Pages

Showing posts with label pelajar. Show all posts
Showing posts with label pelajar. Show all posts

Thursday, July 14, 2011

Inginkan Ulama Malaysia Seperti Al-Qaradawi?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

IMG_4821

Menghadiri pengajian intensif bersama Sheikh Al-Imam Dr Yusuf Al-Qaradhawi di Doha Qatar memberi seribu satu macam kesan dan semangat buat diri saya, tercapai juga hasrat untuk mengaji secara berdepan bersama Sheikh yang telah lama tersimpan sebelum ini.

Terkenang pada hari pertama, Sheikh menceritakan kepada kami liku-liku pengajiannya sehingga tertulisnya buku pertama beliau ‘Al-halal wal al-haram fil Islam’. Sebelum syeikh sampai ke majlis, Setiausaha ahli jawatankuasa penganjur, menceritakan pelbagai latar belakang Sheikh yang amat menarik perhatian. Berkenaan cara sheikh menulis kitab-kitabnya dan lain-lain.

Dari pelbagai yang diceritakan, ada satu perkara yang ingin saya sentuh dalam tulisan ringkas ini. Iaitu kebijaksanaan Sheikh Yusuf Al-Qaradawi yang terserlah sejak beliau di peringkat sekolah rendah lagi. Menurut info yang diberikan, Sheikh adalah tergolong dalam 100 pelajar terbaik seluruh Mesir sejak peringkat rendah lagi sehinggalah ke peringkat Universiti.

PILIHLAH PELAJAR CEMERLANG JADI USTAZ

Dari situ, saya kerap terfikir betapa perlunya seseorang ilmuan Islam itu dipilih dari kalangan pelajar-pelajar yang terkenal bijak dan rajin sejak peringkat rendah lagi. Malah sudah sekian lama, saya mencadangkan kepada pelbagai pimpinan NGO Islam termasuk PAS, agar membuat satu perancangan tersusun untuk melahirkan lebih ramai ulama Malaysia yang berwibawa, menembusi peringkat global dan berperanan besar.

Sebelum ini seringkali kita melihat, ibubapa yang mempunyai anak-anak bijak dan rajin serta memperolehi keputusan peperiksaan cemerlang, dijuruskan oleh ibubapa mereka ke arah menjadi doktor perubatan dan lain-lain bidang profesional berasaskan ilmu sains.

Keadaan dan kecenderungan sedemikian menjadikan jumlah pelajar berminda cerdas dan rajin JARANG dapat disalurkan menjadi seorang ilmuan DAN PEMIKIR ISLAM YANG HEBAT.

Teringat bagaimana Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradawi merupakan ‘cream of the cream’ ketika di Mesir, sejak kecil. Justeru, dengan pengajian bersungguh, penuh minat, ikhlas dan istiqamah, beliau mampu menjadi seorong ilmuan Islam dan daie yang terulung di dunia.

Saya amat berharap kepada sesiapa sahaja yang membaca artikel ini agar cubalah membentuk anak tuan dan puan yang terbukti berminat, rajin dan cerdas akal fikirannya untuk dibentuk menjadi seorang alim besar.

PROSES PERLU PLAN TERSUSUN DAN TERANCANG

Proses ini tentunya perlu kepada ibubapa yang sudah sediakan alim di bidang agam, atau jika tidak ia lebih mudah disusun dan dirangka oleh sesebuah organisasi, mempunyai dana khusus untuk itu dan sekumpulan pakar yang diberikan tugasan membentuk diri anak terbabit.

Saya teringat info yang diberi oleh seorang seorang pelajar Melayu yang telah menjadi doktor di Ireland dan kini sudah hampir menjadi pakar dalam bidangnya. Beliau mendedahkan bahawa proses untuk mencapai apa yang telah dan sedang beliau capai itu, banyak juga bergantung kepada doktor-doktor pakar di Malaysia yang menasihatinya selalu, agar beliau faham dan tahu bahagian teknikal apa yang perlu diperkukuhkan dan dimantapkan bagi memenuhi tuntutan kerjaya doktor pakar di Malaysia. Proses ini menuntut beliau untuk bertugas dan belajar di Ireland hampir 15 tahun.

Demikian, proses yang diperlukan jika kita ingin melahirkan seorang ulama bertaraf lima bintang di Malaysia, kita perlukan sekumpulan ulama sebagai mentor, yang boleh sentiasa memberi panduan, tunjuk ajar, bimbingan dan pemantauan agar pengajian yang dilalui benar-benar diarah dan berjaya sampai ke sasarannya.

Kita tidak mahu, pengajian mereka terpilih salah guru akhirnya menjadi seorang yang ekstrem yang bersifat pemecah berbanding penyatu umat dalam masalah yang bukan pokok.

INGIN JADI ALIRAN MANA INI?

Sebagaimana diketahui agak banyak juga pecahan-pecahan aliran pemikiran Ulama Islam dalam menanggapi dan memahami teks-teks Al-Quran dan Sunnah di Malaysia. Sehingga tergelar begitu banyak jenis aliran, kefahaman dan kumpulan. Masing-masing merasa mereka yang terbenar dan berada di jalan yang sohih, menafikan kebenaran pada yang lain.

Seperti wujudnya aliran salafi jalur keras (digelar Wahabi oleh pembenci mereka), Salafi sederhana, Salafi lembut, khalafi keras ( digelar Ahbash oleh pembenci mereka), sederhana dan lembut. Demikian juga Sufi tarekat, aliran hadith, Zahiri moden, Syiah, Tabligh dan sebagainya.

BANGGA DENGAN GURU & TEMPAT

Selain terpecahnya aliran sebagaimana di atas, kerap juga ditemui lepasan pengajian Islam yang taksub dan terlalu berbangga dengan universiti masing-masing, tidak kurang dengan Sheikh (guru) masing-masing.

Sehingga ke suatu tahap, tidak merasa apa yang dipunyai oleh individu dan kumpulan lain mampu dan sampai ke tahap keilmuan dan kefahaman mereka.

Keadaan ini menjadikan lulusan pengajian Islam dilihat sering berpecah dan bertempur hujjah sesama sendiri serta terabai akhlak mulia dan masalah lebih besar dan nyata di kalangan masyarakat awam.

Di tambah dengan keadaan masyarakat awam yang majoritinya masih malas membaca, berfikir panjang dan menilai secara penyelidikan. Keadaan di atas menjadi bertambah buruk.

Kumpulan masyarakat ini akhirnya, sering terikut-ikut cara 'pemalas' lalu mempakejkan kebenaran kepada hanya satu-satu kumpulan, selain mempakejkan kesalahan juga kepada yang lain. Bermakna, jika sudah dilabel seseorang individu sebagai 'tidak bersama kumpulan dan alirannya', semua ilmu dari sebelah sana TIDAK BOLEH dibaca atau difikirkan sama sekali, hanya layak ditolak walau perlu melalui takwilan yang tersasar agar kelihatan jahat pandangan tersebut.

Padahal, kebenaran dalam hal ijtihadiyyah itu boleh sahaja bercampur-campur di pelbagai pihak, Hanya Allah yang maha mengetahui kesemunya. Manusia hanya mampu berusaha mencari keputusan yang diyakini paling hampir dengan kasih Allah. Namun sukar untuk mana-mana pihak mendabik dada berkenaan kebenarannya dalam semua perkara khususnya dalam hal cabang fiqh dan lain-lain bidang agama.

Demikianlah Sheikh Al-Qaradawi mengajar kami agar tidak menutup pintu kebenaran di pihak yang lain, penilaian perlu dibuat secara adil, bukan emosi dan bertenang dalam apa jua topik keagamaan. Selain memahami status sesuatu isu yang dibincangkan itu berada dalam kategori qat'ie atau zhonni.

withsheikh

PECAH KERANA UNIVERSITI

Sedihnya apabila melihat terdapat lulusan timur tengah memandang rendah kepada lulusan tempatan, hanya kerana mereka dapat belajar dari guru berbangsa arab.

Graduan universiti tempatan pula ada yang menafikan kebijaksanaan graduan timur tengah, khususnya apabila mengetahui majoritinya pergi bukan dengan biasiswa kerajaan hasil keputusan terbaik, tetapi pergi atas belanja sendiri atau dermasiswa kerajaan negeri tertentu, setelah tidak mampu memperolehi biasiswa JPA atau Kementerian dek kerana keputusan SPM yang tidak melayakkan biasiswa diterima.

Haru melihat pandangan rendah di antara satu sama lain seperti ini berlaku, namun ia hakikat walau pahit ditelan.

Lulusan Mesir pula, terdapat sebahagian yang memandang rendah lulusan Jordan, Morocco Syria dan lainnya, almaklumlah mereka merasakan diri mengaji di institusi tertua pengajian Islam, dipenuhi ulama sejak seribu tahun yang lalu.

Lulusan Mekah dan Madinah pula, ada sebahagiannya merasa diri paling hebat almaklum mengaji di tanah Rasul tercinta, Mekah dan madinah yang penuh berkat. Hanya terpilih setelah proses interview dan menikmati biasiswa mewah kerajaan Arab Saudi.

Lulusan Jordan pula ada yang menganggap majoriti lulusan Mesir sebagai kurang kualiti, disebabkan pengajian mereka yang tidak bersistem, tiada kelas diwajibkan serta majoriti lemah di dalam bahasa arab fushah dan pelbagai alasan lagi diberikan.

Sebahagian lulusan Yaman pula merasa mereka lebih faqih dan faham berbanding yang lain

Sebahagian lulusan Pakistan merasa mereka lebih pakar di bidang hadis dari yang lainnya.

Dan senarai ini berterusan, sukar mencari penghujung. Padahal guru dan tempat belajar hanyalah sebab luaran kepada perolehan ilmu. Apa yang lebih penting adalah diri sendiri, keberkatan pengajian dan keikhlasan dalam menuntutnya.

Hakikatnya hal ini bukan sahaja berlaku di kalangan ustaz dan ustazah kecil di tanahair kita sahaja, malah di kalangan sheikh-sheikh arab yang dilihat alim juga ada memandang rendah kepada satu sama lain. Malah beberapa ilmuan di Syria dan Saudi sering melihat Sheikh Al-Qaradawi sebagai tiada ilmu dan pelbagai lagi.

HASIL MASING-MASING RASA HEBAT

Hasil masing-masing merasa diri lebih hebat, maka berlakulah pertembungan hujjah. Dmulakan secara perlahan, berubah menjadi keras, emosi, tiada akhlak. Berlakulah proses kecil memperkecil tahap ilmu di antara satu sama lain, mengutuk tempat pengajian satu sama lain dan sebagainya.

Ukhuwwah di antara golongan ini yang diharapkan menjadi model kepada masyarakat dan sepatunya dicontohi oleh masyarakat menjadi sebaliknya. Masjid dan surau tempat mereka dijemput ceramah dan berkuliah dijadikan medan berkesan untuk ‘membantai’ individu lain.

Masyarakat awam yang masih kegersangan ilmu dan keliru ini akhirnya semakin jauh, semakin keliru dan ragu, dan akhirnya memilih untuk memasuki salah satu kem dan memeriahkan permusuhan di antara satu sama lain. Adakah ini fungsi para lulusan agama ini?.

Gejala label melabel menjadi senjata antara satu sama lain. Label ‘WAHABI’ dan ‘AHBASH’ dan banyak lagi seringkali digunakan.

Kelihatan seolah tiada siapa yang boleh melunakkan pihak-pihak ini kecuali JIKA DAPAT DITAMPILKAN SESEORANG YANG MEREKA SEMUA YAKIN DAN HORMAT.

Menurut pengamatan sederhana, kelihatan lulusan mesir hanya akan hormat kepada seseorang yang juga pernah mendapat kelulusan dari tempat yang sama dengan mereka. Demikian Mekah, Madinah, Jordan, Yaman Pakistan dan lainnya.

LAHIRKAN ULAMA HASIL GABUNGAN PENGAJIAN

Hasilnya, mungkin jika kita ingin melahirkan seseorang ilmuan yang insaf adil, lunak dan mampu meredakan ketegangan dan perpecahan ini. Mungkin dari sekarang NGO-NGO Islam dan ibubapa perlu merancang untuk melahirkan ulama ulung Negara dari proses pengajian yang pelbagai.

Setelah proses saringan pelajar terpintar, cerdas dan rajin tadi dilakukan dari peringkat rendah atau menengah rendah.

NGO atau organisasi Islam terbabit bolehlah merangka plan penghantaran pengajian pelajar terpilih ini. Setelah rangka asas pengajian terpilih ini, objektifnya sasarannya, proses monitor dan semakan yang komprehensif disediakan.

Mungkin gabungan fasa pengajian seperti berikut boleh difikirkan. Selepas pelajar terbabit mencapai keputusan cemerlang di peperiksaan SPM.

1. Diploma Tahfiz di Darul Quran atau mana-mana pusat tahfiz terbaik. ( atau hafazan ini boleh diperolehi lebih awal di sekolah menegaha sebagai contoh)

2. Peringkat BA : Cadangan saya, menghantarnya ke mana-mana universiti di Jordan bagi tahap sarjana muda. Ini kerana bagi saya, kelulusan pensyarah-pensyarah universiti-universiti di Jordan biasanya adalah gabungan Phd dari Al-Azhar, Ummul Qura, Iraq, Jordan, Madinah, Syria dan lain-lain. Majoritinya dari Al-Azhar. Justeru, kepelbagaian latarbelakang pensyarah banyak membantu bagi melahirkan graduan yang berfikiran terbuka dan toleransi dalam kepelbagaian ijtihad mazhab dan aliran. Ditambah pula dengan sistem pengajian yang lebih tersusun dan penggunaan bahasa arab fushah yang sederhana.

Selain pengajian di universiti, perlu ada mentor yang memastikan pelajar terpilih tadi menghadiri pengajian-pengajian talaqqi dengan sheikh-sheikh teralim di Jordan khususnya di Amman.

Boleh juga ditambah jadual pengajian mereka dengan memberikan belanja yang cukup untuk mereka menghabiskan cuti semester dengan pengajian talaqqi di Syria di hadapan guru-guru terhebat di sana.

HASIL : Kita mengharap graduan ini tamat belajar dari Jordan dan Syria dalam tempoh 4 tahun dengan ijazah dan gabungan ilmu talaqqi di kedua-dua negara. Memperolehi kekuatan bahasa arab dan basic yang utuh dalam ilmu-ilmu Shariah sama ada bidang Fiqh atau Usuluddin.

3. Peringat Masters : Cadangan saya, disiapkan sama ada di Universiti Al-Azhar atau Universiti Kaherah. Ini perlu bagi pelajar terpilih ini memperolehi kelebihan pengajian di mesir yang merupakan pusat ilmu Islam yang amat berpengaruh.

Pada masa yang sama, jika mampu, dinasihtkan pelajar ini menghadiri juga pengajian di Darul Ifta, Mesir. Harapannya, pelajar terpilih ini mampu menyiapkan kedua-dua Sarjana di Al-Azhar dan Darul Ifta’ dalam masa 5 tahun atau kurang.

HASIL : Diharapkan dengan tamanya pelajar ini dari bidang ini, beliau akan pulang dengan kemantapan pengajian ilmu syariah peringkat tinggi dari Mesir di kedua-dua Al-Azhar dan Darul Ifta.

4. Peringkat PhD : Menyiapkan PhD di Universiti Islam Madinah atau Ummu Al-Qura.

Namun halangan, biasanya universiti Islam Madinah dan Mekah sukar menerima graduan yang tidak berlatar belakang dari universiti mereka di peringkat BA dan MA.

Sesuatu perlu diusahakan untuk membolehkan pelajar terpilih ini memasuki universiti ini. Harapannya, kekuatan pengajiannya di Jordan, Syria dan Mesir tadi dapat disempurnakan lagi di tanah suci ini.

Disamping pengajian rasmi di universiti, alangkah baik jika terdapat mentor yang telah mampu menasihatkan pelajar untuk mempelajari ilmu dari cara talaqqi. Di musim cuti, jangan diizinkan peljaar ini bekerja sampingan atau pulang ke Malaysia, tetapi perlu merantau ke Yaman untuk mendapat luahan ilmu dari guru-guru di sana pula.

HASIL : Dalam tempoh 4-5 tahun, dijangka pengajiannya boleh tamat. Ketika itu, amat berharap ilmuan yang dikeluarkan dari proses pengajian Islam yang mantap di Jordan, Syria, Mesir, Madinah, Yaman dan Mekah, maka akan TERHASILLAH SEORANG ILMUAN YANG sangat berwibawa, lunak, hikmah dan dihormati oleh majoriti aliran yang terdapat di Malaysia. Malah bijak pula menyesuaikan diri dengan ilmu-ilmu kontemporari.

Bagi melengkapkan lagi pusingan pengajiannya, selepas menamatkan Phd, mungkin pelajar terpilih ini boleh menunut paling kurang dalam tempoh 6 bulan di Pakistan untuk menghadiri kuliah di Darul Ulum, mendalami pengajian hadis. Juga dihantar setahun ke United Kingdom untuk pengajian Masters ( hanya 1 tahun) di Institut Pengajian Tinggi di UK ( seperti di Markfield Institue of Higher Education, UK), bagi membolehkan beliau melihat dunia dan masyarakat yang berbeza dari tanah arab, disamping menggarap metodolgi pengajian dan pemikiran di Negara barat. Disamping mengasah kekuatan bahasa Inggerisnya agar benar-benar beliau mampu berhadapan dengan pelbagai pihak kelak.

Bayangkan, jika kita mampu melahirkan ilmuan yang melalui proses ini, saya bersangka baik, individu tersebut mampu untuk meredakan pertengkaran aliran-aliran yang sering bertengkar, bersangka buruk dan berselisih. Disebabkan individu ini besar kemungkinannya bakal dihormati oleh kebanyakan aliran pengajian seseorang graduan ilmu Islam.

Hasil penilaian saya, tahap keegoan beberapa graduan agama di Negara kita sukar dineutralkan kecuali jika kita mampu melahirkan individu yang berpendidikan seperti di atas.

Namun tidak dinafikan, banyak cabaran yang merintang dan hasilnya belum pasti menjernihkan kedaaan, mungkin juga mengeruhkan lagi. Selain itu, proses di atas pastinya diragui oleh aliran-aliran yang telah wujud. Tentunya masih ada yang merasakan ‘individu ini adalah hasil tangan aliran itu’ justeru kita tidak terima dan sebagainya.

Cuma saya meyakini, kekuatan individu ini pastinya mampu serba sedikit merapatkan jurang yang telah wujud di kalangan graduan agama di Negara kita. Bukan hanya dengan tujuan peringkat nasional malah menjalar ke peringkat dunia. Berfungsi sebagai salah seorang ulama terulung di dunia hasil keluaran rakyat Malaysia.

MERANCANGLAH SAHABAT PERJUANG DI PLATFORM MASING-MASING

Kita sudah letih melihat, pengajian islam sering menjadi pilihan terakhir ibubapa setiap kali apabila memikirkan kerjaya anak-anak di masa hadapan. Kerjaya yang boleh menjana lebih banyak duit dan wang dan nama, sering menjadi keutamaan.

Akhirnya, agak ramai jumlah individu yang menjadi ustaz dan ustazah kekurangan kualiti ilmu. Disebabkan latar belakang mereka bukanlah dari jenis yang cintakan ilmu, cerdas dan rajin di dalam pengajian. Sejak dari pengajian peringkat rendah lagi terkenal dengan gagal dan ‘nakal’nya. Tiba-tiba dewasa menjadi ustaz, yang mengajar di masjid dan surau.

Bertambahnya jumlah graduan sebegini pastinya ada baik dan buruknya. Saya teringat berbincang dengan seorang sahabat yang bertanya bagaimana seseorang ustaz dan ustazah itu ingin muhasabah diri dan mengukur sejauh manakah tepatnya pandangan mereka dalam hal-hal agama.

Jawapan saya panjang, namun ringkasnya termudahnya, mana-mana ustaz-ustazah yang lahir dari pengajian universiti bolehlah musahabah diri dengan melihat kembali markah-markah peperiksaan mereka di universiti.

Benar, ia terlalu subjektif dan sukar untuk menjadi kayu ukuran. Tentunya markah peperiksaan semata-mata itu tidak mampu mencermin penilaian keilmuan seseorang dengan cara yang paling tepat, namun sekurang-kurangnya ia boleh member sedikit indikasi ukuran tahap cerdas pemikiran, hafazan, pemhana dan kerajinan seseorang individu itu semasa menjadi pelajar.

Bermakna jika, semasa tamat belajar dahulu di peringkat BA, MA atau Phd, markahnya adalah 50 %, mungkin beliau perlu sedar itulah peratusan kebenaran pandangan-pandangan fiqh dan agama yang disebarkan kepada masayarakat.

Jika 80 %, maka demikian juga tahap hampirnya dia kepada tepat. Jika hanya 46 %, maka besar jualah kemungkinan tersilapnya dia memberikan ilmu kepada masyarakat. Sama-sama kita muhasabah diri wahai para graduan agama. Agar apa yang kita berikan kepada masyarakat bukan berada di markah lulus tetapi markah cemerlang.

Atas sebab itu mungkin, majoriti institusi pengajian tinggi di seluruh dunia Islam meletakkan markah 75 % sebagai markah lulus bagi subjek-subjek bagi pengajian di peringkat tinggi MA dan PhD. Demikianlah sistem di Jordan, beberapa negara timur tengah dan juga universiti tempatan.

Ia memang perlu agar, keluaran pengajian tinggi di universiti-universiti ini bukan terdiri dari mereka yang hanya ‘cukup makan’ lulus di peringkat BA. Kerana mereka kelak perlu menjadi tenaga pengajar di universiti pula.

KESIMPULAN

Kita amat perlukan pelajar cerdas dan rajin sebagai bakal ustaz dan ustazah masa hadapan. Harapn tersebut memerlukan pernancangan dan memerlukan kos. Selain budget yang mungkin boleh diperolehi dari biasiswa kerajaan pusat atau negeri. Bagi menjayakan hasrat ini, pihak yang merancang memerlukan belanja lain agar plan yang digariskan dapat dilaksanakan.

Hasilnya kita berharap lahirnya ulama yang sangat tinggi kualitinya dewasa ini, seperti Al-Marhum Sheikh Abu Hasan Ali Al-Nadawi, Al-Marhum Sheikh Abul A’lA Al-Mawdudi, Sheikh Mufti Taqi Uthmani dan ramai lagi. Walau mereka bukan berbangsa arab, namun keilmuannya menembusi sempadan hormat dari ulama ‘Arab. Itu sesungguhnya sesuatu pencapaian yang amat sukar dicapai, namun mampu dicapai jika perancangannya melahirnya ulama sedemikian dilaksanakan dengan teliti.

Saya tidak berniat menyindir sesiapa, mana aliran dan mana-mana graduan dari mana-mana Negara dari tulisan ini. Hanyalah memberikan contoh sebenar dari pengamatan dan pengalaman di sekeliling agar kita sama-sama insaf. Namun, jika ada mana-mana aliran, kumpulan atau ustaz/ah yang terasa dengan tulisan ini, saya pohonkan kemafaan jika bahasanya kurang lunak dan elok.

Tentunya ia hasil kelemahan saya sendiri dalam usaha menyampaikan maksud yang diingini. Saya hanya mengharapkan kita sama-sama mampu melahirkan yang terbaik buat umat ini, sambil menyedari diri ini, mungkin tiada kemampuan mencapainya.

Akhirnya, jika ada mana-mana NGO dan ibubapa yang inginkan tenaga saya untuk membantu dalam perancangan ini, setelah mereka mempunyai pelajar terpilih, cukup ciri tadi, saya amat bersedia membantu setakat yang termampu, demi kebaikan ummah dan amal jariah diri untuk ke alam yang kekal abadi. Kegagalan kita merancang untuk melahirkan ulama ulung seperti Al-Qaradawi akan sentiasa menjadikan kita ketiadaan insan sepertinya.

IMG_4841

ciumqaradwi


Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

8 Februari 2011

Saturday, March 12, 2011

DUNIA: Murid 11 tahun lebih bijak daripada Einstein



CLAVERLEY - Seorang murid perempuan, Victoria Cowie (gambar) yang baru berusia 11 tahun dikatakan lebih bijak berbanding saintis terkenal seperti Albert Einstein dan Stephen Hawking kerana dia memiliki skor kecerdasan (IQ) mencecah 162, lapor sebuah akhbar semalam.

Kepintaran Cowie diakui selepas dia mendapat skor 162 dalam ujian IQ.

Pencapaian itu adalah lebih baik daripada skor yang diperoleh oleh saintis terkenal, Albert Einstein, Stephen Hawking dan pengasas perisian komputer, Bill Gates iaitu 160.

"Saya sangat sukakan teka-teki dan menyelesaikan masalah. Saya mahu belajar dalam jurusan sains, terutama biologi," katanya yang sudah mendapat tawaran biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di empat buah sekolah berprestij.

Selain meminati mata pelajaran sains dan membuat eksperimen, Cowie juga suka berlakon, menari dan bermain alat muzik.

Ibunya, Alison, memberitahu, anaknya itu mempunyai kemampuan membaca sejak kecil dan pernah memenangi anugerah sains di sekolah.

Ibu bapanya kurang pasti daripada mana Cowie mewarisi kepintarannya itu.

Purata IQ manusia ialah 100.

Ekoran keputusan tersebut, Cowie mengalahkan kepintaran Napoleon Bonaparte yang mendapat skor 145, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton (140), penyanyi terkenal, Madonna (140) dan pengarah filem, Quentin Tarantino (160). - Agensi

Wednesday, March 2, 2011

35 Petua Pelajar Cemerlang dari Dr Fadzilah Kamsah

Berikut merupakan petua-petua dan ciri-ciri yang ada pada pelajar cemerlang, dari Dr Fadzilah Kamsah. Pelajar cemerlang akan:
  1. Menggunakan kedua-dua belah otak kanan & kiri. Ini dapat dilakukan dengan membuat aktiviti merangsang kedua-dua belah otak tersebut.
  2. Merangsang kesemua deria dalam pembelajaran. Kajian menunjukkan bahawa:
    1. kita ingat 10 % apayang dibaca
    2. kita ingat 20% apa yang didengar
    3. kita ingat 50 % apa yang didengar & dilihat
    4. kita ingat 70% apa yang dicakapkan
    5. kita ingat 90% setelah dipraktikkan
  3. Belajar secara aktif dengan pen/pensil ditangan.
  4. Belajar 3 jam sehari atau 20 jam seminggu (tidak termasuk kerja rumah).

    ...Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas belajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan sebagainya....

  5. Belajar dalam persekitaran kondusif.
    1. pastikan cahaya adalah terang
    2. kurangkan gangguan bunyi
    3. tampal poster yang mengandungi slogan yang menaikkan semangat belajar
    4. tampal gambar-gambar yang menenangkan fikiran
    5. kerusi dan meja menghadap kiblat
    6. jangan lupa untuk senyum
  6. Tidak ponteng kelas. Kalau tertinggal kelas, salin nota dari rakan.
  7. Mengulang kaji menggunakan kaedah 'output learning' iaitu belajar untuk melatih otak menggunakan maklumat yang terkumpul. Ini dapat dilakukan dengan membaca buku/nota, ingat kembali, lakar/tulis, sebut apa yang difahami, dan jawab soalan.
  8. Tahu teknik merangsang memori:
    1. memasukkan maklumat dalam memori (registration)
    2. menyimpan maklumat dalam sel memori (retention)
    3. mengingat kembali (recall)
    4. menggunakan maklumat untuk menjawab soalan atau kegunaan lain (application)
  9. Sentiasa awal dan mendahului:
    1. persediaan awal akan memberikan permulaan yang baik dan memberi tanggapan yang positif pada guru.
    2. pelajar yang mendapat A pada ujian lazimnya akan dapat mengekalkan kejayaannya.
    3. belajar awal ketika tiada tekanan adalah tidak membosankan.
    4. untuk sentiasa awal dan mendahului, bacalah dahulu sekali atau 2 kali sebelum guru mengajar.
  10. Berbuat baik dengan guru. Setiasa hormati dan sayangi guru.
  11. Mempunyai teknik membaca yang betul:
    1. duduk dengan tegak & bernafas dengan betul
    2. memberikan tumpuan sepanuhnya
    3. menggunakan jari telunjuk untuk membaca
    4. menyesuaikan kelajuan membaca dengan kesukaran bahan bacaan
  12. Sentiasa mengawasi pencuri waktu belajar iaitu angan-angan kosong, bertangguh & malas.
  13. Membaca doa penerang hati setiap kali selepas sembahyang, sebelum mengulangkaji, dan sebelum menghadapi peperiksaan.
  14. Tidak membuang masa dengan belajar ketika letih.
  15. Mengadakan rehat sebentar setiap 20 minit mengulangkaji.
  16. Belajar mengikut waktu yang sesuai dengan diri (study according to your biological clock). Bagaimanapun, perlu tahu waktu-waktu yang sesuai untuk belajar iaitu sebelum tidur, selepas bangun tidur, selepas mandi air panas, selepas baca al-quran/zikir selepas riadah dan selepas berdoa.
  17. Mengulang kaji secepat mungkin. Ulang kaji ringkas selepas belajar (kita akan lupa 80% selepas belajar).
  18. Mengulang kaji secara bersendirian atau berkumpulan.
  19. Tahu mengulang kaji adalah aktiviti pembelajaran terpenting sebelum peperiksaan.
  20. Mengulang kaji pelajaran berulang-ulang kali.
  21. Mengulang kaji apabila mulai terlupa.
  22. Tahu petua mengulang kaji
    1. cari tempat yang tenang dan serasi dengan jiwa kita
    2. siapkan semua 'bekalan' dengan sempurna
    3. duduk tegak dikerusi yang selesa
    4. baca doa penerang hati
    5. baca buku atau nota mengikut teknik membaca yang betul
    6. fikir dan ingat kembali isi utama
    7. catat/lakar
    8. semak semula ketepatan maklumat
    9. ulang sebut atau ceritakan pada orang lain
    10. buat rumusan
    11. jawab soalan
    12. tampal maklumat yang rumit di dinding
    13. baca doa tanda kesyukuran selepas belajar
  23. Tahu memberi ganjaran kepada diri sendiri selepas beajar seperti membaca surat khabar, melawat rakan dan sebagainya.
  24. Tahu petua-petua agar tidak lupa:
    1. jangan makan kepala ikan
    2. jangan makan organ dalaman
    3. jangan minum semasa makan
    4. jangan minum atau makan makanan yang tercemar oleh semut
    5. jangan melihat kemaluan
    6. jangan melihat buih
    7. jangan membaca nama pada batu nisan
    8. banyakkan makan makanan yang mengandungi soya seperti tempe, tauhu dan lain-lain
    9. banyakkan makan kismis, kurma dan madu
    10. banyakkan makan kekacang
    11. pakai minyak wangi ketika belajar atau menghadapi peperiksaan
    12. jangan makan sehingga terlalu kenyang
    13. jangan kencing berdiri
  25. Tahu kemahiran mengingat:
    1. tampal nota-nota penting di dinding
    2. tukar perkataan, ayat atau definisi dalam bentuk gambar atau rajah
    3. gunakan kaedah akronim
    4. reka cerita atau ayat mengenai konsep yang perlu diingat
    5. pecahkan maklumat kepada kumpulan kecil
  26. Cekap mengatur jadual belajar:
    1. mempunyai jadual belajar
    2. patuh kepada jadual
    3. buat jadual yang boleh diikuti
  27. Tidak menangguh belajar pada saat akhir dan tidak menumpukan peperiksaan sebagai dorongan untuk belajar.
  28. Cari maklumat mengenai subjek yang tidak diketahui. Sediakan perkara-perkara yang tidak diketahui dan dapatkan penyelesaian dari orang yang lebih arif.
  29. Membina kepelbagaian dalam pembelajaran. Sebagai contoh, satu hari dipelbagaikan cara dan topik untuk belajar.
  30. Menggunakan masa terluang untuk mengulang kaji atau mencuri masa.
  31. Membawa nota ke mana-mana sahaja (kecuali ke tandas).
  32. Pelbagaikan tempat belajar.
  33. Menyedari guru-guru adalah sumber ilmu yang baik. Tanya guru apabila tidak faham
  34. Menjadikan nota-nota menarik seperti membuat corak, menggariskan isi penting dan sebagainya.
  35. Ciri-ciri pelajar cemerlang:
    1. taat kepada Allah
    2. mendirikan sembahyang
    3. menghormati kedua ibu bapa dan sentiasa mendoakan mereka
    4. hormati & sayangi guru
    5. bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja untuk mencapai kecemerlangan.
    6. suka pada setiap mata pelajaran yang dipelajari
    7. membantu rakan yang memerlukan
    8. berdoa dan bersyukur kepada Allah
    9. sentiasa bertawakal
    10. mahir dalam setiap mata pelajaran
Kita juga perlu ingat pelajar yang cemerlang, adalah juga cemerlang pada akhlak dan tingkah lakunya dan seimbang dalam kehidupannya. Kecemerlangan pelajar bukan semata-mata dilihat pada nilai akademiknya sahaja. Semoga bermanfaat. :)

Monday, February 28, 2011

Pelajar sekolah, IPT tak faham makna al-Fatihah. Salah Siapa???

2011/02/28

KUALA LUMPUR: Kajian mendapati ramai pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT) masih tidak memahami erti bacaan al-Fatihah dalam solat mereka, kata Prof Emeritus, Datuk Dr Isahak Haron.

Tokoh akademik dari Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu berkata, kajian menunjukkan lebih 80 peratus pelajar Tingkatan Dua dari beberapa sekolah menengah serta penuntut sebuah universiti, gagal menjelaskan makna dalam bacaan al-Fatihah.
Beliau berkata, perkembangan itu jelas membimbangkan kerana pemahaman dan penghayatan makna bacaan al-Fatihah amat penting untuk memperoleh kekhusyukan dalam solat, sekali gus memberi lebih kesan ke arah pembentukan Muslim yang dituntut agama.
“Justeru, sistem pendidikan Islam di sekolah mesti menitikberatkan aspek pemahaman serta penghayatan dalam mengerjakan sembahyang, dan bukan hanya tertumpu kepada didikan pergerakan fizikal atau bacaan yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Forum Pendidikan Nasional bertema ‘Transformasi Pendidikan Nasional Hadapi Cabaran Pembangunan Ekonomi dan Perubahan Politik’ anjuran Majlis Perundingan Melayu di sini, semalam.

Seterusnya, Isahak berkata, pelajar Melayu dari Tahun Dua hingga Tingkatan Lima yang masih tertakluk kepada pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), dikhuatiri terus lemah dalam dua subjek kritikal itu.

“Mereka akan terus menjadi lost generation seperti kumpulan pelajar yang lalu. Bagi kira-kira 30 peratus pelajar yang gagal teruk dalam Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris di sekolah secara kumulatif, pendidikan di sekolah sudah tidak bermakna. Sekolah tempat mereka ‘gagal’,” katanya.

Tuesday, February 15, 2011

Dr Abdul Hayei Penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2011

Penerima Anugerah Maulidur Rasul 2011, Wee Soo Yen (dua dari kanan)bersama keluarga, dari kiri, Wee Soo May (adik), Wee Hock Lim (ayah) and dan Soo Ah Khem (ibu). - Foto THE STAR/UU BAN

PUTRAJAYA: Bekas Profesor Madya Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM), Dr Abdul Hayei Abdul Sukor diumukan sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2011 pada sambutan peringkat kebangsaan di sini, pada Selasa.

Abdul Hayei, 64, yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan menerima wang tunai RM50,000, trofi, sijil penyertaan dan senaskah kitab tafsir Al-Quran yang berharga RM3,000 yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Semasa ditemui, Abdul Hayei meluahkan rasa syukur kepada Allah atas pemberian anugerah tersebut yang disifatkan sebagai bukti bahawa perkara kebaikan masih wujud.

“Saya tidak pernah berputus asa dan akan terus menjalankan kewajipan memberi sumbangan kepada agama dan negara.

“Ia adalah satu kewajipan bagi umat manusia yang mempunyai amanah untuk menyebarkannya di bumi Allah,” katanya.

Abdul Hayei juga merupakan salah seorang ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan sangat aktif berdakwah menyampaikan syarahan agama, kuliah dan tazkirah di seluruh negara, selain menjawab persoalan agama menerusi laman web rasminya.

Selain itu, bekas pensyarah di UM daripada tahun 1980 hingga 2003 itu juga banyak memberikan sumbangan dalam penulisan artikel dan majalah ilmiah.

Beliau juga pernah menghasilkan sebuah kitab tafsir al-Quran versi bahasa Melayu bertajuk ‘Tafsir Pedoman Muttaqin’ dan karya-karya lain seperti ‘Hadith 40 Al-Nawawi, Tafsir dan Ulasan’, ‘Hadis Maudhu - Sejarah dan Konsep’ dan ‘Imam Malik, Sejarah dan Pemikiran’.

Sementara itu, pelajar tingkatan empat, Sekolah Menengah Kebangsaan Bachok, Kelantan, Wee Soon Yen, 16, memberitahu dia tidak menyangka akan dipilih sebagai penerima anugerah pada sambutan tahun ini.

Wee berjaya memperoleh A dalam matapelajaran Bahasa Arab pada peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun 2010. Foto THE STAR/ UU BAN

Pelajar cilik tersebut dipilih berdasarkan pencapaian akademiknya yang cemerlang, iaitu memperoleh 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun 2010.

Selain itu, Wee juga merupakan satu-satunya pelajar bukan Islam yang mendapat A dalam mata pelajaran Bahasa Arab.

Menurut Wee, minat untuk mempelajari Bahasa Arab mula timbul apabila dia memulakan sesi persekolahan menengah.

“Saya mula berminat untuk mempelajarinya kerana ia merupakan satu bahasa baru kepada saya. Jadi saya menganggapnya sebagai satu cabaran untuk diri sendiri,” katanya.

Wee menambah, pada peringkat awal, ibunya tidak begitu menyokong tindakannya untuk mempelajari bahasa tersebut.

“Bagaimanapun, saya berjanji kepadanya bahawa saya akan lulus subjek Bahasa Arab dan sejak itu, beliau membenarkan saya untuk menduduki peperiksaan Bahasa Arab,” katanya.

Pelajar bertubuh kecil itu juga memberitahu, dia akan memanfaatkan seluruh masa di sekolah bertanyakan kepada guru dan rakan-rakan jika mempunyai masalah kerana tidak mempunyai tempat rujukan di rumah.

Selain Wee, turut menerima anugerah pada sambutan tahun ini ialah Bekas Timbalan Ketua Pengarah (Jabatan Pendidikan Islam dan Moral) Kementerian Pelajaran Malaysia, Datuk Dangiran Mustapha, 60, yang juga merupakan Timbalan Pengerusi, Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran Malaysia.

Juga menerima anugerah ialah, Profesor Kuliyyah Senibina dan Rekabentuk Alam Sekitar, Universiti Islam Antarabangsa Profesor Dr Ismawi Zen, 58, yang pernah sebagai ahli Panel Antarabangsa bagi kajian pembangunan Msjidil Haram, Mekah pada tahun 2008 dan Bekas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah.

Pada majlis sama, dua wanita turut dipilih untuk menerima anugerah Maulidur Rasul 2011, iaitu Bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Tan Sri Hasmah Abdullah, 59, dan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Jantung Negara, Tan Sri Dr Robaayah Zambahari, 59.

Hasmah menyifatkan penghargaan yang diterimanya sebagai satu pengiktirafan kepada kaum wanita.

Semua penerima anugerah membawa pulang wang tunai RM20,000, trofi, sijil penyertaan dan senaskah kitab tafsir Al-Quran bernilai RM3,000.


SUMBER : http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2011/2/15/mstar_berita/20110215155556&sec=mstar_berita

Pelajar bangsa Cina 'A' Bahasa Arab PMR 2010



BACHOK – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bachok diumumkan sebagai sekolah harian paling cemerlang bagi keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) oleh Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan, Hussain Awang semalam, sekali gus berada pada kedudukan pertama antara sekolah harian di negeri ini.

Pegawai Pelajaran Daerah Bachok, Saupi Majid berkata, kecemerlangan yang dicapai dalam PMR kali ini menyamai kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sebelum ini.

Menurutnya, daripada keseluruhan 95 calon PMR SMK Bachok, 43 daripadanya mencatat keputusan keseluruhan mata pelajaran A.

“Ini adalah kebanggaan bagi seluruh warga pendidik Bachok yang sebelum ini telah menunjukkan keputusan memberangsangkan melalui UPSR.

“Ia juga menggambarkan kemajuan modal insan di daerah ini hasil program transformasi pendidikan yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan,” katanya semalam.

Beliau berkata, SMK Bachok juga mempunyai seorang calon bukan Melayu, Wee Soo Yen yang mencatat keputusan 9A apabila cemerlang dalam subjek bahasa Arab yang diambilnya.

Sementara itu, ibu Soo Yen, Soo Ah Khem berkata, anaknya mula menyemai keinginan belajar bahasa Arab sewaktu memasuki kelas Tingkatan Satu yang mewajibkan pengambilan subjek berkenaan.

“Anak saya meminati subjek bahasa Arab dan apabila saya melarangnya mengambil subjek tersebut dalam peperiksaan, mukanya berubah.

“Lalu suami saya memberikan galakan agar membiarkan anak kami belajar apa sahaja yang diminatinya,” katanya.

Beliau akhirnya memberi kebenaran setelah melihat kesungguhan Soo Yen.


“Apabila dia meyakinkan kami bahawa akan lulus subjek tersebut, saya tidak lagi membantah,” katanya yang juga bertugas di PPD Bachok.

Menurutnya, Soo Yen banyak mendapat bimbingan guru selain bahan tambahan dan kamus bahasa Arab yang dibeli untuk rujukannya.



SUMBER: Sinar harian

Sunday, May 2, 2010

Dialog Bersama Gadis Perokok Tegar.. Dah Biasa La..

''Saya mula merokok ketika tingkatan dua. Masa tu saya mula clubbing dan kawan-kawan pun merokok. Lagi pun kakak-kakak saya merokok, so no hallah merokok ni.

''Pernah kantoi bila mak dan ayah saya terjumpa kotak rokok dalam tas tangan, tapi saya bagi alasan rokok tu kawan yang punya.''



Selamba gadis cantik itu bercerita tatkala penulis berkesempatan melepak dengan dia dan seorang lagi temannya yang juga seorang perokok.

Gadis yang mahu dikenali sebagai Ema tidak keberatan bercerita tentang tabiat merokok yang disifatkan sebagai biasa di kalangan 'gadis KL'.

Sebelum sempat penulis bertanya lanjut, dia pantas mengajukan soalan:

''Kenapa nak tahu pasal gadis-gadis merokok, benda ni biasalah, tak best nak tulis pun, sebab kat KL ni budak perempuan merokok bukan luar biasa.''

Penulis menjawab disebabkan merokok jadi fenomena biasalah yang menarik perhatian penulis untuk mengetahui apa sebenarnya punca kegilaan itu.

Ema memberitahu, sebagai anak jati KL yang dibesarkan dalam suasana bebas, terjebak dalam aktiviti merokok pada usia belasan tahun adalah perkara biasa. Dia mengakui ibu bapanya marah jika tahu anak-anaknya merokok tetapi dia dan kakak-kakaknya bijak menyimpan rahsia.

Pendedahan awal yang menjebak dirinya dengan rokok adalah clubbing.

''Dalam club semua orang hisap rokok, saya dan kawan-kawan pun merokok sebab nak jadi macam orang lain,''
katanya sambil memberitahu tabiat merokoknya itu bagaimana dapat dihentikan sebaik memasuki tingkatan tiga hingga ke tingkatan lima.

Ditanya apa jadi selepas itu, dia merenung jauh sambil menyingkap kisah cintanya yang gagal menyebabkan dia betul-betul kecewa dan menjadikan rokok sebagai pengubat lara.

Bermula dari situ, dia tidak menoleh lagi. Memasuki Universiti Teknologi Mara (UiTM) bukan alasan untuk dia berhenti, malah ketagihan merokok semakin menjadi-jadi. Dia sanggup tak makan asalkan dapat membeli rokok.

Dia pernah melepaskan gian merokok di dalam ruang kecil yang menempatkan hos bomba, bayangkan ruang sesempit itu pun 'halal' asalkan ketagihan dapat dilepaskan.

Segala-galanya menjadi mudah buat Ema apabila dia tinggal di rumah sewa. Tidak ada halangan langsung, dia dan rakan-rakan 'seangkatan' bebas merokok sesedap hati.

''Saya menjadi perokok tegar. Malah rakan-rakan saya menyamakan saya dengan perokok lelaki. Dua kotak besar sehari perkara biasa. Atau paling kurang pun satu kotak setengah maknanya sekurang-kurangnya 30 batang sehari,''
...... katanya.

Ditanya apa sebenarnya kepuasan yang dia dapat daripada merokok, Ema mengakui tiada kepuasan cumanya apabila tidak merokok bibirnya akan bergetar dan tekak berasa pahit.

Waktu wajib merokok bagi gadis berkulit putih kemerahan itu adalah bangun pagi, selepas makan tengah hari dan sebelum tidur. Malah dia mengakui merokok semasa membuang air besar adalah satu nikmat yang tidak boleh diceritakan.

Kebiasaannya, menurut Ema, perokok wanita akan bermula dengan rokok Sempoerna diikuti Malboro Light dan akhirnya jenama-jenama berat seperti Dunhill.

Ditanya mengapa, dia memberitahu, rokok Sempoerna menawarkan rasa manis jadi tidak terlalu berat untuk beginner manakala Malboro agak ringan.

Dia sendiri sehingga kini setia dengan Dunhill Light. Mengenai sama ada dia masih terikat dengan kisah putus cinta di tengah jalan menyebabkan tabiat merokok masih berterusan, Ema berterus terang telah menemui cinta baru.

''Bestnya sebab tunang saya tak kisah saya merokok. Dia pun merokok juga,''
..... petah dia menjawab sambil tersenyum.

Dia menyambung sembangnya, kegilaan clubbing berterusan menyemarakkan ketagihan merokok. Alasannya, di club ramai yang minum arak dan dia serta kawan-kawannya tak mahu terjebak dengan minuman keras lantas meneruskan tabiat merokok.

Mala, teman kepada Ema pula menjadikan stres sebagai punca dia merokok. Segala tekanan yang dihadapinya sebagai remaja akan lenyap bersama setiap sedutan asap rokok yang memenuhi paru-parunya. Melihat kepulan asap rokok yang dihembus terutama dalam suasana tenang umpama membiarkan segala masalah lenyap begitu saja.

Seperti Ema, dia juga setia dengan Dunhill Light tetapi tidak setegar Ema yang mampu menghisap 30 batang rokok sehari. Tabiat merokok Mala bermula agak lambat iaitu selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia. Dia mengakui pergaulan bebas mendorongnya merokok sehingga selepas beberapa tahun tabiat itu menjadi sebahagian daripada hidupnya.

Ditanya betulkah rokok boleh menghilangkan stres atau itu hanya psiko, Mala tersenyum manja dan manis.

''Saya rasa memang betul sebenarnya rokok bukan melegakan stres cumanya saya percaya ia begitu, maka jadilah begitu,''
...... ujarnya.

Ema dan Mala tidak dapat menjangkakan bila mereka mahu berhenti merokok. Bagi Ema yang sedang menunggu hari bahagia, perkahwinan tidak mungkin menghentikan tabiat itu. Lantaran tidak ada janji antara dia dan bakal suami yang mengikatnya untuk berhenti merokok.

''Tengoklah mungkin kalau mengandung mungkin baru berhenti kut,''
........ katanya.

Mengenai kegilaan gadis-gadis merokok, Ema berpandangan kebanyakannya hanya mengikut trend. Ada juga yang mahu kelihatan moden terutama gadis-gadis dari luar Kuala Lumpur. Kononnya merokok menunjukkan mereka ada gaya, hebat dan trendy - tidak seperti Ema yang terbelenggu oleh tabiat itu disebabkan ketagihan.

Dia akan berasa geram tidak terhingga dan marah-marah jika tidak dapat merokok. Ketegaran menyebabkan anak gadis yang mencecah usia 25 tahun itu tidak pernah peduli cakap-cakap atau pandangan orang lain. Malah dia pernah bertekak dengan seorang mak cik kerana menegur tabiatnya itu.

Saya melihat jari jemari Ema dan Mala. Bersih bukan seperti kebanyakan perokok.

Seperti dapat membaca pengamatan saya, Ema menyambung bicara:

''Saya bertuah kerana walaupun perokok tegar tetapi kesannya fizikalnya tidak nampak.
''Tapi terus terang saya sudah mula rasa sakit dada dan kadang kala sesak nafas, pastinya akibat merokok.''

Mengenai gambar-gambar ngeri di kotak rokok, kedua-dua gadis itu tersenyum sinis

Sememangnya bersembang dengan Ema dan Mala tidak cukup untuk saya menyelongkar apa sebenarnya di sebalik fenomena merokok di kalangan gadis remaja.

Tetapi yang pasti, ada sesuatu yang kurang dan tidak kena dalam masyarakat kita sehinggakan gejala merokok di kalangan gadis remaja kini dianggap trend.

p/s : Peliharalah anak gadis anda.. Siapakah yang mendidik mereka sehingga menjadi sebegini.. Di manakah Islam yang diagung-agungkan oleh kerajaan?

Sumber : http://ibnuirfadzil.blogspot.com/2010/04/dialog-bersama-gadis-perokok-tegar-dah.html

Friday, March 12, 2010

15A : Habibah Hanan, Pelajar Paling Cemerlang SPM 2009

Habibah Hanan Adalah Pelajar  dari Sek Men Ugama (A) Maahad Muhammadi Perempuan Kota Bharu

Habibah Hanan Pelajar Terbaik SPM Peringkat Kebangsaan 2009

KOTA BHARU: “Saya jadikan Nik Nur Madihah sebagai idola untuk berjaya dan hasilnya terbukti sebaik mendapat keputusan cemerlang 15A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan semalam,” kata Habibah Hanan Mat Yusoff, 18.

Habibah Hanan menjadi pelajar terbaik di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) apabila memperoleh keputusan cemerlang 15A termasuk 10A+ dalam peperiksaan diumumkan, semalam.
Kejayaan Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal yang memperoleh 20A dalam SPM 2008 tahun lalu dijadikan idola serta pembakar semangat kepada pelajar Maahad Muhammadi Perempuan (MMP).
“Walaupun tidak sehebat pencapaian Nik Nur Madihah yang memperoleh 20A, tetapi saya sudah berusaha sebaik mungkin untuk mencapai keputusan terbaik bagi diri saya dalam SPM 2009.
“Usaha gigih saya selama ini membuahkan hasil kerana dinobatkan sebagai pelajar cemerlang seperti kejayaan dikecapi Nur Madihah tahun lalu,” katanya, semalam.
Habibah Hanan yang diumumkan sebagai pelajar cemerlang MMP menerima keputusan slip peperiksaan SPM serta hadiah wang tunai RM500 yang disampaikan Pengarah YIK, Ahmad Robert Abd Rahim.

Habibah berkata, kesabaran belajar tanpa mengira waktu dan mendapat dorongan daripada ibu bapanya, selain sokongan guru dan rakan membantunya merealisasikan impiannya.
Katanya, kejayaan itu disokong dengan kesabarannya mengulang kaji pelajaran serta bijak membahagiakan masa.

Harian Metro
………………………………………………………………………………………………………………………………………………….

Biasalah kalau ingin berjaya, kita kena ikutilah jejak langkah mereka yang telah berjaya. Saya mengetahui cara belajar Kak Fatimah, Kak Madihah dan Kak Amalina belajar.Saya cuba mengikuti cara mereka dan kalau tidak sesuai saya akan membuat kaedah sendiri - Habibah Hanan Mat Yusof

Tahniah…SPM: 2 pelajar Maahad Muhammadi dapat 15A

Pelajar-pelajar sekolah agama di Kelantan terus mengungguli pencapaian dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 apabila seorang pelajar mendapat 12A+. Pelajar terbabit, Ahmad Harith Zabidi Azhar dari Maahad Muhammadi Lelaki itu juga mendapat 2A dan 1A menjadikan pencapaian keseluruhan 15A.
Manakala Habibah Hanan Mat Yusof dari Maahad Muhammad Perempuan pula mendapat 10A+ di mana jumlah keseluruhan subjek (15A). Pencapaian bagi kedua-dua sekolah tersebut ialah 100 peratus.

Keputusan SPM bagi sekolah bagi Maahad Muhammadi Perempuan diumumkan Pengarah Yayasan Islam Kelantan (Yik), Ahmad Robert Abdul Rahim pagi tadi. Pengumuman di Maahad Muhammadi Lelaki dilakukan pengetuanya, Azhar Salleh petang ini. Seramai 385 calon menduduki peperiksan SPM di Maahad Muhammadi Perempuan. Daripada jumlah tersebut seorang mendapat 15A, 14A (1), 13A (1), 12A (9), 11A (9), 10A (13) dan 9A (22).Di Maahad Muhammadi Lelaki, seramai 359 pelajar menduduki SPM tahun lepas, di mana keputusan keseluruhan tahun ini meningkat.

Keputusan tersebut iaitu seorang pelajar mendapat 15A, masing-masing seorang mendapat 14A dan 13A, 12A (5), 11A (10), 10A (14) dan 9A (20). Sementara itu, Habibah Hanan yang juga pelajar terbaik Maahad Muhammadi Perempuan mendedahkan rahsia kejayaannya dengan mengikuti kaedah yang digunakan pelajar yang telah berjaya sebelum ini.

“Biasalah kalau ingin berjaya, kita kena ikutilah jejak langkah mereka yang telah berjaya. Saya mengetahui cara belajar Kak Fatimah, Kak Madihah dan Kak Amalina belajar.

“Saya cuba mengikuti cara mereka dan kalau tidak sesuai saya akan membuat kaedah sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau mengakui, pelajar cemerlang SPM 2008 peringkat negara, Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal sebagai idolanya untuk mencapai kecemerlangan. Pelajar berasal dari Jalan Bayam, Kota Bharu merupakan anak bongsu daripada 10 beradik. Ayah dan ibunya merupakan pesara guru.

Ditanya ke mana akan melanjutkan pengajian selepas ini, beliau memberitahu akan berbincang keluarga dan guru terlebih dahulu. “Namun saya minati Fizik, tetapi saya tidak mendapat A+. Selain itu saya juga meminati bidang kehakiman. Bagaimanapun keluarga meminta saya menyambung pengajian dalam bidang perubatan,” katanya.
Tahun lepas Nik Nur Madihah juga dari Maahad Muhammadi Perempuan muncul pelajar terbaik SPM peringkat kebangsaan apabila mendapat 20A. Harakah