higher Education, UK), bagi membolehkan beliau melihat dunia dan masyarakat yang berbeza dari tanah arab, disamping menggarap metodolgi pengajian dan pemikiran di Negara barat. Disamping mengasah kekuatan bahasa Inggerisnya agar benar-benar beliau mampu berhadapan dengan pelbagai pihak kelak.

Bayangkan, jika kita mampu melahirkan ilmuan yang melalui proses ini, saya bersangka baik, individu tersebut mampu untuk meredakan pertengkaran aliran-aliran yang sering bertengkar, bersangka buruk dan berselisih. Disebabkan individu ini besar kemungkinannya bakal dihormati oleh kebanyakan aliran pengajian seseorang graduan ilmu Islam.

Hasil penilaian saya, tahap keegoan beberapa graduan agama di Negara kita sukar dineutralkan kecuali jika kita mampu melahirkan individu yang berpendidikan seperti di atas.

Namun tidak dinafikan, banyak cabaran yang merintang dan hasilnya belum pasti menjernihkan kedaaan, mungkin juga mengeruhkan lagi. Selain itu, proses di atas pastinya diragui oleh aliran-aliran yang telah wujud. Tentunya masih ada yang merasakan ‘individu ini adalah hasil tangan aliran itu’ justeru kita tidak terima dan sebagainya.

Cuma saya meyakini, kekuatan individu ini pastinya mampu serba sedikit merapatkan jurang yang telah wujud di kalangan graduan agama di Negara kita. Bukan hanya dengan tujuan peringkat nasional malah menjalar ke peringkat dunia. Berfungsi sebagai salah seorang ulama terulung di dunia hasil keluaran rakyat Malaysia.

MERANCANGLAH SAHABAT PERJUANG DI PLATFORM MASING-MASING

Kita sudah letih melihat, pengajian islam sering menjadi pilihan terakhir ibubapa setiap kali apabila memikirkan kerjaya anak-anak di masa hadapan. Kerjaya yang boleh menjana lebih banyak duit dan wang dan nama, sering menjadi keutamaan.

Akhirnya, agak ramai jumlah individu yang menjadi ustaz dan ustazah kekurangan kualiti ilmu. Disebabkan latar belakang mereka bukanlah dari jenis yang cintakan ilmu, cerdas dan rajin di dalam pengajian. Sejak dari pengajian peringkat rendah lagi terkenal dengan gagal dan ‘nakal’nya. Tiba-tiba dewasa menjadi ustaz, yang mengajar di masjid dan surau.

Bertambahnya jumlah graduan sebegini pastinya ada baik dan buruknya. Saya teringat berbincang dengan seorang sahabat yang bertanya bagaimana seseorang ustaz dan ustazah itu ingin muhasabah diri dan mengukur sejauh manakah tepatnya pandangan mereka dalam hal-hal agama.

Jawapan saya panjang, namun ringkasnya termudahnya, mana-mana ustaz-ustazah yang lahir dari pengajian universiti bolehlah musahabah diri dengan melihat kembali markah-markah peperiksaan mereka di universiti.

Benar, ia terlalu subjektif dan sukar untuk menjadi kayu ukuran. Tentunya markah peperiksaan semata-mata itu tidak mampu mencermin penilaian keilmuan seseorang dengan cara yang paling tepat, namun sekurang-kurangnya ia boleh member sedikit indikasi ukuran tahap cerdas pemikiran, hafazan, pemhana dan kerajinan seseorang individu itu semasa menjadi pelajar.

Bermakna jika, semasa tamat belajar dahulu di peringkat BA, MA atau Phd, markahnya adalah 50 %, mungkin beliau perlu sedar itulah peratusan kebenaran pandangan-pandangan fiqh dan agama yang disebarkan kepada masayarakat.

Jika 80 %, maka demikian juga tahap hampirnya dia kepada tepat. Jika hanya 46 %, maka besar jualah kemungkinan tersilapnya dia memberikan ilmu kepada masyarakat. Sama-sama kita muhasabah diri wahai para graduan agama. Agar apa yang kita berikan kepada masyarakat bukan berada di markah lulus tetapi markah cemerlang.

Atas sebab itu mungkin, majoriti institusi pengajian tinggi di seluruh dunia Islam meletakkan markah 75 % sebagai markah lulus bagi subjek-subjek bagi pengajian di peringkat tinggi MA dan PhD. Demikianlah sistem di Jordan, beberapa negara timur tengah dan juga universiti tempatan.

Ia memang perlu agar, keluaran pengajian tinggi di universiti-universiti ini bukan terdiri dari mereka yang hanya ‘cukup makan’ lulus di peringkat BA. Kerana mereka kelak perlu menjadi tenaga pengajar di universiti pula.

KESIMPULAN

Kita amat perlukan pelajar cerdas dan rajin sebagai bakal ustaz dan ustazah masa hadapan. Harapn tersebut memerlukan pernancangan dan memerlukan kos. Selain budget yang mungkin boleh diperolehi dari biasiswa kerajaan pusat atau negeri. Bagi menjayakan hasrat ini, pihak yang merancang memerlukan belanja lain agar plan yang digariskan dapat dilaksanakan.

Hasilnya kita berharap lahirnya ulama yang sangat tinggi kualitinya dewasa ini, seperti Al-Marhum Sheikh Abu Hasan Ali Al-Nadawi, Al-Marhum Sheikh Abul A’lA Al-Mawdudi, Sheikh Mufti Taqi Uthmani dan ramai lagi. Walau mereka bukan berbangsa arab, namun keilmuannya menembusi sempadan hormat dari ulama ‘Arab. Itu sesungguhnya sesuatu pencapaian yang amat sukar dicapai, namun mampu dicapai jika perancangannya melahirnya ulama sedemikian dilaksanakan dengan teliti.

Saya tidak berniat menyindir sesiapa, mana aliran dan mana-mana graduan dari mana-mana Negara dari tulisan ini. Hanyalah memberikan contoh sebenar dari pengamatan dan pengalaman di sekeliling agar kita sama-sama insaf. Namun, jika ada mana-mana aliran, kumpulan atau ustaz/ah yang terasa dengan tulisan ini, saya pohonkan kemafaan jika bahasanya kurang lunak dan elok.

Tentunya ia hasil kelemahan saya sendiri dalam usaha menyampaikan maksud yang diingini. Saya hanya mengharapkan kita sama-sama mampu melahirkan yang terbaik buat umat ini, sambil menyedari diri ini, mungkin tiada kemampuan mencapainya.

Akhirnya, jika ada mana-mana NGO dan ibubapa yang inginkan tenaga saya untuk membantu dalam perancangan ini, setelah mereka mempunyai pelajar terpilih, cukup ciri tadi, saya amat bersedia membantu setakat yang termampu, demi kebaikan ummah dan amal jariah diri untuk ke alam yang kekal abadi. Kegagalan kita merancang untuk melahirkan ulama ulung seperti Al-Qaradawi akan sentiasa menjadikan kita ketiadaan insan sepertinya.

IMG_4841

ciumqaradwi


Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

8 Februari 2011

Monday, June 6, 2011

Muslimah Pencetus Muslimin Bertaqwa

"Wanita yang secekal Asiyah dan Mariam selayaknya diangkat darjatnya di akhirat. Bayangkan apa yang berlaku dengan kecekalan dan sikap kuat beribadat yang ada pada Mariam? Akhirnya dari perutnya lahirlah seorang Nabi yang bakal meneruskan mata rantai perjuangan dakwah di bumi Allah."

Beberapa orang bertanya pada saya, "Apa yang Imtiaz maksudkan dengan Muslimat pencetus muslimin bertaqwa?" Ada yang tertanya-tanya. Tapi semuanya hakikat.

Wanita itu punya kelembutan yang dikurniakan oleh Allah SWT. Oleh itu, pilihlah jalan berdasarkan akal untuk menggunakan kelembutan dan kasih sayang yang ada. Sama ada untuk melentur buluh mahupun mengeraskan besi sedia ada.

Percaya atau tidak, wanita lebih berkuasa dalam mendidik?

Wanita punya kuasa besar dalam memupuk sifat positif dalam diri kanak-kanak mahupun dewasa. Tapi sejauh manakah mereka menggunakan kuasa dan kelebihan ini ke arah mendapatkan redha Allah?

Asiyah isteri Firaun; rata-rata sudah mengenal Asiyah isteri si kejam yang berperangai syaitan itu. Walaupun Asiyah bukanlah orang yang berjaya melentur Firaun supaya menjadi manusia yang beriman dan taat pada Allah; tetapi atas kuasa wanitanya beliau mampu memujuk Firaun supaya menerima Nabi Musa sebagai anak angkat.

Sedangkan semua tahu pada waktu itu, semua kanak-kanak lelaki akan dibunuh sebaik sahaja dilahirkan kerana salah seorang ahli nujumnya bermimpi kerajaan gah Firaun akan jatuh ditangan seorang lelaki pada masa hadapan.

(Dengan izin Allah) Mariam, ibu Nabi Isa a.s., sejarah menyaksikan bagaimana kecekalan seorang wanita menerima takdir Allah yang meniupkan roh seorang nabi ke dalam rahimnya walaupun beliau tidak pernah disentuh mana-mana lelaki sekalipun. Tapi apakah yang berlaku ketika Malaikat Jibril turun kebumi menemuinya di Mihrab tempat beliau beribadat?

Beliau terima seadanya akan ujian dan takdir Allah buat kehidupannya. Anda fikir sejenak.. bagaimana beliau mendapat kekuatan untuk menerima takdir itu? Tidak lain dan tidak bukan hasil dan kesan kepercayaan penuh yang diberikan dirinya kepada Allah!

Zulaikha yang menggoda Nabi Yusuf a.s. Masih ingat akan kisah yang diangkat darjatnya di sisi Allah ini sehingga dinukilkan di dalam Al-Quran kalamullah supaya menjadi pengajaran buat umat manusia?

Ya benar, Zulaikha isteri Perdana Menteri Mesir satu ketika dahulu nan cantik rupawan yang jatuh hati pada Nabi Yusuf yang mempunyai pakej lengkap seorang pemuda yang tampan lagi beriman.

Sehinggalah satu hari Zulaikha telah merayu Yusuf a.s. untuk melakukan perkara yang terkutuk disisi Allah. Yusuf yang mempunyai tingkat darjat taqwa yang tinggi disisi Allah telah menolak ajakan keji itu.

Baiklah, jadi untuk apa saya nukikan kembali kisah di atas di sini? Adakah saya mahu memberitahu anda bahawa wanita-wanita di atas merupakan mereka-mereka yang ditulis namanya di dalam Al-Quran?

Tentu tidak! Lihat kembali kisah di atas. Dua kisah wanita beriman yang takutkan Allah dan 1 wanita yang berani membelakangi Allah dan berniat melakukan perkara yang hina di sisi Allah.

Analisisnya mudah, semua wanita diberi kuasa dalam menilai samada perkara tersebut baik atau buruk buat dirinya.

Tetapi, apa yang ingin saya simpulkan berdasarkan kisah-kisah di atas adalah berkenaan wanita mempunyai kuasa yang hebat dalam melakukan sesuatu perkara tidak kira perkara positif atau negatif. Wanita yang secekal Asiyah dan Mariam selayaknya diangkat darjatnya di akhirat.

Bayangkan apa yang berlaku dengan kecekalan dan sikap kuat beribadat yang dilakukan Mariam? Akhirnya dari perutnya lahirlah seorang Nabi yang bakal meneruskan mata rantai perjuangan dakwah di bumi Allah.

Sangat perlu untuk kita lihat perkara ini sebagai satu penghormatan buat Mariam yakni wanita yang hidupnya hanya untuk Allah!

Kembali kepada Zulaikha isteri Perdana Menteri Mesir satu ketika dahulu yang telah nekad melakukan perbuatan terkutuk bersama Yusuf tapi ditolak mentah-mentah oleh si pemuda berpakej iman dan akhlak itu.

Ya, masih lagi berkisarkan seorang wanita. Tapi bukan pada jalan kebaikan tetapi kejahatan. Adakah pada waktu itu Zulaikha tidak dikurniakan akal untuk berfikir? Tentu tidak! Tetapi atas dorongan nafsu beliau terpedaya dengan ajakan syaitan yang dilaknat Allah.

Nah, terang bukan bahawa wanita itu merupakan pencetus kepada muslimin bertaqwa mahupun bukan. Jika si ibu merupakan seorang pejuang, maka tak lain zuriat yang dilahirkan bakal menjadi seoang pejuang juga.. insyaAllah.

Tetapi jika si ibu memilih jalan terkutuk untuk meneruskan kehidupan maka belum tentu anak yang dilahirkan itu bakal menjadi manusia yang berakhlak mulia (dengan izin Allah).

Oleh itu wanita di luar sana... pilihlah jalan hidup anda secara berhati-hati! Jalan dan terhantuk baru nak terngadah.

Bentuklah akhlakmu semulia Mariam dan Asiyah. Jom!

- Artikel iluvislam.com

Monday, April 25, 2011

Satu Gereja Memeluk Islam


Ada seorang pemuda Arab yang baru saja menyelesaikan bangku kuliahnya di Amerika. Pemuda ini adalah salah seorang yang diberi nikmat oleh Allah berupa pendidikan agama Islam bahkan dia mampu mendalaminya. Selain belajar, dia juga seorang juru dakwah Islam.

Ketika berada di Amerika, dia berkenalan dengan salah seorang Nasrani. Hubungan mereka semakin akrab, dengan harapan semoga Allah s.w.t. memberinya hidayah masuk Islam.

Pada suatu hari mereka berdua berjalan-jalan di sebuah perkampungan di Amerika dan melintas dekat sebuah gereja yang terdapat di kampung tersebut. Temannya itu meminta agar dia turut masuk ke dalam gereja.

Mula mula dia keberatan, namun karena desakan akhirnya pemuda itu pun memenuhi permintaannya lalu ikut masuk ke dalam gereja dan duduk di salah satu bangku dengan hening, sebagaimana kebiasaan mereka. Ketika paderi masuk, mereka serentak berdiri untuk memberikan penghormatan lantas kembali duduk. Di saat itu, si paderi agak terbeliak ketika melihat kepada para hadirin dan berkata,

“Di tengah kita ada seorang Muslim. Aku harap dia keluar dari sini.”

Pemuda Arab itu tidak bergerak dari tempatnya. Paderi tersebut mengucapkan perkataan itu berkali-kali, namun dia tetap tidak bergerak dari tempatnya. Hingga akhirnya paderi itu berkata,

“Aku minta dia keluar dari sini dan aku menjamin keselamatannya.”

Barulah pemuda ini beranjak keluar. Di ambang pintu, pemuda bertanya kepada sang paderi,

“Bagaimana anda tahu bahwa saya seorang Muslim?”

Paderi itu menjawab,

“Dari tanda yang terdapat di wajahmu.”

Kemudian dia beranjak hendak keluar. Namun, paderi ingin memanfaatkan keberadaan pemuda ini dengan mengajukan beberapa pertanyaan, tujuannya untuk memalukan pemuda tersebut dan sekaligus mengukuhkan ugamanya. Pemuda Muslim itupun menerima tentangan debat tersebut. Paderi berkata,

“Aku akan mengajukan kepada anda 22 pertanyaan dan anda harus menjawabnya dengan tepat.”

Si pemuda tersenyum dan berkata,

“Silakan!”

Sang paderi pun mulai bertanya,

“Sebutkan satu yang tiada duanya,
dua yang tiada tiganya,
tiga yang tiada empatnya,
empat yang tiada limanya,
lima yang tiada enamnya,
enam yang tiada tujuhnya,
tujuh yang tiada lapannya,
lapan yang tiada sembilannya,
sembilan yang tiada sepuluhnya,
sesuatu yang tidak lebih dari sepuluh,
sebelas yang tiada dua belasnya,
dua belas yang tiada tiga belasnya,
tiga belas yang tiada empat belasnya.”

“Sebutkan sesuatu yang dapat bernafas namun tidak mempunyai roh!

Apa yang dimaksud dengan kuburan berjalan membawa isinya?

Siapakah yang berdusta namun masuk ke dalam syurga?

Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah namun Dia tidak menyukainya?

Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah dengan tanpa ayah dan ibu!”

“Siapakah yang tercipta dari api, siapakah yang di azab dengan api dan siapakah yang terpelihara dari api?

Siapakah yang tercipta dari batu, siapakah yang diazab dengan batu dan siapakah yang terpelihara dari batu?”

“Sebutkan sesuatu yang diciptakan Allah dan dianggap besar! Pohon apakah yang mempunyai 12 ranting, setiap ranting mempunyai 30 daun, setiap daun mempunyai 5 buah, 3 di bawah naungan dan dua di bawah sinaran matahari?”


Mendengar pertanyaan tersebut, pemuda itu tersenyum dengan keyakinan kepada Allah.

Setelah membaca Basmalah dia berkata,

-Satu yang tiada duanya ialah Allah s.w.t..
-Dua yang tiada tiganya ialah Malam dan Siang. Allah s.w.t. berfirman, “Dan Kami jadikan malam dan siang sebagai dua tanda (kebesaran kami).”(Al-Isra’: 12).
-Tiga yang tiada empatnya adalah kesilapan yang dilakukan Nabi Musa ketika Khidir menenggelamkan sampan, membunuh seorang anak kecil dan ketika menegakkan kembali dinding yang hampir roboh.
-Empat yang tiada limanya adalah Taurat, Injil, Zabur dan al-Qur’an.
-Lima yang tiada enamnya ialah Solat lima waktu.
-Enam yang tiada tujuhnya ialah jumlah Hari ketika Allah s.w.t. menciptakan makhluk.
-Tujuh yang tiada lapannya ialah Langit yang tujuh lapis. Allah s.w.t. berfirman, “Yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Rabb Yang Maha Pemurah sesuatu yang tidak seimbang.” (Al-Mulk: 3).
-Lapan yang tiada sembilannya ialah Malaikat pemikul Arsy ar-Rahman. Allah s.w.t. berfirman, “Dan malaikat-malaikat berada di penjuru-penjuru langit. Dan pada hari itu delapan orang malaikat men-junjung ‘Arsy Rabbmu di atas (kepala) mereka.” (Al-Haqah: 17).
-Sembilan yang tiada sepuluhnya adalah mu’jizat yang diberikan kepada Nabi Musa yaitu: tongkat, tangan yang bercahaya, angin topan, musim paceklik, katak, darah, kutu dan belalang.
-Sesuatu yang tidak lebih dari sepuluh ialah Kebaikan. Allah s.w.t. berfirman, “Barang siapa yang berbuat kebaikan maka untuknya sepuluh kali lipat.” (Al-An’am: 160).
-Sebelas yang tiada dua belasnya ialah jumlah Saudara-Saudara Nabi Yusuf .
-Dua belas yang tiada tiga belasnya ialah Mu’jizat Nabi Musa yang terdapat dalam firman Allah, “Dan (ingatlah) ketika Musa memohon air untuk kaumnya, lalu Kami berfirman, ‘Pukullah batu itu dengan tongkatmu.’ Lalu memancarlah daripadanya dua belas mata air.” (Al-Baqarah: 60).
-Tiga belas yang tiada empat belasnya ialah jumlah Saudara Nabi Yusuf ditambah dengan ayah dan ibunya.

Adapun sesuatu yang bernafas namun tidak mempunyai roh adalah waktu Subuh. Allah s.w.t. ber-firman, “Dan waktu subuh apabila fajarnya mulai menyingsing.” (At-Takwir: 18).

Kuburan yang membawa isinya adalah Ikan yang menelan Nabi Yunus AS.

Mereka yang berdusta namun masuk ke dalam syurga adalah saudara-saudara Nabi Yusuf , yakni ketika mereka berkata kepada ayahnya, “Wahai ayah kami, sesungguhnya kami pergi berlumba-lumba dan kami tinggalkan Yusuf di dekat barang-barang kami, lalu dia dimakan serigala.” Setelah kedustaan terungkap, Yusuf berkata kepada mereka, ” tak ada cercaan terhadap kamu semua.” Dan ayah mereka Ya’qub berkata, “Aku akan memohonkan ampun bagimu kepada Rabbku. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Yusuf:98)

Sesuatu yang diciptakan Allah namun tidak Dia sukai adalah suara Keldai. Allah s.w.t. berfirman, “Sesungguhnya sejelek-jelek suara adalah suara keledai.” (Luqman: 19).

Makhluk yang diciptakan Allah tanpa bapa dan ibu adalah Nabi Adam, Malaikat, Unta Nabi Shalih dan Kambing Nabi Ibrahim.

Makhluk yang diciptakan dari api adalah Iblis, yang diazab dengan api ialah Abu Jahal dan yang terpelihara dari api adalah Nabi Ibrahim. Allah s.w.t. berfirman, “Wahai api dinginlah dan selamatkan Ibrahim.” (Al-Anbiya’: 69).

Makhluk yang terbuat dari batu adalah Unta Nabi Shalih, yang diazab dengan batu adalah tentara bergajah dan yang terpelihara dari batu adalah Ashabul Kahfi (penghuni gua).

Sesuatu yang diciptakan Allah dan dianggap perkara besar adalah Tipu Daya wanita, sebagaimana firman Allah s.w.t.? “Sesungguhnya tipu daya kaum wanita itu sangatlah besar.” (Yusuf: 28).

Adapun pohon yang memiliki 12 ranting setiap ranting mempunyai 30 daun, setiap daun mempunyai 5 buah, 3 di bawah teduhan dan dua di bawah sinaran matahari maknanya: Pohon adalah Tahun, Ranting adalah Bulan, Daun adalah Hari dan Buahnya adalah Solat yang lima waktu, Tiga dikerjakan di malam hari dan Dua di siang hari.


Paderi dan para hadirin merasa takjub mendengar jawapan pemuda Muslim tersebut. Kemudian dia pun mula hendak pergi. Namun dia mengurungkan niatnya dan meminta kepada paderi agar menjawab satu pertanyaan saja. Permintaan ini disetujui oleh paderi. Pemuda ini berkata,

“Apakah kunci syurga itu?”

Mendengar pertanyaan itu lidah paderi menjadi kelu, hatinya diselimuti keraguan dan rupa wajahnya pun berubah. Dia berusaha menyembunyikan kekuatirannya, namun tidak berhasil. Orang-orang yang hadir di gereja itu terus mendesaknya agar menjawab pertanyaan tersebut, namun dia cuba mengelak. Mereka berkata,

“Anda telah melontarkan 22 pertanyaan kepadanya dan semuanya dia jawab, sementara dia hanya memberi cuma satu pertanyaan namun anda tidak mampu menjawabnya!”

Paderi tersebut berkata,

“Sesungguh aku tahu jawapannya, namun aku takut kalian marah.”

Mereka menjawab,

“Kami akan jamin keselamatan anda.”

Paderi pun berkata,

“Jawapannya ialah: Asyhadu An La Ilaha Illallah Wa Wa Asyhadu Anna Muhammadar Rasulullah.”

Lantas paderi dan orang-orang yang hadir di gereja itu terus memeluk agama Islam. Sungguh Allah telah menganugerahkan kebaikan dan menjaga mereka dengan Islam melalui tangan seorang pemuda Muslim yang bertakwa. -GB

Sunday, August 1, 2010

65 tahun hidup hanya 2 tahun amal ibadat yang kita bawa?



Mari kita buat kiraan ringkas tentang ibadat solat kita.

Isyak, Subuh, Zohor, Asar dan Maghrib

Solat 1 waktu = lebih kurang 10 minit (anggaran kasar)

Sehari 5 waktu x 10 minit = 50 minit (anggaran kasar 1 jam ibadat solat sehari)

Maka setahun bersamaan 360 jam jangka masa kita solat.

Katakanlah purata usia seseorang 65 tahun.

65 tahun x 360 jam = 23400 jam ibadat solat dalam tempoh 65 tahun.


Mari kita teruskan mengira.

23400 jam bersamaan 2.7 tahun (2 tahun setengah).

Kiraan ini termasuk waktu sebelum baligh iaitu dari umur 1 tahun hingga 15 tahun.

Kalau tolak 15 tahun sebelum baligh tinggal 50 tahun bukan.?

50 tahun = 18000 jam ibadat solat yang kita lakukan 5 waktu sehari.

Jadi selama 50 tahun hidup, keseluruhan ibadat solat yang kita lakukan ialah 2 tahun.

(itupun kalau jaga solat).

Mari kita renungkan.

Selama 65 tahun hidup, akhirnya kita kembali menghadap Allah s.w.t dengan membawa amalan selama 2 tahun?

Cukupkah?

Rasanya berpuas hatikah kita nak bertemu dengan Allah s.w.t dalam keadaan sekarang?

Sedangkan masa hidup kita banyak tersia dengan mengejar dunia semata.

Perkiraan di atas sekadar renungan buat kita semua agar jangan berasa cukup dengan amalan yang kita ada. Kita risau amalan baik yang kita lakukan masih belum cukup untuk mengatasi kejahatan yang sering kita lakukan samada dalam sedar atau tidak.


Marilah sama-sama kita bermuhasabah.

Jagalah solat kita kerana amalan solatlah yang pertama akan dihisab kelak

Jangan kerana kita masih melakukan maksiat dan kemungkaran kita tidak solat. Solat itu ada keberkatannya. Mudah-mudahan dengan solat yang ikhlas kerana Allah s.w.t kita dijauhkan dari melakukan maksiat dan kemungkaran yang sudah pasti setiap muslim ingin menghindarinya.

Dari saat ini dan ketika ini semarakkan dalam hati untuk berubah ke arah yang lebih baik.

Perkara-perkara maksiat cuba dijauhkan. Perkara-perkara haram tinggalkan dan jangan toleh ke belakang lagi. InsyaAllah terdetik niat di dalam hati kita untuk berubah kearah kebaikan, Allah pasti tidak biarkan kita dalam kesesatan. Janganlah lakukan lagi perkara-perkara mungkar yang mengundang kemurkaan Allah s.w.t. terhadap kita umat akhir zaman ini.


Mahukah Allah murka sehinggakan biar kita dalam kesesatan?

Kesesatan dengan keseronokan dunia. Masing-masing sibuk mencari hiburan dan keseronokan dunia semata. Kesesatan dengan pangkat dan darjat. Bangga, meninggi diri dan membeza-bezakan darjat dan pangkat sesama insan. Kesesatan dengan kemewahan dunia. Lupa akan kesusahan orang lain dan leka mengejar kemewahan dan keseronokan dunia semata.


Apa maknanya kita kecapi segalanya di dunia ini tanpa keredhaan Allah s.w.t.?

Bersyukurlah pada-Nya kerana kita di antara insan yang terpilih untuk memahami Islam.

Kita insan-insan terpilih untuk terus mencari ilmu Islam. Dengan ilmu yang ada, bersama kita beramal di samping membimbing orang sekeliling kita bersama mencari keredhaan Allah s.w.t.

Mari bersama tingkatkan amalan kita dari masa ke semasa. Buatlah yang terbaik selagi mana Allah s.w.t beri peluang hidup di dunia ini. Janganlah kita leka dan lalai lagi. Semoga kita tidak tergolong dalam golongan mereka-mereka yang sesat dan dalam kerugian.


sumber : http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=2793

Sunday, May 2, 2010

Dialog Bersama Gadis Perokok Tegar.. Dah Biasa La..

''Saya mula merokok ketika tingkatan dua. Masa tu saya mula clubbing dan kawan-kawan pun merokok. Lagi pun kakak-kakak saya merokok, so no hallah merokok ni.

''Pernah kantoi bila mak dan ayah saya terjumpa kotak rokok dalam tas tangan, tapi saya bagi alasan rokok tu kawan yang punya.''



Selamba gadis cantik itu bercerita tatkala penulis berkesempatan melepak dengan dia dan seorang lagi temannya yang juga seorang perokok.

Gadis yang mahu dikenali sebagai Ema tidak keberatan bercerita tentang tabiat merokok yang disifatkan sebagai biasa di kalangan 'gadis KL'.

Sebelum sempat penulis bertanya lanjut, dia pantas mengajukan soalan:

''Kenapa nak tahu pasal gadis-gadis merokok, benda ni biasalah, tak best nak tulis pun, sebab kat KL ni budak perempuan merokok bukan luar biasa.''

Penulis menjawab disebabkan merokok jadi fenomena biasalah yang menarik perhatian penulis untuk mengetahui apa sebenarnya punca kegilaan itu.

Ema memberitahu, sebagai anak jati KL yang dibesarkan dalam suasana bebas, terjebak dalam aktiviti merokok pada usia belasan tahun adalah perkara biasa. Dia mengakui ibu bapanya marah jika tahu anak-anaknya merokok tetapi dia dan kakak-kakaknya bijak menyimpan rahsia.

Pendedahan awal yang menjebak dirinya dengan rokok adalah clubbing.

''Dalam club semua orang hisap rokok, saya dan kawan-kawan pun merokok sebab nak jadi macam orang lain,''
katanya sambil memberitahu tabiat merokoknya itu bagaimana dapat dihentikan sebaik memasuki tingkatan tiga hingga ke tingkatan lima.

Ditanya apa jadi selepas itu, dia merenung jauh sambil menyingkap kisah cintanya yang gagal menyebabkan dia betul-betul kecewa dan menjadikan rokok sebagai pengubat lara.

Bermula dari situ, dia tidak menoleh lagi. Memasuki Universiti Teknologi Mara (UiTM) bukan alasan untuk dia berhenti, malah ketagihan merokok semakin menjadi-jadi. Dia sanggup tak makan asalkan dapat membeli rokok.

Dia pernah melepaskan gian merokok di dalam ruang kecil yang menempatkan hos bomba, bayangkan ruang sesempit itu pun 'halal' asalkan ketagihan dapat dilepaskan.

Segala-galanya menjadi mudah buat Ema apabila dia tinggal di rumah sewa. Tidak ada halangan langsung, dia dan rakan-rakan 'seangkatan' bebas merokok sesedap hati.

''Saya menjadi perokok tegar. Malah rakan-rakan saya menyamakan saya dengan perokok lelaki. Dua kotak besar sehari perkara biasa. Atau paling kurang pun satu kotak setengah maknanya sekurang-kurangnya 30 batang sehari,''
...... katanya.

Ditanya apa sebenarnya kepuasan yang dia dapat daripada merokok, Ema mengakui tiada kepuasan cumanya apabila tidak merokok bibirnya akan bergetar dan tekak berasa pahit.

Waktu wajib merokok bagi gadis berkulit putih kemerahan itu adalah bangun pagi, selepas makan tengah hari dan sebelum tidur. Malah dia mengakui merokok semasa membuang air besar adalah satu nikmat yang tidak boleh diceritakan.

Kebiasaannya, menurut Ema, perokok wanita akan bermula dengan rokok Sempoerna diikuti Malboro Light dan akhirnya jenama-jenama berat seperti Dunhill.

Ditanya mengapa, dia memberitahu, rokok Sempoerna menawarkan rasa manis jadi tidak terlalu berat untuk beginner manakala Malboro agak ringan.

Dia sendiri sehingga kini setia dengan Dunhill Light. Mengenai sama ada dia masih terikat dengan kisah putus cinta di tengah jalan menyebabkan tabiat merokok masih berterusan, Ema berterus terang telah menemui cinta baru.

''Bestnya sebab tunang saya tak kisah saya merokok. Dia pun merokok juga,''
..... petah dia menjawab sambil tersenyum.

Dia menyambung sembangnya, kegilaan clubbing berterusan menyemarakkan ketagihan merokok. Alasannya, di club ramai yang minum arak dan dia serta kawan-kawannya tak mahu terjebak dengan minuman keras lantas meneruskan tabiat merokok.

Mala, teman kepada Ema pula menjadikan stres sebagai punca dia merokok. Segala tekanan yang dihadapinya sebagai remaja akan lenyap bersama setiap sedutan asap rokok yang memenuhi paru-parunya. Melihat kepulan asap rokok yang dihembus terutama dalam suasana tenang umpama membiarkan segala masalah lenyap begitu saja.

Seperti Ema, dia juga setia dengan Dunhill Light tetapi tidak setegar Ema yang mampu menghisap 30 batang rokok sehari. Tabiat merokok Mala bermula agak lambat iaitu selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia. Dia mengakui pergaulan bebas mendorongnya merokok sehingga selepas beberapa tahun tabiat itu menjadi sebahagian daripada hidupnya.

Ditanya betulkah rokok boleh menghilangkan stres atau itu hanya psiko, Mala tersenyum manja dan manis.

''Saya rasa memang betul sebenarnya rokok bukan melegakan stres cumanya saya percaya ia begitu, maka jadilah begitu,''
...... ujarnya.

Ema dan Mala tidak dapat menjangkakan bila mereka mahu berhenti merokok. Bagi Ema yang sedang menunggu hari bahagia, perkahwinan tidak mungkin menghentikan tabiat itu. Lantaran tidak ada janji antara dia dan bakal suami yang mengikatnya untuk berhenti merokok.

''Tengoklah mungkin kalau mengandung mungkin baru berhenti kut,''
........ katanya.

Mengenai kegilaan gadis-gadis merokok, Ema berpandangan kebanyakannya hanya mengikut trend. Ada juga yang mahu kelihatan moden terutama gadis-gadis dari luar Kuala Lumpur. Kononnya merokok menunjukkan mereka ada gaya, hebat dan trendy - tidak seperti Ema yang terbelenggu oleh tabiat itu disebabkan ketagihan.

Dia akan berasa geram tidak terhingga dan marah-marah jika tidak dapat merokok. Ketegaran menyebabkan anak gadis yang mencecah usia 25 tahun itu tidak pernah peduli cakap-cakap atau pandangan orang lain. Malah dia pernah bertekak dengan seorang mak cik kerana menegur tabiatnya itu.

Saya melihat jari jemari Ema dan Mala. Bersih bukan seperti kebanyakan perokok.

Seperti dapat membaca pengamatan saya, Ema menyambung bicara:

''Saya bertuah kerana walaupun perokok tegar tetapi kesannya fizikalnya tidak nampak.
''Tapi terus terang saya sudah mula rasa sakit dada dan kadang kala sesak nafas, pastinya akibat merokok.''

Mengenai gambar-gambar ngeri di kotak rokok, kedua-dua gadis itu tersenyum sinis

Sememangnya bersembang dengan Ema dan Mala tidak cukup untuk saya menyelongkar apa sebenarnya di sebalik fenomena merokok di kalangan gadis remaja.

Tetapi yang pasti, ada sesuatu yang kurang dan tidak kena dalam masyarakat kita sehinggakan gejala merokok di kalangan gadis remaja kini dianggap trend.

p/s : Peliharalah anak gadis anda.. Siapakah yang mendidik mereka sehingga menjadi sebegini.. Di manakah Islam yang diagung-agungkan oleh kerajaan?

Sumber : http://ibnuirfadzil.blogspot.com/2010/04/dialog-bersama-gadis-perokok-tegar-dah.html